KOD NILAI DAN ETIKA WARGA USIM
3 3.2 MENJADIKAN INTEGRITI SEBAGAI BUDAYA KERJA Setiap staf hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan berakauntabiliti dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti demi kemajuan Universiti. Amanah dalam melaksanakan tanggungjawab tidak bermaksud menyempurnakan tugas dengan baik sahaja, tetapi menyempurnakan amanah kepada Allah S.W.T. Usaha membudayakan integriti dan tadbir urus yang baik merupakan tanggungjawab bersama dan perlu dilaksanakan secara konsisten serta berterusan di semua peringkat organisasi. Pendekatan ini bukan sahaja menekankan pematuhan kepada peraturan, malah merangkumi pembentukan sikap, tingkah laku dan budaya kerja yang beretika. Komitmen berterusan daripada seluruh warga universiti adalah penting dalam memastikan usaha ini menjadi amalan yang berkesan serta menyumbang kepada penambahbaikan organisasi secara berterusan. 3.3 MENJADI WARGA KERJA YANG BERPENGETAHUAN LUAS, PAKAR DALAM BIDANG TUGAS DAN MENGHAYATI NILAI MURNI Adalah penting bagi Universiti memiliki tenaga kerja yang berkualiti merangkumi aspek ilmu pengetahuan, kepakaran dalam bidang tugasnya dan menghayati nilai-nilai murni. Warga kerja yang berkualiti akan membentuk budaya kerja yang cemerlang. Penerapan nilai yang mementingkan kecemerlangan pada budaya kerja dan pengurusan organisasi harus meliputi pemikiran serta tindakan setiap individu. 3.4 MENJAGA NAMA BAIK DAN IMEJ UNIVERSITI PADA SETIAP MASA Setiap staf merupakan duta Universiti yang sentiasa membawa nama dan reputasi institusi dalam apa jua keadaan. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap staf untuk memelihara dan mempertahankan nama baik serta imej Universiti sebagai lambang kredibiliti dan kehormatan organisasi. Staf hendaklah sentiasa berpegang kepada nilai profesionalisme dengan menjaga keperibadian, tingkah laku dan keterampilan diri pada setiap masa, sama ada di dalam atau di luar tempat kerja. Setiap staf juga perlu mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan reputasi Universiti, selaras dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai warga institusi ini. 3.5 BERUSAHA MEMAJUKAN DIRI MELALUI PENINGKATAN PEMBANGUNAN SAHSIAH DIRI DAN KEMAHIRAN SECARA BERTERUSAN Setiap staf hendaklah berusaha memperkukuhkan sahsiah diri bagi membentuk peribadi yang positif, kreatif, bermotivasi tinggi serta berinisiatif dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan. Keupayaan ini penting bagi memastikan matlamat organisasi dapat dicapai dengan berkesan. Staf disarankan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, latihan dan kemahiran yang relevan bagi menyokong pembangunan kerjaya dan peningkatan prestasi kerja. Usaha ke arah pemajuan diri ini merupakan suatu proses pembelajaran berterusan dan pengkayaan ilmu yang perlu diamalkan sepanjang perkhidmatan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=