Buletin HEPA USIM 2026
PENCAPAIAN DAN ANUGERAH Kecemerlangan Haqim Roslan bukan hanya terhad kepada bilik kuliah, bahkan diterjemahkan melalui pencapaian yang merangkumi bidang kepimpinan, penulisan, penyelidikan dan advokasi perundangan. Kemuncak kepada perjalanan tersebut apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja serta Anugerah Tokoh Pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang 2026, iaitu pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan akademik, kepimpinan dan sumbangannya kepada universiti. Sebagai seorang penulis dan penyelidik muda, beliau berjaya menjuarai International Judgment Writing Competition 2025 anjuran Record of Law dan International Article Writing Competition 2026 anjuran Multimedia University. Kejayaan tersebut diperkukuhkan lagi apabila artikel beliau bertajuk “Capital Punishment in Malaysia: A Critical Analysis of the Legal Framework and Contemporary Developments” diterbitkan dalam Asian Journal of Law and Policy (AJLP), sekali gus membuktikan keupayaannya menghasilkan penulisan akademik yang berkualiti dan berimpak. Dalam arena advokasi pula, beliau berjaya muncul Naib Johan Syariah Moot Court Dean’s Cup Competition, selain berperanan sebagai penyelidik bagi Nuremberg Moot Court Competition dan 20th Malaysian National International Humanitarian Law Moot Court Competition. Penglibatan ini memerlukan ketelitian dalam penyelidikan undang-undang, penyediaan memorial serta pembangunan strategi penghujahan yang mantap. Bakat beliau dalam bidang komunikasi dan pemikiran kritis turut terserlah apabila mara ke peringkat separuh akhir serta memperoleh tempat ketiga kategori Bahasa Inggeris dalam Pro-Chancellor’s Cup Debate Championship USIM. Gabungan pengalaman sebagai penulis, penyelidik, mooter dan pendebat inilah yang membentuk beliau sebagai graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menghubungkan ilmu perundangan dengan kemahiran analisis, komunikasi dan kepimpinan. Sorotan Pencapaian • Penerima Anugerah Pelajaran Diraja 2026. • Penerima Anugerah Tokoh Pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang 2026. • Johan International Judgment Writing Competition 2025. • Johan International Article Writing Competition 2026. • Naib Johan Syariah Moot Court Dean’s Cup Competition. • Penerima Anugerah Pelatih Terbaik Kor SUKSIS dan ditauliahkan sebagai Inspektor Kor SUKSIS. KEPIMPINAN DAN PENGLIBATAN DI UNIVERSITI Selain cemerlang dalam akademik, Haqim Roslan turut dikenali sebagai pemimpin mahasiswa yang aktif dan berwibawa. Beliau mencipta sejarah apabila menjadi pelajar Undang-undang pertama USIM yang dilantik sebagai Presiden Kor SUKSIS USIM. Sebagai Presiden, beliau memimpin pelbagai program bersama universiti dan Polis Diraja Malaysia serta memainkan peranan penting dalam pembangunan kepimpinan pelajar. Beliau juga aktif dalam USIM Legal Aid Clinic dan Asian Law Students’ Association (ALSA) Malaysia, sekali gus membuktikan komitmen beliau dalam pembangunan mahasiswa dan khidmat masyarakat. 12 “Integrasi Ilmu Tonggak Kebitaraan Graduan” EDISI KHAS SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE-24
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=