E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 87 Manakala selepas kejadian tragis himpitan Mina pada tahun 2015, pengurusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengambil langkah keselamatan yang lebih baik berkaitan aliran perjalanan jemaah ketika melalui terowong dan semasa melakukan ibadah melontar. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan laluan sehala dan penjadualan bertingkat dapat membantu mengelakkan kepadatan jemaah dan kejadian himpitan, sekaligus dapat mengurangkan risiko kecederaan (Mokhtar et al., 2024). Masalah lain yang kerap terjadi termasuklah kaki melepuh atau melecet yang berpunca daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai, yang mana ia boleh menambah keletihan dan kecederaan bagi jemaah yang berjalan kaki dengan jarak yang jauh (Mukherjee & Roy, 2022). Risiko kecederaan yang tinggi juga berkait rapat dengan corak pengangkutan yang digunakan oleh jemaah, terutama semasa menggunakan eskalator dan pengangkutan khas (aerotrain atau bas) yang disediakan. Kajian telah menunjukkan bahawa kecederaan anggota badan, termasuk lutut dan pergelangan kaki, sering terjadi dalam konteks aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi semasa perjalanan (Cerezal et al., 2023). Terdapat rekod bahawa banyak kes cedera tidak dapat dikesan pada sesi pertama di pusat kecemasan, dengan hanya 40% daripada kecederaan fraktur yang dikesan pada pengimejan awal, menunjukkan keperluan untuk prosedur diagnostik yang lebih kemas (Cullen et al., 2021). Dalam menjalani ibadah yang penuh dengan tekanan fizikal yang melibatkan jutaan manusia ini, adalah sesuatu yang mencabar bagi pihak berkuasa dan institusi kesihatan untuk mempersiapkan jemaah dengan maklumat dan sokongan yang sesuai. Ini termasuklah latihan pertolongan cemas, pengetahuan mengenai pengurusan kecederaan dan kempen kesedaran tentang risiko fizikal yang berpotensi (Boer & Robinson, 2025; Schiper et al., 2023). Kombinasi faktor risiko seperti perjalanan yang panjang, permukaan licin, penggunaan tangga dan bebanan membawa barangan berat di kalangan jemaah perlu diberi perhatian dan perancangan yang teliti. Langkah-langkah pencegahan yang berkesan melalui edukasi preventif sebelum berangkat ke Tanah Suci berkaitan kecederaan semasa musim haji dapat membantu mengurangkan insiden yang boleh mengakibatkan trauma fizikal kepada jemaah (Vicentini et al., 2025). 5. Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular seringkali menjadi lebih teruk semasa musim haji dan umrah. Ini disebabkan oleh faktor seperti tekanan haba, dehidrasi, tidur yang tidak mencukupi, dan aktiviti fizikal yang melebihi kemampuan. Penelitian oleh Mushi et al. menunjukkan bahawa jemaah yang mempunyai masalah kesihatan bawaan seperti diabetes dan hipertensi berisiko tinggi mengalami komplikasi semasa pelaksanaan ibadah haji, terutamanya kerana kurangnya maklumat kesihatan dan pengurusan diri yang mencukupi sebagai persediaan bagi jemaah yang mempunyai penyakit-penyakit sedia ada ini (Mushi et al., 2021). Hal ini penting kerana NCD merupakan penyebab utama morbiditi dan mortaliti dalam kalangan jemaah haji, dan pengabaian terhadap pengurusan ini sebelum dan semasa ibadah haji boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius (Yezli et al., 2021, Parker et al., 2024). Pemeriksaan kesihatan pra-haji adalah aspek penting untuk memastikan keadaan kesihatan jemaah sebelum mereka berangkat. Ramli et al. menekankan bahawa pemeriksaan kesihatan sebelum berangkat harus melibatkan pemeriksaan perubatan preliminari (awal), promosi kesihatan , dan aktiviti pendidikan untuk mempersiapkan jemaah menghadapi cabaran fizikal dan cuaca ketika berada di Makkah dan Madinah (Ramli et al., 2022). Penemuan oleh Yezli et al. menunjukkan bahawa banyak jemaah yang tidak menyedari keadaan diabetes dan hipertensi yang tidak terdiagnosis, ini membuktikan bahawa perlunya pemeriksaan kesihatan yang konsisten untuk mengidentifikasi dan mengawal penyakit ini dalam kalangan jemaah (Yezli et al., 2021). Di samping pemeriksaan kesihatan, pengurusan yang tepat dan bekalan ubat-ubatan yang mencukupi adalah elemen penting dalam menguruskan NCD semasa musim haji. Bhattacharya et al. menekankan pentingnya mengintegrasikan pengurusan penyakit tidak berjangkit ke dalam program kesihatan nasional, termasuklah dalam konteks ibadah haji, di mana bimbingan dan pengawasan terhadap penggunaan ubat boleh mempengaruhi hasil kesihatan (Bhattacharya et al., 2023). Amalan pengurusan yang baik juga perlu meliputi perencanaan ubat yang sesuai bagi pesakit diabetes
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=