E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 86 mengekalkan penjarakan fizikal menjadi semakin sukar, sekali gus menyumbang kepada risiko transmisi yang lebih tinggi semasa sesi ibadah berlangsung (Llorente-Nieto et al., 2024). Selain itu, bagi jemaah yang mempunyai penyakit sedia ada seperti diabetes dan hipertensi, sesi konsultasi kesihatan peringkat pra-perjalanan dengan bantuan petugas perubatan adalah sangat penting bagi memastikan tahap kesihatan terkawal, bekalan ubat-ubatan mencukupi, dan pelan rawatan dapat diurus dengan baik sepanjang tempoh ibadah haji tersebut (Yezli et al., 2021). 3. Penyakit Berkaitan Haba ( Heat-Related Illness ) Gelombang panas semasa musim Haji 2024 mencatatkan kadar kematian dan morbiditi yang tinggi berkaitan haba dengan suhu melebihi 50°C. Kajian menunjukkan jemaah dari luar negara, jauh lebih terdedah terhadap kematian akibat haba berbanding penduduk tempatan. Beberapa usaha pencegahan telah dilakukan antaranya termasuklah mengelakkan aktiviti ibadah dan ziarah pada waktu puncak panas, saranan penggunaan payung, stesen kabus dan penghidratan berterusan. Penyakit berkaitan haba ( Heat-Related Illness , HRI) merupakan isu kesihatan yang signifikan sepanjang tempoh musim haji dan umrah, memandangkan lokasi geografi Makkah yang panas dan jumlah jemaah yang sangat ramai. Antara bentuk HRI yang kerap dilaporkan ialah heatstroke dan heat exhaustion , yang lazim berlaku dalam kalangan jemaah warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik. Dalam kajian oleh Yezli et al., ada dinyatakan bahawa bilangan kes heatstroke dalam kalangan jemaah haji telah meningkat semasa cuaca panas, dengan kadar antara 22 hingga 250 kes bagi setiap 100,000 jemaah. Perubahan iklim dan peningkatan suhu global juga berpotensi menyebabkan risiko berlakunya heatwave yang lebih ekstrem. Ini sekali gus memberi implikasi besar terhadap keselamatan serta kesihatan jemaah (Yezli et al., 2023; Yezli et al., 2024). Manakala, menurut kajian oleh Alorfi et al., pelbagai masalah kesihatan lain turut dilaporkan termasuk masalah pernafasan, sakit kepala yang kronik, masalah saluran pencernaan dan demam panas. Malah, hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa 24.4% jemaah mengalami heatstroke (Alorfi et al., 2025). Antara faktor penyebab yang dikenal pasti sebagai punca heatstroke termasuklah faktor demografi, keadaan kepadatan manusia, terdedah dengan cuaca panas yang berpanjangan serta dehidrasi akibat aktiviti fizikal yang berlebihan ( Heat stroke and heat exhaustion among pilgrims: common signs and symptoms, laboratory profile and methods of managements, 2021). Dari segi aspek pengurusan pula, kajian oleh Almuzaini et al. (2021) mencadangkan bahawa kepatuhan terhadap garis panduan pengurusan HRI yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi adalah sangat penting. Garis panduan ini memberi fokus kepada pengurusan sebelum dan semasa musim haji bagi memastikan keselamatan jemaah terjamin. Manakala, Mahdi et al. (2022) menekankan bahawa amalan penjagaan kebersihan tangan yang betul dalam kalangan jemaah juga merupakan aspek yang sangat penting bagi mengurangkan penularan penyakit berjangkit, khususnya dalam konteks perhimpunan berskala besar. 4. Trauma & Hazard (Bahaya) Fizikal, Pergerakan dan Permukaan Jalan Trauma fizikal termasuklah jatuh, terseliuh, dan fraktur. Ia merupakan masalah utama yang dihadapi oleh jemaah haji dan umrah, terutamanya di lokasi yang mempunyai permukaan licin di mana banyak tangga atau eskalator digunakan. Kajian menunjukkan bahawa kecederaan seperti terseliuh adalah antara yang paling kerap direkodkan. Berdasarkan laporan, 65% kes trauma berkaitan kecederaan pergelangan kaki berpunca daripada kesan akibat terseliuh (tergeliat atau terpelecok). Faktor risiko ini semakin meningkat apabila jemaah terpaksa berjalan jauh dan berhadapan dengan keadaan cuaca yang sangat panas ketika melakukan aktiviti ibadah dan ziarah. (Steinberg et al., 2024). Selain itu, fraktur juga sering berlaku apabila jemaah terjatuh akibat kehilangan keseimbangan badan di permukaan yang tidak stabil. Menurut laporan, hampir 20% daripada kecederaan berpunca daripada terjatuh memberi kesan fraktur pada kaki. (Cerezal et al., 2023). Selain itu, penggunaan kerusi roda bagi jemaah juga sering menjadi faktor kecederaan kepada jemaah apabila tidak dikendalikan dengan baik oleh pengendali sehingga boleh menyebabkan kecederaan kepada kedua-duanya.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=