E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 78 Bimbingan Haji yang diterbitkan oleh Lembaga Tabung Haji, di samping rujukan silang dengan garis panduan ibadah haji yang sahih. Proses ini turut diperkukuh dengan perbincangan bersama panel pakar rujuk Tabung Haji yang berperanan sebagai penyemak kandungan bagi memastikan ketepatan serta kesahihan maklumat agama yang akan dimasukkan ke dalam sistem. Analisis ini tidak hanya meneliti aspek fakta, tetapi turut memberi perhatian kepada jenis soalan lazim yang sering diajukan oleh jemaah, isu fiqh utama yang kerap menimbulkan kekeliruan, serta bentuk maklumat yang paling kritikal untuk membantu jemaah membuat keputusan ibadah dengan yakin. Dalam pembangunan chatbot, pemetaan keperluan pengguna memainkan peranan penting kerana ia menentukan reka bentuk aliran perbualan, gaya bahasa yang digunakan, serta tahap keberkesanan interaksi yang berlaku antara pengguna dengan sistem. Tanpa analisis keperluan yang menyeluruh, chatbot berisiko menghasilkan jawapan yang terlalu umum, tidak relevan, atau bahkan bercanggah dengan panduan rasmi. Justeru, fasa analisis ini bukan sahaja membantu memastikan kandungan yang dibangunkan benar-benar berorientasikan pengguna, tetapi juga mempengaruhi penerimaan sistem secara keseluruhan. Hal ini selari dengan dapatan Sabila et al. (2024) yang menegaskan bahawa pemetaan keperluan pengguna secara tepat menjadi faktor penentu kepada tahap keberkesanan interaksi dan sejauh mana pengguna akhirnya menerima sesuatu inovasi berasaskan chatbot. Dengan kata lain, fasa analisis keperluan ini adalah batu asas yang menentukan kualiti kandungan, keupayaan teknikal, serta kebolehpercayaan PEKTABOT sebagai alat bimbingan haji digital. Fasa kedua melibatkan penyusunan kandungan, iaitu proses penting bagi memastikan struktur maklumat dalam PEKTABOT disusun secara sistematik dan mudah diakses oleh pengguna. Pada peringkat ini, soalan dan jawapan dikategorikan mengikut tema-tema utama seperti rukun dan wajib haji dan umrah, larangan ihram, dan amalan sunnah, agar aliran perbualan lebih teratur serta memudahkan pengguna menavigasi maklumat yang mereka perlukan. Setelah kandungan disusun, ia melalui proses semakan dan pengesahan oleh panel pakar Tabung Haji yang berperanan memastikan kesahihan fakta, kesesuaian bahasa, serta ketepatan hukum syarak yang terkandung dalam setiap jawapan. Proses validasi kandungan ini amat kritikal kerana ia menjadi penentu utama kepada tahap kebolehpercayaan chatbot, khususnya apabila melibatkan isu-isu fiqh yang sensitif dan berimplikasi besar terhadap sah atau batalnya ibadah haji. Tambahan pula, validasi yang teliti membantu mengelakkan risiko penyebaran maklumat yang salah atau mengelirukan kepada jemaah. Hal ini selaras dengan dapatan Wahid (2025) yang menekankan bahawa pematuhan syariah merupakan aspek teras dalam pembangunan chatbot berasaskan agama, kerana tanpa kawalan kualiti yang rapi, sistem tidak akan mendapat penerimaan meluas dalam kalangan pengguna Muslim. Oleh itu, fasa kedua ini bukan sekadar penyusunan data, tetapi merupakan mekanisme kawalan yang menjamin integriti, kesahihan, dan keberkesanan PEKTABOT sebagai sumber bimbingan haji digital. Fasa seterusnya adalah pembangunan prototaip menggunakan platform Jotform. Platform ini dipilih kerana menyediakan kemudahan pembina borang yang membolehkan pembangun menghasilkan borang interaktif dan chatbot tanpa memerlukan pengaturcaraan yang kompleks. Pembina borang berfungsi dengan kaedah seret dan lepas serta menyokong pelbagai medan input seperti teks, pilihan berganda, dan senarai jatuh bawah. Ciri paling penting ialah logik bersyarat yang membolehkan aliran perbualan berubah mengikut respons pengguna, sekali gus menjadikan interaksi lebih dinamik dan menyerupai dialog sebenar. Sebagai contoh, jika pengguna memilih topik berkaitan larangan ihram, chatbot akan terus menghubungkan kepada jawapan yang relevan tanpa perlu melalui soalan lain. Rajah 2 menunjukkan contoh antaramuka PEKTABOT yang membolehkan jemaah mengemukakan soalan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=