E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 759 menunaikan haji kerana penyakit hanya boleh diubah jika terdapat keyakinan baru yang setara seperti pesakit sembuh dengan pasti. Kaedah ini memastikan bahawa pelaksanaan badal haji hanya dibenarkan apabila terdapat keyakinan yang kukuh tentang ketidakmampuan pesakit untuk sembuh dan menunaikan haji. Keraguan atau sangkaan tidak mencukupi untuk mengubah hukum asal. Penentuan ini mesti berdasarkan penilaian pakar yang adil dan dipercayai, selaras dengan prinsip syarak dan fiqh perubatan. al- ḥukm yadūru ma‘a ‘illatihi wujūdan wa ‘adaman (hukumberlegar dengan adanya illah) Kaedah ini bermaksud bahawa sesuatu hukum syarak bergantung kepada sebab atau ‘illah yang menjadi asas pensyariatannya. Apabila ‘illah wujud, maka hukum juga wujud dan apabila ‘illah tiada maka hukum juga tiada. ‘Illah ialah sifat atau sebab yang membawa kepada pensyariatan sesuatu hukum. 54 Terdapat beberapa jenis ‘illah . Antaranya ialah ‘illah syar‘iyyah iaitu sebab yang ditetapkan oleh syarak seperti memabukkan dalam arak dan ‘illah ‘aqliyyah pula adalah sebab yang difahami secara logik seperti pergerakanmenyebabkan sesuatu itudikirabergera k. 55 Allah SWT berfirman tentang perubahan hukum mengikut sebab dan keadaan seperti dalam kisah penghalalan dan pengharaman yang berlaku kepada Bani Israel dan umat terdahulu dalam Surah Ali ‘Imran ayat 50: Maksudnya: Dan (aku datang kepadamu) untuk membenarkan Taurat yang telah datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian daripada perkara yang telah diharamkan atas kamu. Dan aku datang kepada kamu dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Ayat ini menunjukkan bahawa sebahagian hukum diubah kerana berubahnya sebab dan keadaan menandakan hukum berlegar bersama ‘illah nya. Semua hukum syarak dibina atas ‘illah nya iaitu dikaitkan dengan kewujudan dan ketiadaan ‘illah serta bukan semata-mata hikmah. Hukum syarak wujud apabila ‘illah wujud walaupun hikmah tidak tercapai dan hukum terangkat apabila ‘illah tiada walaupun hikmah masih ada. Dalam konteks badal haji, ‘illah nya ialah ketidakmampuan seseorang untuk menunaikan haji secara langsung kerana penyakit yang tidak ada harapan sembuh. Maka, apabila ‘illah ini wujud (iaitu pesakit benar-benar tidak mampu dan tidak ada harapan sembuh), hukum membolehkan badal haji juga wujud. Sebaliknya, jika ‘illah itu tiada (iaitu pesakit masih mempunyai harapan sembuh atau mampu menunaikan haji sendiri), maka hukum membolehkan badal haji juga terangkat dan tidak boleh dilaksanakan. Penentuan sama ada penyakit itu benar-benar tiada harapan sembuh adalah berdasarkan pakar perubatan yang adil dan berkelayakan. Jika doktor pakar mengesahkan bahawa pesakit tidak akan sembuh dan tidak mampu menunaikan haji, maka ‘illah telah wujud dan hukum badal haji boleh diaplikasika n. 56 Walau bagaimanapun, jika pesakit sembuh selepas badal haji dilaksanakan, hukum asal tetap sah kerana pada waktu pelaksanaan, ‘illah (ketidakmampuan) wujud. Jika pesakit sembuh sebelum badal haji dilaksanakan, maka hukum badal haji terangkat kerana ‘illah telah hilang. Penentuan ‘illah mesti berdasarkan penilaian pakar perubatan yang adil dan berkelayakan dan bukan sekadar sangkaan atau keraguan. al- ḍarar yuzāl (kemudaratan wajib dihilangkan) Kaedah ini bermaksud bahawa segala bentuk kemudaratan atau bahaya yang menimpa seseorang atau masyarakat wajib dihilangkan atau dicegah menurut syariat Islam. Setiap bentuk kemudaratan yang berlaku wajib dihilangkan sama ada kemudaratan itu berlaku secara langsung atau tidak langsung.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=