E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 746 Berdasarkan fakta perubatan, boleh dilihat cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar Skeene adalah menepati ciri wadi yang keluar ketika kencing, namun cirinya agak berbeza, fuqaha menyatakan cirinya ialah cairan pekat mengiringi kencing manakala fakta perubatan menyatakan cairan dari kelenjar Kleene adalah sedikit cair. Ciri mazi yang disebutkan fuqaha boleh menepati ciri cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar Bartholin yang menyatakan ia licin dan jernih. Ulama hanya menyatakan cairan yang dianggap najis dan membatalkan wuduk ialah mazi dan wadi. Manakala cairan lain yang dikeluarkan oleh faraj boleh dikategorikan sebagai rutubatu al faraj, yang mana ulama sepakat tentang sifatnya membatalkan wuduk tapi tidak sepakat tentang status kenajisannya. Ibn ‘Uthaimin dan Zahiri berpendapat cairan daripada laluan kemasukan zakar adalah tidak membatalkan wuduk. Dalam pada yang sama, kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa apa yang jernih tidak pekat itu tidak najis dan tidak membatalkan wuduk, dan hanya yang pekat kental sahaja membatalkan wuduk kerana data perubatan dan pendapat fuqaha menyatakan terdapat cairan dari dalam faraj yang bersifat jernih dan cair seperti sifat mazi. Maka, adalah dicadangkan jemaah membezakan cairan ini berdasarkan keadaan jemaah wanita pada satu-satu masa. Analisa Penyelesaian Masalah Berdasarkan Resolusi Muzakarah Haji Dan Pandangan Pakar Cadangan penyelesaian keputihan bagi wanita dalam kertas ini akan meneliti keputusan muzakarah yang lalu dan menganalisa pendapat pakar berdasarkan pendapat empat mazhab yang telah dibincangkan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-28 Musim Haji 1433 Hijrah Menyatakan, Haid dan Istihadah-Pendekatan dan Kefahaman: i. Menurut pendapat yang asah, kelembapan biasa pada faraj yang keluar dan melekat pada pantyliner/ seumpamanya adalah tidak najis. ii. Lendiran yang keluar dari faraj adalah najis kerana ia keluar dari dalaman faraj ( batin al-farj ). iii. Mengikut pendapat ulama’ semasa, beristinja’ dengan menggunakan tisu kertas kering adalah diharuskan. Kita boleh simpulkan resolusi ini bertepatan dengan pandangan Syafi’i bahawa sekiranya kelembapan itu keluar dari zahir faraj ia tidak najis dan inilah yang dipanggil rutubatu al faraj jenis pertama dalam kitab Ḥāshiyah. Manakala resolusi kedua adalah yang mengatakan cairan yang najis ialah yang keluar dari batin faraj. Maka boleh disimpulkan bahawa ada keputihan yang dihukum sebagai najis dan ada yang bukan najis. Maka, jemaah harus memperbaharui wuduk dan tetap memakai pakaian yang sama. Namun, jemaah harus mengetahui apa pun status keputihan, ia tetap membatalkan wuduk. Resolusi ini tidak menyentuh tentang status wuduk jemaah keputihan. Sekiranya kita mengambil takrifan keputihan yang keluar berdasarkan pandangan Hanbali, wuduk tidak dikira batal sekiranya cairan itu tidak terjatuh atau masih berada di kawasan faraj. Selama mana ia tidak terkena pada pakaian dalam, wuduk jemaah masih dikira sah. Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-39 Musim Haji 1444H/2022M: “6. Jemaah haji yang mengalami daimul hadath boleh mengambil pandangan mazhab Maliki iaitu: i. Membersihkan najis dan boleh mengambil wuduk sebelum masuk waktu solat. ii. Meneruskan solat dengan wuduk yang sama selagi ia tidak terbatal oleh lain-lain perkara yang membatalkan wuduk. iii. Memperbaharui wuduk itu adalah sunat sahaja.”
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=