E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 691 PERMASALAHAN, ULASAN DAN PENYELESAIAN Maka dengan ini dibentangkan permasalahan kes dan persoalan yang dapat dikenal pasti sepanjang musim haji 1446H/2025M yang lepas. Setiap kes permasalahan dan persoalan tersebut akan disusuli dengan ulasan dan cadangan penyelesaiannya berdasarkan rujukan kitab, resolusi MHPK yang lepas, pandangan ulama’ lalu dan semasa, sama ada rujukan langsung ataupun melalui web -web rasmi. Sebanyak 18 permasalahan dan persoalan telah dipilih untuk dibentangkan dalam pertemuan kali ini. Berikut dinyatakan secara satu persatu untuk makluman, perhatian, dan pengemaskinian, bermatlamat ke arah penyataan hukum yang lebih sempurna. Permasalahan, ulasan dan penyelesaian tersebut sebagaimana berikut: PERTAMA Kes jemaah haji yang menggunakan beg kolostomi, adakah dianggap sebagai menanggung najis kerana mempunyai kaitan rapat dengan isu wuduk, solat dan tawaf? Ulasan: Perkataan “kolostomi” diambil daripada “kolon” yang merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar (colon) di dalam abdomen yang dibuka dan disalurkan ke bahagian dinding abdomen dan dilekatkan pada kulit. Manakala hujung usus yang mengarah ke bahagian dubur (rectum) tidak lagi berfungsi sebagaimana biasa. Beg kolostomi ( colostomy bag ) dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Beg ini adalah jenis beg stoma yang digunakan untuk pesakit yang mengalami pembedahan untuk mengeluarkan najis melalui usus besar (kolon). Beg kolostomi dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Ia digunakan untuk menampung najis yang keluar melalui stoma di perut. Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang menghadapi permasalahan ini, ternyata ia tidak boleh dikawal, maka mereka dianggap berada dalam keadaan darurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah. Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat. Isu batal wuduk apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh ulama adalah dalam konteks orang yang sihat. Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran. Permasalahan kes ini telah dibincangkan dan diputuskan dalam Resolusi Muzakarah Haji Kali Ke-32, Musim Haji 1437H/2015M yang menetapkan jemaah yang memakai beg kolostomi kerana sakit dikategorikan sebagai orang yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wuduk tersebut terbatal dengan sebab-sebab yang membatalkan wuduk. Isu batal wuduk apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh ulama adalah dalam konteks orang yang sihat. Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran. Penyelesaian: Jemaah haji yang menggunakan beg kolostomi seperti mana yang disebut dalam permasalahan ini tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostomi yang dipakainya pada setiap kali berwuduk, atau menunaikan solat, atau melaksanakan tawaf. Wuduk yang diambil boleh digunakan untuk melaksanakan semua ibadat seperti solat, tawaf dan lain-lain. Namun wuduk tersebut akan terbatal dengan sebab-sebab termaklum yang membatalkan wuduk sebagaimana biasa.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=