E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 690 PERMASALAHAN DAN KES RUJUKAN BERKAITAN IBADAT HAJI OLEH JEMAAH HAJI BAGI MUSIM HAJI 1446H/2025M Disediakan oleh: Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim Ustaz Dr. Azhar bin Muhammad PENDAHULUAN Haji dan umrah merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ibadat ini wajib ditunaikan bagi setiap muslim yang berkemampuan. Setiap tahun Jemaah haji yang terpilih akan mengerjakan ibadat ini bersandarkan rukun dan wajib haji. Jemaah haji akan diberikan pendedahan melalui pelbagai bentuk kursus haji dan umrah bagi menjamin kesempurnaan pelaksanaan ibadat ini sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Walau bagaimanapun, sering kali sahaja ada permasalahan dan persoalan yang dikemukakan oleh sebahagian jemaah haji dalam kepelbagaian kategori. Boleh dikatakan setiap musim haji semasa berlangsung, timbul permasalahan ini yang dikesan melalui apa yang dihadapi oleh jemaah haji semasa melakukan ibadat ini, persoalan dan aduan yang dikemukakan kepada para Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS), ataupun terkini melalui soalan-soalan yang dikemukakan melalui e- TAIB yang disediakan oleh Tabung Haji ( TH ). Kebiasaannya beberapa persoalan yang dikemukakan atau dihadapi oleh jemaah haji akan diselesaikan segera dan disusuli dengan kertas perbincangan yang akan dibentangkan dalam Muzakarah haji Peringkat Kebangsaan (MHPK). Tindakan ini diambil bertujuan agar persoalan-persoalan ini dijadikan sebagai satu kajian kes untuk dicadangkan penyelesaiannya secara tuntas, dan dijadikan panduan oleh para pembimbing di musim-musim haji berikutnya. Dalam konteks musim haji tahun 1446H/ 2025M ini, beberapa permasalahan dan persoalan yang berlaku atau yang dibangkitkan sepanjang musim haji lalu telah dikumpul dan dipilih untuk dibentangkan solusi penyelesaiannya. Dengan usaha penulis dan penilaian serta semakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji ( TH -JAKIM), beberapa persoalan tersebut telah dipilih untuk dikemukakan cadangan pencerahan dan penyelesaiannya. Sebagai makluman, kebanyakan persoalan yang ditimbulkan adalah berbentuk pengulangan terhadap soalan-soalan pada musim-musim haji yang lepas, cuma dikemaskini dalam bentuk yang lebih bersifat semasa. Maka rujukan yang digunakan selain daripada rujukan muktabar dalam Mazhab Syafe’i dan lain -lainnya, juga mencatatkan kembali hasil resolusi dan keputusan yang telah dibuat dalam MHPK yang lepas. Justeru diharapkan agar kertas kerja ini akan menjadi peringatan Kembali terhadap permasalahan yang berlaku, bukan sahaja padamusimhaji semasa, bahkan yang telah dibincang sebelum ini dengan harapan ia dapat menjadi panduan dan rujukan di masa akan datang. Semoga dengan pencerahan dan penyelesaian terhadap permasalahan yang dikemukakan ini dapat mengurangkan keraguan dan menambahkan keyakinan semasa menunaikan ibadat haji dan umrah dengan sempurna sama ada kepada pembimbing, pegawai bertugas, dan seterusnya jemaah haji.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=