E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 59 Instagram, TikTok dan YouTube, yang semakin kerap digunakan untuk berkongsi pengalaman haji, menyampaikan dakwah, bahkan untuk tujuan komersial. Tradisi persediaan haji secara turun-temurun dilakukan melalui majlis ilmu, kursus bimbingan, dan pengajian kitab manasik. Namun, dengan kehadiran media sosial, maklumat berkaitan haji kini boleh diperoleh melalui YouTube, Facebook, Instagram, dan TikTok. Hal ini menimbulkan persoalan: adakah media sosial membantu jemaah menunaikan kefardhuan haji dengan lebih baik, atau sebaliknya mengganggu tumpuan dan keikhlasan ibadah? Kajian ini menilai bagaimana media sosial memberi kesan kepada kefardhuan haji dalam tiga aspek: pemahaman, pelaksanaan dan penghayatan. PE NYATAAN MASALAH Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang mempunyai kefardhuan dan syarat pelaksanaan yang telah ditetapkan syarak. Namun, dalam era digital masa kini, media sosial memainkan peranan yang semakin besar dalam membentuk persepsi, pengetahuan, dan amalan umat Islam terhadap kefardhuan ibadah haji (Victoria et al., 2025). Fenomena ini menimbulkan beberapa isu penting yang perlu dikaji secara mendalam. Kajian Hashim et al. (2019) di Malaysia menunjukkan 68% bakal jemaah bergantung pada Facebook dan WhatsApp untuk mendapatkan maklumat pra-haji. Al-Ghamdi A. (2020) pula mendapati Twitter digunakan secara meluas di Arab Saudi untuk komunikasi rasmi kerajaan semasa musim haji. Pendedahan maklumat berlebihan (information overload) di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan dalam memahami hukum dan syarat sah ibadah haji. Ramai bakal jemaah merujuk kepada kandungan di platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube untuk mendapatkan panduan haji, namun tidak semua maklumat tersebut bersumberkan pihak berautoriti agama. Hal ini boleh menyebabkan salah faham tentang aspek wajib, rukun, dan sunat dalam ibadah haji Al-Ghamdi H. M. (2024). Media sosial turut memberi kesan terhadap niat dan keikhlasan jemaah. Trend perkongsian gambar dan video semasa menunaikan haji boleh menimbulkan unsur riya’, serta menukar fokus ibadah daripada ketaatan kepada Allah SWT kepada pencarian populariti sosial. Situasi ini menimbulkan persoalan sejauh mana media sosial mempengaruhi kefahaman jemaah terhadap nilai kerohanian dan kefardhuan haji (Ramlan et al., 2024). Terdapat juga pengaruh komersialisasi ibadah haji melalui media sosial. Promosi pakej haji, testimoni, dan iklan berbentuk pemasaran boleh memberi tekanan kepada masyarakat untuk mengaitkan kefardhuan haji dengan kemewahan, keselesaan dan status sosial. Fenomena ini berpotensi memesongkan kefahaman masyarakat terhadap hakikat kefardhuan haji yang menekankan aspek taqwa, kesederhanaan, dan kepatuhan syariat (Ministry of Religious Affairs, 2023). Penggunaan media sosial semasa menunaikan haji boleh menjejaskan fokus ibadah secara langsung. Keterikatan jemaah dengan telefon pintar bagi tujuan dokumentasi atau komunikasi media sosial boleh mengurangkan penghayatan rohani, serta menjejaskan kekhusyukan dalam menunaikan rukun dan wajib haji (Usamah Alsulaiman et al., 2024). Oleh yang demikian, kajian mengenai pengaruh media sosial terhadap kefardhuan ibadah haji amat penting. Ia bertujuan untuk memahami implikasi positif dan negatif media sosial terhadap kefahaman, niat, dan amalan umat Islam dalam melaksanakan ibadah haji, serta bagi mencadangkan garis panduan penggunaan media sosial yang lebih beretika dan selari dengan maqasid syariah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=