E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 550 " suci " daripada sebarang unsur riba , sering kali menyimpannya melalui cara-cara kasar seperti di dalam tempayan atau menukarkannya kepada aset (Muneeza et al., 2018). 2. Evolusi Pengurusan: Dari Sheikh Haji ke Lembaga Tabung Haji (TH) Sorotan literatur menunjukkan bahawa pengurusan haji telah melalui transformasi yang ketara. Pada era awal (sehingga 1977), sistem pengurusan haji dikuasai oleh Sheikh Haji (broker haji) yang dianggap " setua ibadah haji itu sendiri " ( as old as the haj itself ) (Idris & Maslan @ Baharudin, 2023; Musa & Baharudin, 2024). Walaupun sistem Sheikh Haji menjadi sebahagian sub-budaya berhaji, kajian mendedahkan bahawa ia sering menimbulkan rungutan, salah laku, pengabaian, dan penganiayaan terhadap jemaah (Idris & Maslan @ Baharudin, 2023; Musa & Baharudin, 2024). Kesedaran terhadap masalah sosioekonomi dan eksploitasi ini mendorong kepada langkah reformasi kerajaan (Sharifah Binti Ismail, 2016). LUTH (kemudian TH), yang ditubuhkan pada tahun 1969 berdasarkan kertas kerja Ungku Aziz (1959), berjaya mengatasi kebanyakan masalah ini dengan menyediakan kemudahan simpanan patuh Syariah dan perkhidmatan kesihatan (Aiza Maslan @ Baharudin, 2009; Khaliq et al., 2012; Muneeza et al., 2018). TH diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai model pengurusan yang sukses, malah merupakan satu- satunya organisasi awam haji berkanun di dunia yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan haji yang komprehensif (Sharifah Binti Ismail, 2020). 3. Falsafah dan Etika Pengurusan Berteraskan Islam Kajian-kajian teoretikal pula memberi fokus kepada prinsip etika dan falsafah yang harus mendasari pengurusan haji bagi memastikan jemaah mencapai matlamat utama, iaitu Haji Mabrur (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2010; Sharifah Binti Ismail, 2020). Haji Mabrur ditakrifkan sebagai haji yang tidak dinodai dengan perbuatan dosa dan dilaksanakan dengan sempurna rukun dan hukumnya (Mohamad Zaki & Sulong, 2018). Penyelidikan falsafah Islam menekankan bahawa pengurusan haji yang berjaya mesti berlandaskan empat aspek falsafah Islam (Kamaruding et al., 2017): 1. Epistemologi (Sumber ilmu mestilah Al- Qur’an dan Hadith). 2. Ontologi (Landasan utama adalah Tauhid, keesaan Allah). 3. Aksiologi (Nilai yang perlu diterapkan seperti Ihsan , Amanah , dan Keadilan ). 4. Teleologi (Matlamat akhir adalah Keredhaan Allah ). Manual-manual pengurusan haji yang diterbitkan, seperti Manual Pengurusan Kesempurnaan Manasik (MPKM) (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2010), berfungsi sebagai panduan kepada jemaah dan agensi pengelola untuk memantapkan tadbir urus dan meningkatkan pengetahuan, selaras dengan syariat (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2010). 4. Transformasi Pengurusan Kontemporari dan Penerapan Teknologi Dalam tempoh kontemporari (pasca 2005), sorotan literatur menonjolkan bagaimana TH telah melangkah ke era transisi baru (Sharifah Binti Ismail, 2016) melalui pembangunan dan kemajuan berterusan (Mohamad Zaki & Sulong, 2018). Transformasi penting berlaku selepas kuota haji penuh (30,200) dikembalikan pasca pembesaran Masjidil Haram (Mohamad Zaki & Sulong, 2018). Kajian menunjukkan TH telah mengaplikasikan teknologi moden dan inovasi, termasuk: • Mekah Route: Kerjasama antara imigresen Malaysia dan Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk proses pra-pelepasan, yang mampu menjimatkan masa ketibaan jemaah sebanyak empat hingga enam jam (Mohamad Zaki & Sulong, 2018). • Penggunaan ICT dan Digital: Penggunaan sistem berkomputer dan pembangunan laman sesawang data jemaah seperti dashboardmaktab.hajmobility.my bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan (Khaliq et al., 2012; Mohamad Zaki & Sulong, 2018). Kajian juga menyentuh potensi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan keselamatan, pengurusan orang ramai ( crowd management ), pengangkutan, dan menguruskan perkhidmatan seperti penginapan di Mina (Felemban et al., 2020; Rizk, 2024; Shah, 2024).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=