E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 542 Secara keseluruhannya, literatur menunjukkan adanya jurang yang signifikan. Banyak kajian menegaskan pentingnya maqasid dalam ibadah haji dan sebahagiannya menilai keberkesanan bimbingan Tabung Haji. Namun kajian yang menilai secara empirikal keseimbangan antara fiqh dan maqasid khususnya dengan mengambil kira penerimaan jemaah terhadap digitalisasi masih terbatas. Oleh itu, kajian ini hadir untuk mengisi kekosongan tersebut dengan meneliti pengalaman 1269 jemaah Muassasah 1446H berdasarkan sembilan maqasid terpilih sebagai kajian awal. METODOLOGI Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk tinjauan (survey) bagi menilai sejauh mana bimbingan Tabung Haji (TH) mencapai keseimbangan antara fiqh dan maqasid serta tahap penerimaan jemaah terhadap inisiatif digital. Kaedah tinjauan dipilih kerana sesuai untuk memperoleh data daripada jumlah responden yang besar secara sistematik di samping membolehkan analisis deskriptif dijalankan dengan berkesan. Instrumen soal selidik dibangunkan berasaskan literatur klasik dan kontemporari berkaitan maqasid syariah (Ibn ‘Ashur, 2006; al -Fasi, 1993; Auda, 2008; al-Raysuni, 2005; Kamali, 2008) serta kajian empirikal berkaitan bimbingan Haji di Malaysia (Hasanulddin Mohd et al., 2020; Amran &Mohd Aderi, 2021). Dokumen rasmi Tabung Haji seperti Nota Kursus Asas Haji 1446H turut dijadikan rujukan bagi memastikan konstruk yang dibangunkan benar-benar mencerminkan modul bimbingan semasa. Kesahan kandungan pula disemak oleh tiga pakar dalam bidang haji, syariah dan pembangunan Islam yang menilai kesesuaian item dengan objektif kajian. Instrumen soal selidik yang dibangunkan dalam kajian ini mengandungi lima bahagian utama. Bahagian pertama meneliti demografi jemaah, meliputi jantina, umur, tahap pendidikan, dan status pekerjaan. Bahagian kedua menumpukan kepada kehadiran kursus Haji, termasuk penyertaan dalam Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH), dan Kursus Perdana Haji (KPH). Seterusnya, bahagian ketiga mengkaji sumber bimbingan yang digunakan oleh jemaah, seperti nota bercetak, buku doa, Buku Fiqh Wanita, portal e-Bimbingan, e-Taib, media massa, serta sumber lain yang relevan. Bahagian keempat memberi tumpuan kepada kefahaman dan penghayatan maqasid berdasarkan sembilan maqasid terpilih, iaitu tauhid, ikhlas, zikrullah, sabar, doa, ukhuwah, akhlak, pengorbanan, dan taysir. Akhir sekali, bahagian kelima menilai persepsi jemaah terhadap modul bimbingan, yang merangkumi aspek kandungan, kaedah penyampaian, peranan PIHTAS, serta tahap keseimbangan antara fiqh dan maqasid. Pengumpulan data dilaksanakan sepenuhnya secara digital melalui Google Form yang diedarkan kepada jemaah Malaysia musim Haji 1446H. Kaedah ini dipilih kerana lebih praktikal, menjimatkan masa dan selari dengan kecenderungan pasca pandemik yang mengutamakan penggunaan platform atas talian. Proses pengumpulan data dijalankan pada akhir musim Haji 1446H dan berlanjutan selama hampir dua bulan sehingga jumlah responden yang mencukupi diperoleh. Secara keseluruhan 1269 responden memberikan maklum balas lengkap dan sah. Jumlah ini jauh melebihi keperluan minimum saiz sampel bagi kajian berskala besar (Creswell, 2014) sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan dapatan. Taburan responden merangkumi jemaah lelaki dan wanita daripada pelbagai peringkat umur, tahap pendidikan dan latar pekerjaan, justeru memberikan gambaran yang lebih menyeluruh. Bagi tujuan analisis, data diproses menggunakan statistik deskriptif, khususnya pengiraan kekerapan, peratusan, skor min dan sisihan piawai. Analisis ini sesuai dengan sifat kajian awal yang bertujuan mengenal pasti pola umum, jurang utama antara fiqh dan maqasid, serta tahap penggunaan sumber digital berbanding bahan bercetak. Kajian lanjutan dengan analisis inferensi dijangka akan dijalankan pada fasa seterusnya.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=