E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 541 menilai modul bimbingan TH lebih menekankan aspek fiqh berbanding maqasid. Walaupun tahap kefahaman maqasid keseluruhannya tinggi, penghayatannya didapati tidak seimbang khususnya dalam dimensi sosial seperti ukhuwah dan akhlak. Dalam masa yang sama, penggunaan platform digital seperti portal e-Bimbingan dan e-Taib masih rendah, manakala bahan bercetak kekal dominan. Fenomena ini menggambarkan cabaran besar yang dihadapi TH untuk memperkukuh transformasi digital seiring dengan perkembangan era kecerdasan buatan (AI). Walaupun perbahasan akademik tentang maqasid ibadah haji dan penilaian bimbingan TH telah banyak diketengahkan, kebanyakan kajian terdahulu lebih menekankan aspek hukum atau kualitatif semata- mata. Belum banyak kajian lapangan yang menilai secara empirikal bagaimana jemaah menghayati keseimbangan fiqh – maqasid dalam modul bimbingan khususnya dengan mengambil kira dimensi digitalisasi. Justeru, kajian ini hadir untuk mengisi jurang tersebut dengan menganalisis data soal selidik ke atas 1269 jemaah Haji Malaysia musim 1446H, dengan fokus kepada sembilan maqasid terpilih sebagai kajian awal. SOROTAN LITERATUR Perbahasan mengenai maqasid syariah dalam ibadah telah lama mendapat perhatian para sarjana klasik dan kontemporari. Ibn ‘Ashur (2006) menegaskan bahawa maqasid ialah makna, tujuan dan hikmah yang menjadi roh kepada pensyariatan, manakala al-Fasi (1993) menekankan aspek al-ghayah wa al- asrar (tujuan dan rahsia) di sebalik setiap hukum. Dalam konteks ibadah Haji, al-Zuhaili (2008) menggariskan hikmahnya mencakupi tauhid, zikrullah, persamaan, ukhuwah, dan pengorbanan. Pemikiran ini menegaskan bahawa haji bukan semata-mata ritual teknikal, tetapi suatu proses tarbiah rohani yang membina peribadi dan masyarakat muslim. Wacana kontemporari mengukuhkan lagi kefahaman ini. Kajian Raihanah, al-Rumaithah dan Ahmad (2018) menunjukkan bahawa maqasid mabit di Muzdalifah bukan sekadar keperluan logistik, tetapi berperanan menegakkan zikrullah, mengagungkan syiar Islam, dan menzahirkan persamaan sesama jemaah. Penekanan ini memperlihatkan bahawa amalan yang kelihatan ringkas tetap mempunyai makna maqasid yang mendalam. Jamaluddin (2022) pula menekankan maqasid tauhidiyyah sebagai asas ibadah, dengan menyatakan bahawa seluruh manasik akhirnya menuju maqasid mengesakan Allah. Kajian lebih terkini oleh Intizam (2024) mengangkat pendekatan fiqh awlawiyyat sebagai kerangka memastikan penghayatan maqasid tidak terpinggir di sebalik perbahasan fiqhiy atau hukum. Kesemua kajian ini memberi isyarat bahawa dimensi maqasid perlu lebih mendasari bimbingan fiqh jemaah. Dalam konteks Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) memainkan peranan penting sebagai institusi rasmi yang mendidik bakal jemaah. Kajian Hasanulddin Mohd et al. (2020) menilai modul bimbingan TH dan mendapati bahawa walaupun keberkesanannya diiktiraf, aspek pengukuhan kandungan perlu terus diberi perhatian. Penemuan ini seiring dengan dapatan Amran dan Mohd Aderi (2021) yang melaporkan bahawa peserta Kursus Asas Haji menunjukkan tahap kefahaman yang baik, tetapi masih memerlukan sokongan dari sudut pengaplikasian praktikal dan penghayatan nilai. Sumber rasmi TH, termasuk Nota Kursus Asas Haji (2024), menampilkan modul yang tersusun dengan penekanan besar pada fiqh, sementara inisiatif baharu TH seperti modul tadabbur masih pada peringkat awal pelaksanaan. Aspirasi ini selari dengan garis panduan JAKIM (2024) yang menekankan maqasid syariah sebagai kerangka pembangunan Islam dalam segenap aspek termasuk ibadah Haji. Dimensi digital pula semakin mendapat perhatian dalam penyelidikan mutakhir. Showail (2022) meneliti penggunaan teknologi seperti GPS, RFID dan sensor pintar dalam pengurusan Haji serta integrasi teknologi dengan bimbingan rohani. Sawadi et al. (2023) menilai potensi jam pintar dan aplikasi mudah alih dalam menyokong jemaah terutamanya dalam memantau kesihatan dan perjalanan. Abdoh (2025) pula mengingatkan bahawa inovasi digital dalam bimbingan haji mesti dilaksanakan secara seimbang agar tidak menghakis nilai spiritual dan intipati (maqasid) ibadah itu sendiri. Dapatan ini seiring dengan cabaran semasa Tabung Haji, di mana platform e-Bimbingan dan e-Taib masih kurang dimanfaatkan oleh majoriti jemaah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=