E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 540 MAQASID IBADAH HAJI DAN DIGITALISASI DALAM MODUL BIMBINGAN TABUNG HAJI: SATU KAJIAN AWAL Alrizuady bin Abdul Rahman, Jasni bin Sulong Universiti Sains Malaysia, Malaysia Emel: alrizuady@gmail.com, ABSTRAK Ibadah Haji merupakan kemuncak rukun Islam yang menuntut ketelitian fiqh dan penghayatan maqasid agar ibadah tidak menjadi ritual semata. Di Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) memikul amanah ini melalui kursus bersemuka di tanah air, bimbingan lapangan di tanah suci, penerbitan bahan bercetak, serta inisiatif digital. Usaha berterusan ini diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila TH dinobatkan sebagai penyedia bimbingan Haji terbaik dunia pada tahun 2023. Kajian ini melibatkan soal selidik terhadap 1269 jemaah Muassasah musim haji 1446H, dengan tumpuan kepada sembilan maqasid terpilih sebagai kajian awal. Dapatan menunjukkan modul bimbingan berada pada tahap sederhana tinggi, namun jemaah menilai aspek fiqh masih lebih menonjol berbanding penghayatan maqasid. Walaupun kefahaman terhadap nilai maqasid rohani seperti tauhid, ikhlas, dan zikrullah adalah tinggi, dimensi maqasid sosial seperti ukhuwah dan akhlak kurang menonjol. Situasi ini menandakan perlunya keseimbangan yang lebih baik antara fiqh dan maqasid dalam bimbingan. Dari sudut digitalisasi, majoriti jemaah masih bergantung kepada bahan bercetak seperti Nota Kursus Asas Haji dan Buku Doa, sementara penggunaan e-Bimbingan dan Live Chat e-Taib kekal rendah. Trend ini menggambarkan cabaran TH dalam memperkasa strategi digitalisasi agar lebih mesra pengguna. Kesimpulannya, dua keutamaan strategik dikenal pasti: memperkukuh modul bimbingan dengan integrasi fiqh dan maqasid serta memperluas agenda digitalisasi agar selari dengan tuntutan era kecerdasan buatan (AI). Kata kunci: Maqasid Haji, Tabung Haji, Bimbingan Haji, Digitalisasi, Modul Bimbingan PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan kemuncak rukun Islam yang menghimpunkan dimensi syariah, kerohanian dan sosial. Ia menuntut bukan sahaja ketepatan pelaksanaan fiqh, tetapi juga penghayatan maqasid yang menjadi roh ibadah. Fiqh berperanan menjelaskan apa, bila dan bagaimana (what, when, how) ibadah dilakukan, manakala maqasid menyingkap mengapa (why) ia disyariatkan, termasuk tujuan dan hikmah di sebaliknya (Ibn ‘Ashur, 2006; al -Fasi, 1993). Keseimbangan antara kedua-dua dimensi ini amat penting agar ibadah tidak terhenti sebagai ritual teknikal semata-mata, tetapi benar-benar menzahirkan nilai ketauhidan, zikrullah, pengorbanan, ukhuwah dan akhlak mulia yang terkandung dalam maqasid (al-Zuhaili, 2008). Di Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) memikul tanggungjawab besar dalam membimbing jemaah Haji melalui Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Khas Haji (KKH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Perdana Haji (KPH), bimbingan lapangan oleh PIHTAS, penerbitan bahan bercetak serta inisiatif digital. Kejayaan usaha ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila TH dinobatkan sebagai penyedia bimbingan haji terbaik dunia pada tahun 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai model bimbingan yang berkesan (Tabung Haji, 2024). Namun begitu, dapatan lapangan menunjukkan masih terdapat isu yang perlu diberi perhatian. Jemaah
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=