E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 536 sepenuhnya efektif (Buchari et al., 2020; Thalib et al., 2024). Oleh itu, integrasi kecerdasan buatan (AI) bersama sokongan mutawwif dicadangkan sebagai kerangka baharu yang lebih responsif, adaptif dan berkesan. MODEL AI-MESM Dari sudut teori, pembangunan model AI-MESM adalah berdasarkan kepada tiga rangka kerja utama. Pertama ialah Teori Kecerdasan Emosi yang menekankan kepentingan kesedaran kendiri, kawalan diri, empati dan kemahiran sosial dalam mengekalkan kesejahteraan psikologi (Thalib et al., 2024). Teori ini menunjukkan bahawa emosi boleh dilatih dan dibimbing dan AI dapat berfungsi sebagai alat tambahan yang mengingatkan, memberi motivasi atau menenangkan jemaah melalui mesej sokongan serta analitik emosi masa nyata. Kedua, Teori Stres dan Coping oleh Lazarus dan Folkman memberikan asas bahawa stres timbul daripada ketidakseimbangan antara tuntutan persekitaran dan sumber daya individu ( Maryam, S., 2017). Dalam konteks haji, tuntutan persekitaran termasuk kepanasan, kesesakan dan ritual intensif. AI-MESM bertindak menyediakan sumber coping tambahan, sama ada berbentuk problem- focused (contoh: aplikasi panduan ibadah, jadual aktiviti) atau emotion-focused (contoh: chatbot motivasi, doa digital) yang melengkapi sokongan mutawwif (Alshamrani et al., 2025; Mohammed et al., 2024). Ketiga, Model Penerimaan Teknologi (TAM/UTAUT) menjelaskan bahawa penerimaan terhadap teknologi bergantung pada kebergunaan, kemudahan penggunaan dan kepercayaan. Kajian Khan et al. (2024) mengenai penggunaan AI dalam pelancongan keagamaan mendapati sikap positif terhadap AI meningkatkan penglibatan pengguna. Hal ini penting kerana penerimaan teknologi oleh jemaah hanya dapat dipupuk sekiranya AI hadir bersama bimbingan mutawwif yang berautoriti rohani. Struktur AI-MESM dibina dalam tiga komponen utama iaitu input, mekanisme intervensi dan output. Input merangkumi cabaran dan keperluan jemaah, antaranya keletihan fizikal, tekanan psikososial, kerinduan keluarga, serta keperluan bimbingan spiritual. Mekanisme intervensi pula menggabungkan teknologi AI dengan fungsi mutawwif. Dari segi teknologi, mekanisme ini termasuk panduan ibadah pintar yang menyediakan arahan interaktif dan notifikasi, analitik emosi melalui sensor boleh pakai atau aplikasi suara/teks, serta chatbot berasaskan terapi tingkah laku kognitif (CBT) yang membantu jemaah mengawal keresahan (Farzan et al., 2025; MacNeill et al., 2024). Pada masa yang sama, mutawwif kekal sebagai komponen utama dengan fungsi membimbing ibadah, menenangkan emosi dan mengesahkan kesahihan ritual, sambil menggunakan data yang dibekalkan oleh sistem AI untuk memberi sokongan lebih personal. Output daripada model ini diunjurkan dalam bentuk peningkatan kestabilan emosi jemaah, pengalaman ibadah yang lebih khusyuk dan positif serta pengukuhan peranan mutawwif sebagai pembimbing rohani yang dilengkapi dengan teknologi moden. Secara praktikal, model ini juga berfungsi sebagai asas pembangunan modul latihan mutawwif digital yang bersepadu, menekankan aspek psikososial dan kemahiran menggunakan AI untuk kepentingan jemaah. Keseluruhannya, AI-MESM merupakan satu kerangka yang berteraskan teori psikologi dan teknologi, dibentuk bagi menjawab jurang dalam literatur sedia ada. Model ini tidak bertujuan menggantikan mutawwif, tetapi memperkasakan peranan mereka dengan sokongan teknologi pintar yang sesuai dengan konteks budaya Islam. Ia juga menawarkan sumbangan kepada literatur akademik dengan menggabungkan teori kecerdasan emosi, teori coping stres, dan model penerimaan teknologi dalam satu konteks unik iaitu ibadah haji. Dari sudut praktikal, model ini berpotensi menjadi asas kepada inovasi aplikasi haji pintar dan pembangunan modul latihan mutawwif masa depan yang lebih menyeluruh.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=