E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 535 mereka. Kajian oleh Thalib et al. (2024) menekankan perlunya latihan khusus dalam psikologi haji untuk meningkatkan kecerdasan emosi, bukan sahaja bagi jemaah, tetapi juga bagi mutawwif sebagai penyokong utama. Tambahan pula, terdapat keperluan untuk memperkukuh modul latihan mutawwif. Literatur menunjukkan modul sedia ada lebih menumpukan pada pengetahuan ritual dan logistik, sedangkan aspek psikososial kurang diberikan perhatian. Ini membuka ruang bagi inovasi baharu seperti menggabungkan elemen psikologi dan teknologi dalam latihan mutawwif untuk menjadikan peranan mereka lebih holistik dan berkesan. AI DAN SOKONGAN EMOSI Kecerdasan buatan (AI) semakin digunakan dalam bidang kesihatan mental. Kajian oleh MacNeill et al. (2024) membuktikan keberkesanan chatbot kesihatan mental dalam meningkatkan kesejahteraan emosi pesakit kronik. Chatbot berasaskan AI menyediakan akses mudah, sokongan segera dan kos efektif untuk membantu mengurus emosi. Dalam konteks ibadah, potensi AI turut diperhatikan. Kajian tinjauan oleh Shah et al. (2024) menekankan bahawa aplikasi AI dalam haji dan umrah kini lebih tertumpu kepada logistik seperti pengurusan kepadatan, navigasi dan keselamatan. Namun, mereka menyarankan agar kajian masa depan menekankan penggunaan AI untuk sokongan psikososial jemaah, terutamanya dalam pengesanan stres masa nyata dan intervensi digital. Kajian lain oleh Farzan et al. (2025) menilai keberkesanan chatbot berasaskan terapi tingkah laku kognitif (CBT). Mereka mendapati chatbot AI mampu membantu pengguna mengenal pasti corak pemikiran negatif dan mengurangkan simptom tekanan. Ini menunjukkan bahawa teknologi sama boleh diadaptasi untuk menyokong jemaah haji yang mengalami tekanan emosi sepanjang perjalanan ibadah. INTEGRASI AI DALAM PENGURUSAN EMOSI Walaupun terdapat literatur yang meluas mengenai cabaran emosi jemaah dan peranan mutawwif, kajian tentang integrasi AI dalam sokongan psikososial haji masih terhad. Sebahagian besar aplikasi AI yang ada masih tertumpu kepada aspek logistik dan keselamatan bukan kepada kesejahteraan emosi. Hal ini menimbulkan jurang yang signifikan antara potensi teknologi dan realiti penggunaannya. Tambahan pula, teori penerimaan teknologi (seperti UTAUT) menunjukkan bahawa penerimaan pengguna bergantung kepada persepsi keberkesanan dan kepercayaan terhadap AI. Namun, tiada kajian empirikal khusus menilai sejauh mana jemaah haji atau mutawwif bersedia menerima teknologi AI untuk sokongan emosi. Ini menuntut kajian konseptual dan empirikal yang lebih mendalam bagi memastikan keberkesanan dan kebolehterimaan. Akhir sekali, terdapat kekurangan modul latihan mutawwif yang mengintegrasikan elemen psikologi dan teknologi. Walaupun kajian seperti Thalib et al. (2024) menekankan kepentingan kecerdasan emosi, latihan bersepadu yang melibatkan AI masih belum diwujudkan. Jurang ini menjadi asas kepada cadangan pembangunan model AI-MESM sebagai satu pendekatan baharu dalam pengurusan haji pintar. Asas pembangunan Model AI-Mutawwif Emotional Support Model (AI-MESM) berpunca daripada keperluan mendesak untuk menangani cabaran emosi dan psikososial jemaah haji yang semakin kompleks dalam konteks moden. Walaupun ibadah haji dilihat sebagai puncak pengalaman rohani umat Islam, literatur terkini menunjukkan bahawa tekanan fizikal, kepadatan manusia, faktor cuaca serta kerinduan keluarga memberi kesan besar terhadap kesejahteraan emosi jemaah (Alzeer, 2024; Alshamrani et al., 2025). Pada masa yang sama, mutawwif sebagai pembimbing tradisional memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan ritual dan moral, namun keterbatasan masa, bilangan jemaah yang besar, serta kurangnya latihan dalam aspek psikologi menjadikan fungsi mereka tidak
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=