E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 498 ini benar-benar menilai keupayaan secara holistik atau sekadar berasaskan indikator kewangan semata- mata. Syarikat kecil dan besar mendakwa bahawa dasar ini bersifat tidak adil dan membebankan, kerana ia mengehadkan peluang mereka untuk berkembang dalam industri, walaupun mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran. Akibatnya, dasar ini mungkin memberi kelebihan tidak seimbang kepada syarikat besar, sekali gus mewujudkan ketidaksamaan pasaran serta risiko penguasaan monopoli oleh beberapa pemain utama. Dari sudut kebajikan jemaah, wujud kebimbangan bahawa dasar ini mungkin mengurangkan pilihan syarikat yang tersedia bagi pengguna, yang akhirnya menjejaskan persaingan harga dan kualiti perkhidmatan. Ini bertentangan dengan prinsip perlindungan pengguna dan akses adil kepada perkhidmatan ibadah. Dengan meningkatnya kes penipuan biro Umrah dan jemaah yang terkandas akibat pengurusan kewangan serta logistik yang lemah, satu mekanisme kawalan melalui penetapan kuota berdasarkan modal berbayar telah dicadangkan sebagai langkah pencegahan. Taraf sesebuah syarikat pengendali umrah dapat dibezakan melalui pelbagai aspek termasuk modal berbayar, jumlah jemaah, struktur organisasi, jaringan operasi, variasi perkhidmatan dan reputasi. Pemahaman terhadap perbezaan ini dapat membantu pihak berautoriti, pelanggan, dan pelabur dalam membuat penilaian terhadap kecekapan dan kebolehpercayaan sesebuah syarikat dalam melaksanakan ibadah umrah secara profesional dan bertanggungjawab ( Halal Industry Development Corporation , 2022). SOROTAN LITERATUR Penetapan Kuota Dalam Industri Pengurusan Ibadah Umrah Penetapan kuota dalam industri pengurusan ibadah umrah merupakan satu mekanisme kawal selia yang digunakan oleh kerajaan bagi memastikan kelancaran operasi, keselamatan jemaah, dan integriti syarikat pengendali. Beberapa kajian dan laporan telah meneliti pendekatan serta implikasi dasar berkaitan industri umrah di Malaysia dan negara-negara Islam lain. Sumber: Laporan Tahunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), 2022 Penetapan kuota dalam industri pengurusan ibadah umrah merupakan salah satu mekanisme kawal selia penting yang digunakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan kelancaran operasi, keselamatan jemaah, dan integriti agensi pengendali. Menurut Laporan Tahunan MOTAC (2022), pelaksanaan dasar kuota ini bukan sahaja bertujuan menyekat pertumbuhan syarikat secara tidak terkawal, malah ia turut membantu dalam memastikan hanya pengendali yang benar-benar berkelayakan dan mematuhi garis panduan sahaja yang dibenarkan beroperasi. Ini sekali gus menjadi strategi penting dalam mengekang risiko penipuan, kegagalan logistik, dan pengabaian kebajikan jemaah umrah di luar negara. Kuota Umrah Berdasarkan Modal Berbayar Menurut Senator Wan Martina Wan Yusof, penetapan kuota berdasarkan modal berbayar adalah penting untuk memastikan hanya syarikat yang benar-benar mampu secara kewangan dibenarkan mengendalikan ibadah umrah. Ini bertujuan mencegah penipuan dan jemaah terkandas akibat syarikat tidak berdaya saing. Sumber: “Kuota Berdasar Modal Berbayar Elak Penipuan Haji Umrah” – Harakahdaily, 13 Mac 2025 Dalam konteks pemilihan dan kelulusan pengendali umrah, aspek kestabilan kewangan sering dijadikan asas penilaian utama. Senator Wan Martina Wan Yusof (2025) menegaskan bahawa penetapan kuota berdasarkan jumlah modal berbayar syarikat merupakan langkah proaktif untuk menyaring agensi yang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan. Penilaian ini penting bagi memastikan hanya syarikat yang mempunyai daya saing dan keupayaan logistik dibenarkan menguruskan jemaah. Justeru, langkah ini dilihat sebagai satu mekanisme pencegahan terhadap kes penipuan serta kegagalan operasi yang boleh menyebabkan jemaah terkandas atau mengalami gangguan perkhidmatan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=