E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 497 PENETAPAN KUOTA UMRAH BERDASARKAN MODAL BERBAYAR SYARIKAT PENGENDALI Nazhatul Ain Binti Hisamudin ( corresponding author ), Muhammad Ali Husaini Bin Rozani , Muhammad Saiful Amri Bin Azmi Kolej Profesional MAIWP Emel: nazhatulain@kpmaiwp.edu.my ABSTRAK Penetapan kuota umrah berdasarkan modal berbayar syarikat pengendali yang diuruskan oleh pengendali boleh diselaraskan dengan kapasiti sebenar syarikat. Sistem ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan antara jumlah dana yang dimiliki oleh pengendali dengan jumlah jemaah yang diambil. Melalui langkah ini, aliran keluar dana kepada syarikat yang tidak bertanggungjawab serta risiko jemaah terkandas akibat kegagalan syarikat dikurangkan secara sistematik. Namun, sistem ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penggiat industri umrah di Malaysia. Pertama ialah kebimbangan bahawa pendekatan ini tidak mengambil kira faktor kecekapan operasi dan rekod prestasi sesebuah syarikat. Seterusnya, syarikat menganggap ini tidak adil kerana ia menghadkan peluang mereka untuk berkembang dalam industri ini. Objektif kajian adalah untuk menilai sejauh mana penetapan kuota umrah berdasarkan modal berbayar mencerminkan keupayaan operasi dan pengurusan syarikat pengendali umrah. Seterusnya menganalisis implikasi dasar penetapan kuota terhadap peluang perniagaan dan daya saing syarikat pengendali kecil dan besar dalam industri umrah di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes, yang sesuai untuk meneliti secara mendalam isu penetapan kuota umrah berdasarkan modal berbayar syarikat pengendali. Hasil kajian menunjukkan syarikat bersetuju dengan penetapan sistem ini tetapi mengingatkan bahawa ianya akan memberi jurang antara syarikat kecil dan besar. Cadangan penambahbaikan adalah disarankan untuk mengembangkan model penilaian pelbagai dimensi yang bukan sahaja berasaskan modal tetapi juga mengambil kira pengalaman, rekod prestasi, reputasi dan tahap pematuhan syarikat. Kata kunci: kuota umrah, modal berbayar, syarikat pengendali. PENDAHULUAN Di Malaysia, pelaksanaan ibadah umrah dikawal selia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui garis panduan khas yang perlu dipatuhi oleh syarikat pengendali umrah. Syarikat-syarikat ini perlu berdaftar secara rasmi dan mematuhi syarat lesen khas agar kebajikan jemaah terjamin. Hal ini penting memandangkan terdapat kes-kes penipuan berkaitan umrah yang melibatkan syarikat tidak sah, justeru penekanan terhadap pematuhan undang-undang dan akhlak perniagaan Islam amat dititikberatkan. Penetapan kuota umrah berdasarkan modal berbayar syarikat pengendali telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penggiat industri umrah di Malaysia. Walaupun dasar ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan jemaah umrah, pelaksanaannya menimbulkan beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius. Terdapat kebimbangan bahawa pendekatan ini tidak mengambil kira faktor kecekapan operasi dan rekod prestasi sesebuah syarikat. Modal berbayar semata-mata tidak semestinya mencerminkan keupayaan sebenar sesebuah syarikat dalam menguruskan jemaah secara profesional dan beretika. Ini menimbulkan persoalan sama ada dasar
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=