E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 494 Modul Bimbingan Haji Malaysia dengan Penekanan Psikospiritual Modul bimbingan yang sedia ada lebih menekankan aspek teknikal ibadah dan logistik , sedangkan dimensi psikospiritual sering kurang diberi perhatian. Oleh itu, modul bimbingan perlu diperluas dengan elemen berikut: i. Sesi Latihan Sabar & Pengurusan Emosi: Latihan praktikal seperti “simulasi situasi tekanan” (contoh: beratur panjang, kepadatan manusia) dengan panduan cara mengawal perasaan marah, resah, atau panik. ii. Latihan Disiplin Masa & Pengurusan Kesihatan: Bengkel amali untuk melatih jemaah menepati masa solat berjemaah, jadual bas, serta menjaga pemakanan dan rehat. Latihan ini akan meningkatkan keupayaan adaptasi dalam suasana padat dan terbatas. iii. Simulasi Kehidupan Berjemaah ( Role Play ): Aktiviti praktikal berkumpulan yang meniru suasana berkongsi bilik, tandas, atau perjalanan bersama. Melalui latihan ini, jemaah akan terdedah awal kepada potensi konflik sosial dan dilatih strategi penyelesaiannya. Integrasi Psikologi Islam dalam Kursus Bimbingan Pendekatan psikospiritual Islam perlu diintegrasikan secara formal dalam kursus bimbingan haji. Antara elemen yang dicadangkan ialah: i. Konsep Tazkiyah al-Nafs , Muraqabah & Husn al-Zann : Pembersihan jiwa, kesedaran akan pengawasan Allah, dan berbaik sangka dengan orang lain adalah asas mengawal emosi serta membina ketenangan hati sepanjang ibadah. ii. Teknik Mental Wellness Islami: Latihan pernafasan terkawal (breathing technique) digabungkan dengan doa dan zikir khusus untuk menenangkan fikiran. Contohnya, amalan istighfar dan selawat sebagai coping mechanism rohani. iii. Pengukuhan Makna Ibadah: Setiap cabaran fizikal atau emosi ditafsirkan sebagai ujian yang mengangkat darjat jemaah jika ditangani dengan sabar, sesuai dengan sabda Nabi SAW: “Haji mabrur tiada balasannya melainkan syurga” (Riwayat Bukhari; No. Hadis 1773 & Muslim; No. Hadis: 1449). Pengukuhan Sokongan Sosial Jemaah Malaysia Kajian menunjukkan sokongan sosial adalah faktor perlindungan ( protective factor ) terhadap kesihatan mental (Thoits, 2011). Justeru: Mentor Rohani (Mutawwif & Kaunselor Haji): Selain membimbing aspek ibadah, petugas haji perlu dilatih dengan asas kaunseling supaya dapat mengenal pasti tanda tekanan emosi dalam kalangan jemaah dan memberi sokongan awal. Kaunselor haji pula berperanan sebagai fasilitator psikospiritual yang boleh membantu secara lebih profesional. Sistem Sokongan Rakan Sebilik: Jemaah dibimbing untuk membentuk “ circle of care ” dalam bilik masing-masing, di mana mereka saling mengingatkan, mendengar, dan membantu. Sistem ini bukan sahaja meringankan tekanan individu, malah menumbuhkan ukhuwah yang memperkukuh pengalaman ibadah.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=