E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 491 kesemua mereka adalah “satu jemaah” ( social identification ) boleh merendahkan kesan negatif dari kepadatan dengan dorongan sikap tolong- menolong sehingga membentuk ketenangan beribadah (Khan, 2016). 1.1 Cabaran Cuaca Panas atau Sejuk yang Ekstrem Ibadah haji berlangsung di Tanah Suci Mekah dan Madinah yang beriklim gurun, ditandai dengan suhu yang sangat panas pada musim panas (boleh mencecah 45 – 50°C) dan sejuk pada musim sejuk (sekitar 8 – 12°C pada waktu malam). Bagi jemaah dari negara beriklim tropika seperti Malaysia, perbezaan suhu yang ekstrem ini boleh menimbulkan tekanan fizikal, emosi, dan rohani. Ketika cuaca panas bersangatan, risiko dehidrasi, strok haba ( heatstroke ), keletihan, dan cepat marah. Kajian perubatan menunjukkan haba melampau boleh menjejaskan sistem kognitif dan emosi, menjadikan individu lebih mudah tegang. Cuaca sejuk pula meningkatkan risiko selesema, radang paru-paru, sakit sendi, dan kesukaran tidur (Comrie, 2007). Sejuk yang ekstrem menuntut kesabaran lebih tinggi kerana jemaah perlu tetap melaksanakan ibadah seperti tawaf, sa‘ie, dan bermalam di Mina dan Muzdalifah. 1.1 Tekanan Rakan Sepenginapan atau Perjalanan Ibadah haji memerlukan jemaah hidup dalam suasana kolektif seperti berkongsi bilik, ruang, pengangkutan, bahkan tandas bersama ribuan orang. Keadaan ini sangat berbeza dengan rutin harian di tanah air yang lebih selesa dan individu. Hidup bersama rakan sepenginapan dan perjalanan yang panjang menuntut tahap adaptasi sosial yang tinggi. Konflik boleh berlaku akibat perbezaan latar belakang, budaya, umur, dan sikap. Masa menunggu teman, salah faham dengan rakan sebilik, keperluan dan kehendak rakan sebilik yang berbeza, sikap dan perilaku yang pelbagai, mampu mendatangkan tekanan kepada para jemaah haji. 1.1 Cabaran Kesihatan Diri dan Keupayaan Tubuh Kesakitan kronik boleh memberi kesan emosi yang mendalam, menjadikan kehidupan lebih sukar untuk ditangani dan boleh membawa kepada perasaan tertekan. Begitu juga keletihan dan tidak dapat tidur boleh menjejaskan setiap aspek kehidupan seseorang, termasuk kesihatan mental dan emosi. Meski pun seseorang jemaah haji dewasa ini dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan melepasi tahap kesihatan yang ditentukan, namun faktor perubahan cuaca, jangkitan penyakit, atau lain-lain faktor yang membawa kepada penurunan tahap kesihatan seseorang jemaah mampu memberi kesan mental dan emosi kepada seseorang. Tekanan emosi pula boleh melemahkan imun badan dan meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit (VandenBos, 2015). 1.1 Cabaran Sikap dan Kerohanian Ibadah haji bukan sahaja memerlukan persediaan fizikal, tetapi juga melibatkan perjalanan rohani dan psikologi yang panjang. Secara purata, jemaah Malaysia berada di Tanah Suci antara 40 hingga 45 hari, malah ada yang lebih lama bergantung kepada jadual penerbangan. Tempoh yang lama ini memberi kesan terhadap sikap dan kerohanian kerana ia menguji daya tahan emosi, kesabaran, dan keupayaan mengawal perasaan dalam suasana yang penuh sesak dengan jutaan umat Islam. Solusi Terhadap Cabaran Psikospiritual Jemaah Haji Setelah mengenal pasti pelbagai bentuk cabaran psikospiritual yang dihadapi oleh jemaah haji, langkah seterusnya adalah merumuskan cadangan penyelesaian yang praktikal dan bersepadu. Hal ini penting kerana cabaran-cabaran seperti tekanan mental, penyesuaian diri, cuaca ekstrem, pergaulan sesama jemaah, serta faktor kesihatan dan kerohanian tidak boleh dibiarkan tanpa intervensi. Jika tidak ditangani secara terancang, ia boleh menjejaskan fokus ibadah dan merendahkan nilai spiritual haji yang sepatutnya menjadi puncak pengabdian diri kepada Allah. Oleh itu, bahagian ini mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian dan intervensi psikospiritual yang berpaksikan kepada tiga dimensi utama: (i) persediaan pra-haji yang menyeluruh, (ii) sokongan

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=