E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 447 Oleh sebab itu, para ulama turut melakukan kajian mendalam terhadap dalil-dalil naqli daripada Al- Quran dan Al-Sunnah bagi mengenal pasti pelbagai hikmah di sebalik pensyariatan ibadah haji. Walau bagaimanapun, perkara yang paling utama dan menyeluruh ialah realisasi tauhid hakiki iaitu pengakuan, pengabdian dan ketundukan mutlak kepada Allah SWT tanpa sekutu. Sesungguhnya, hal ini selaras dengan tujuan asal penciptaan makhluk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al- Dzariyat 51:56, “ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. ” . Demi mewujudkan tujuan suci ini, Allah SWT mengutus para Nabi dan Rasul sebagai pembimbing umat kepada jalan tauhid. Firman Allah SWT dalam Surah Al- Anbiya’ 21:25, “ Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". ”. Sememangnya, setiap Rasul datang membawa risalah tauhid sebagai teras utama dakwahnya. Walaupun syariat yang dibawa oleh para Rasul Adalah berbeza-beza seperti yang termaktub dalam syariat yang dibawakan oleh mereka, namun kesemuanya bersatu pada satu asas muktamad iaitu tauhid dan ketundukan yang menyeluruh kepada Allah SWT. Dengan demikian, ibadah haji akan menjadi puncak manifestasi ketaatan dan sebagai medan praktikal bagi merealisasikan tujuan penciptaan makhluk itu sendiri iaitu ibadah yang lahir dari kesedaran tauhid yang murni. Kedua: Haji Sebagai Wadah Penyatuan Umat Dalam kerangka ibadah haji yang merupakan fardhu ain bagi setiap Muslim yang mampu, terdapat prinsip asas yang menyatukan seluruh umat iaitu kesepakatan dalam perkara yang telah dimaklumi sebagai wajib oleh agama ( ma’lum min al -din bi aldarurah ). Perkara-perkara asasi dalam agama seperti keesaan Allah (tauhid), rukun Islam, larangan syirik dan keharaman menzalimi sesama jemaah bukan lagi isu khilafiah, tetapi asas akidah dan ibadah yang mesti dibenarkan tanpa ragu. Melalui pemahaman ini, ibadah haji akan disedari bukan sekadar ritual, tetapi manifestasi hidup tauhid yang menyatukan umat. Kesatuan ini juga tidak lahir daripada paksaan, tetapi daripada kesedaran yang majoriti bahawa terdapat batas-batas suci dalam agama yang tidak boleh dipertikaikan. Apabila umat Islam kembali mengutamakan fardhu ain seperti menjaga akidah dan mematuhi rukun-rukun agama (Islam, Iman dan Ihsan), maka ruang untuk perpecahan akan menyempit. Sebaliknya, apabila isu- isu furu’ (cabangan) yang bersifat khilafiah diperbesarkan sehingga mengaburkan perkara usul (asas), maka ukhuwwah Islamiyyah akan terancam. Justeru, ibadah haji mengingatkan kita bahawa di padang Arafah, tiada tempat untuk fanatisme dalam ideologi yang sempit. Ini kerana, yang ada hanyalah hamba-hamba yang bersujud dalam kepasrahan mutlak kepada Allah. Dalam konteks ini juga, kesedaran terhadap hukum-hakam yang dipelajari tentang ibadah haji akan membawa kepada menghormati pemerintah dan pendapat muktamad dalam mazhab Syafie iaitu mazhab yang menjadi rujukan rasmi dalam hukum hakam ibadah di Malaysia. Mazhab Syafie dengan metodologinya yang sepertimana yang didisiplinkan di dalam usul fiqah telah lama menjadi tiang panduan dalam pelaksanaan manasik. Pengiktirafan terhadap fatwa rasmi oleh Majlis Agama Islam Negeri dan keputusan resolusi muzakarah daripada Lembaga Tabung Haji Malaysia memastikan bahawa bimbingan haji tidak terbiar kepada tafsiran individu atau algoritma AI yang tidak memahami konteks syariah dalam aspek yang bersesuaian dengan usul tasyri’. Hal ini juga menjadi suatu bentuk penghormatan terhadap sanad ilmu dan autoriti keagamaan yang sah kerana unsur penting dalam menjaga keaslian pengalaman haji adalah juga kerana nilai ibadah ta‘abbudi yang ada padanya dan bukan sekadar prosedur teknikal. Oleh itu, kesatuan ummah dalam ibadah haji hanya boleh berlaku apabila tauhid dijunjung melalui asas epistemologi dan perbuatan patuh kepada autoriti agama di Malaysia yang dijadikan sebagai benteng atau tempat berpaut umat terhadap kekacauan interpretasi daripada luar yang boleh mengelirukan. Dalam era digital, di mana maklumat agama terlalu mudah diakses tetapi pada masa yang sama sering kali terpisah daripada sanad dan konteks yang tepat, komitmen terhadap fardhu ain dan rujukan
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=