E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 446 berbilang dan berdiri sendiri, tetapi sebagai manifestasi kehendak dan kekuasaan Ilahi semata-mata. Menurut Al-Ghazali, martabat keempat ini merupakan puncak tertinggi dalam perjalanan tauhid kerana di sinilah penyaksian hamba mencapai kesatuan pandangan ( wahdat al-syuhud ) terhadap Realiti Mutlak; bukan dalam erti ontologi (martabat wujud) yang menafikan kewujudan makhluk (seperti yang disalahfahami oleh sesetengah aliran ekstrem). Akan tetapi, maksud Al-Ghazali di sini adalah dalam erti epistemologi dan spiritual bahawa tiada yang layak dicintai, ditakuti atau diharap serta dipasrahkan selain Allah. Justeru, tauhid siddiqin bukan sekadar akidah yang diyakini secara lisan atau intelektual, tetapi juga suatu realiti batin yang dihayati secara mendalam dan ianya menjadi puncak kesempurnaan iman dalam perspektif tasawuf Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh sebab itu di dalam pandangan sufi Ahli Sunnah Wal Jamaah, tauhid bukan hanya aspek pemikiran, tetapi aspek batin yang mesti dihayati melalui penyucian jiwa ( tazkiah al-nafs ), kesungguhan ( mujahadah ) dan latihan rohani ( riyadah ruhiyyah ). Justeru, tauhid menurut ulama sufi umpama melengkapkan asas binaan tauhid menurut mutakallimin - yang mana, golongan pertama adalah memfokuskan kepada penyucian akidah dari kesesatan. Ada pun golongan yang kedua adalah menyucikan hati dari ketergantungan kepada selain Allah. Dalam konteks manifestasi tauhid, syirik merupakan halangan utama yang mesti difahami agar dapat dielakkan. Al-Sanusi dalam Al-Muqaddimat menjelaskan pelbagai bentuk syirik sebagai panduan kepada umat Islam dalam memelihara kemurnian akidah. Menurutnya, antara jenis syirik adalah; syirik istiqlal iaitu menetapkan adanya dua Tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi. Syirik tab’i d pula adalah menyatukan Tuhan daripada beberapa entiti seperti triniti dalam agama Kristian. Syirik taqrib membawa maksud beribadah kepada sesuatu selain Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Syirik taqlid adalah beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain. Syirik asbab pula bermaksud menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Akhir sekali adalah syirik aghrad iaitu beramal kerana selain daripada Allah SWT. Melalui penjelasan ini, terdapat syirik kecil yang boleh menjejaskan aspek keimanan seseorang Muslim secara khusus. Secara ringkasnya dalam konteks akidah Islam, tauhid bukan sekadar pengakuan lisan, tetapi prinsip teologi yang menjadi asas kepada seluruh sistem kepercayaan dan tapak terbinanya amalan umat Islam yang sekaligus menjadi misi utama yang dibawa oleh semua Nabi dan Rasul, daripada Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW. Tauhid juga merupakan suatu tujuan yang paling mulia ke atas setiap kaum Muslimin untuk mempelajari disiplin ilmunya kerana di sinilah medan perbahasan pembenaran ( tasdiq ) terhadap hal ehwal ketuhanan, kenabian dan perkara-perkara yang ghaib yang menuntut jihad terhadap ilmu. Ibadah haji mengandungi pelbagai tujuan syariah dan salah satu yang paling utama adalah berkait rapat dengan aspek tauhid. Meneguhkan kepercayaan kepada keEsaan Allah SWTmerupakan kewajipan bagi setiap mukallaf, sekaligus menjadi inti utama dalam pelaksanaan ibadah haji. Ini kerana tauhid merupakan asas utama yang ditegaskan dalam seluruh risalah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul sebagai teras ajaran agama Islam (Azli & Jamalluddin 2022). Ibadah-ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT bukan sekadar amalan ritual yang dilaksanakan semata-mata untuk memenuhi kewajipan lahiriah seorang mukallaf. Sebaliknya, setiap ibadah mengandungi tujuan dan hikmah yang ditetapkan oleh syarak untuk dihayati dan direalisasikan oleh hambaNya. Pemahaman mendalam terhadap tujuan murni ini bukan sahaja memperkukuh motivasi rohani dalam beribadah, malah menjadi kompas yang meluruskan niat, membetulkan cara serta menghubungkan amalan zahir dengan kesedaran batin yang ikhlas. Antara ibadah yang paling kaya dengan dimensi maqasidi ini ialah ibadah haji. Tatacara dalam manasik haji banyak mencerminkan aspek dimensi tauhid melalui perbuatan yang sukar difahami dengan akal umpamanya, wuquf, tawaf, saie, bermabit dan sebagainya.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=