E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 445 ( ta’til ). Sebaliknya, sifat aqliah ialah sifat-sifat yang tidak sahaja disokong oleh nas wahyu, malah juga dapat disimpulkan secara rasional dengan kepastian ( qatie dalalah ), sebagaimana terdapat dalam ayat-ayat muhkamat. Sifat-sifat ini seperti wujud, qidam, baqa’, mukhalafatuhu lil hawadits, qiyamuhu bi nafsihi, wahdaniyah, qudrah, iradah, ilm, hayat, sama’, basar dan kalam telah menjadi asas dalam pendisiplinan ilmu tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ia menyatukan dalil naqli dan aqli secara harmoni. Tambahan pula, dalil aqli seperti dalil al-huduts (hujah kemakhlukan alam) berupaya untuk memberikan justifikasi rasional tentang kewujudan Pencipta yang Maha Esa; iaitu dengan natijah bahawa mustahil alam ini wujud secara kebetulan atau azali tanpa pencipta, kerana segala sesuatu yang baharu ( hadits ) pasti memerlukan muhdits (pencipta). Justeru, kewujudan alam semesta menjadi bukti empirikal dan rasional yang mengukuhkan keimanan kepada Allah sebagai Al-Khaliq, Al-Malik, AlMuhaimin atas segala urusan yang sewajarnya disedari oleh hamba-hambaNya yang hidup semata- mata untuk ibadah dan merealisasikan ketaatan hanya kepadaNya. Pendekatan ini menolak secara tegas pandangan kelompok atheist yang menafikan wujud Tuhan, sekaligus menegaskan bahawa akidah Islam yang benar adalah yang bersandarkan kepada wahyu yang muḥkam serta akal yang sihat sebagaimana dipegang teguh oleh imam Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Imam Al-Ashaari dan Imam Al-Maturidi. Bagi mutakallimin, tauhid bukan sekadar pengakuan lisan terhadap keesaan Allah, tetapi suatu prinsip epistemologi Islam yang menuntut tanzih iaitu penyucian atau penafian dari segala bentuk tasybih (penyerupaan dengan makhluk), tajsim (menjisimkan), ta’til (penafian adanya sifat) dan tamtsil (penyerupaan hakikat), sekaligus menegaskan bahawa Allah SWT adalah Esa pada zat, sifat dan perbuatanNya. Seterusnya pendekatan kedua di dalam tradisi sufi Ahli Sunnah Wal Jamaah, konsep tauhid tidak hanya difahami sebagai prinsip ketuhanan yang bersifat rasional sebagaimana dalam kajian ilmu kalam, tetapi juga sebagai pengalaman spiritual yang mendalam. Maksudnya, tauhid di sisi golongan tasawuf merupakan suatu penyaksian batin ( musyahadah ) terhadap keesaan Allah yang melampaui sekadar pengakuan lisan atau pemahaman intelektual. Ulama sufi, meskipun berpegang teguh kepada prinsip tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka turut menekankan dimensi makrifat (pengetahuan batin) dan tajrid (pemurnian hati) sebagai jalan menuju ketulusan niat dan ketergantungan mutlak kepada Allah semata-mata. Al- Ghazali dalam karyanya yang terkenal iaitu Ihya’ Ulumuddin telah menggariskan satu kerangka untuk memahami hakikat tauhid yang dibahagikan kepada empat martabat berdasarkan kedalaman keyakinan melalui penumpuan dalil yang ijmal kepada dalil tafsili beserta dengan penyaksian batin seseorang terhadap keesaan Allah SWT. Martabat pertama ialah tauhid golongan munafik iaitu mereka yang mengucapkan kalimah laa ilaha illa Allah dengan lidah semata-mata iaitu tanpa penghayatan atau keyakinan dalam hati dan bahawa ucapan mereka yang tidak disertai dengan kefahaman atau keikhlasan batin. Martabat kedua ialah tauhid awam , iaitu umat Islam yang menerima dan meyakini makna kalimah tersebut mengikut pemahaman umum (dalil ijmal ) yang dibenarkan oleh jemaah kaum Muslimin tanpa renungan mendalam ( nazari ) atau usaha intelektual yang lebih spesifik. Martabat ketiga dikenali sebagai tauhid muqarrabin , iaitu peringkat mereka yang didekatkan kepada Allah. Golongan ini tidak berpuas hati dengan iman warisan atau keyakinan biasa, sebaliknya berusaha mencari kebenaran melalui dalil-dalil rasional, tanda-tanda kekuasaan Ilahi dalam alam ciptaan Allah serta penyucian jiwa melalui jalan mujahadah. Mereka bersaksi atas keEsaan Allah bukan kerana ikut- ikutan tetapi melalui usaha kognitif dan spiritual yang bersungguh-sungguh. Martabat keempat, yang merupakan puncak tertinggi ialah tauhid siddiqin iaitu tauhid golongan yang benar-benar jujur dalam penyaksian batin mereka. Pada peringkat ini, hamba menyaksikan realiti ketuhanan sedemikian rupa sehingga tiada yang wujud dalam pandangan batinnya selain Allah. Segala bentuk ketergantungan kepada selainNya lenyap dan alam semesta dalam pandangannya tidak lagi dilihat sebagai entiti yang

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=