E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 437 serius kerana masa adalah syarat sah ibadah. Isu ini menepati amaran Tabung Haji (2025) bahawa Arab Saudi kini memperketat kawalan permit dan visa, serta melarang keras berihram tanpa kebenaran rasmi. PPMJ (2025) turut menegaskan bahawa petugas haji yang memegang Iqamah bekerja semasa musim haji di Saudi tidak dibenarkan berihram ketika bertugas, dan pelanggaran boleh membawa hukuman denda atau pengusiran. Hal ini membuktikan bahawa tawaran badal haji murah tanpa dokumen sah adalah tidak munasabah dan berisiko besar menyalahi syarak serta undang-undang. Dapatan turut menyingkap kewujudan sindiket rentas sempadan yang melibatkan pelaksana asing, khususnya dari Indonesia, yang menawarkan upah rendah dengan bukti pelaksanaan yang meragukan (Informan 3). Agensi pelancongan tempatan ada yang mengambil peluang untuk bekerjasama dengan mereka, sekali gus meningkatkan risiko penipuan. Persepsi majoriti informan terhadap pelaksana Indonesia adalah negatif, dinilai tidak amanah serta sukar dipastikan latar belakangnya (Informan 3, 4). Sebaliknya, pelaksana dari Patani dianggap lebih dipercayai kerana hubungan rapat dengan komuniti Malaysia dan latar belakang agama yang kukuh (Informan 1, 3, 5). Namun, kebimbangan tetap wujud sekiranya mereka terlibat dalam promosi berskala besar yang dikhuatiri mendorong kepada eksploitasi pewakil (Informan 7). Dapatan ini bertepatan dengan kajian lapangan yang dijalankan di Indonesia, yang mendedahkan wujudnya fenomena komersialisasi badal haji secara meluas sehingga membuka ruang kepada penipuan. Ikbal (2017) melaporkan bahawa terdapat individu yang mendakwa mampu melaksanakan haji bagi puluhan hingga ratusan orang dalam satu musim dengan hanya membaca nama pewakil ketika tawaf atau wukuf, sedangkan syarat sah badal haji menuntut niat yang sempurna dan kesungguhan dalam pelaksanaan. Kajian Rahmadanil (2021) pula menegaskan bahawa dorongan keuntungan material sering mengatasi keikhlasan ibadah, menyebabkan berlakunya eksploitasi pewakil melalui tawaran upah rendah tetapi tanpa bukti dokumentasi yang sahih. Nurhadi (2020) menambah bahawa peranan agen tidak berlesen di Indonesia telah memperluas jaringan sindiket ini ke negara jiran, termasuk Malaysia, sehingga memperkukuh persepsi negatif terhadap pelaksana dari Indonesia. Dari perspektif agen di Malaysia, isu kepercayaan dan pemilihan pelaksana turut menjadi cabaran utama. Sebahagian agen tidak berhubung terus dengan pelaksana di Tanah Suci, sebaliknya bergantung kepada rangkaian perantara (Informan 2, 3, 4). Hal ini meningkatkan risiko kerana pelanggan sukar memastikan kesahihan ibadah. Ada agen yang lebih berhati-hati dengan hanya memilih pelaksana daripada kalangan petugas rasmi haji Malaysia (Informan 7), atau memastikan pelanggan dapat berhubung secara langsung dengan pelaksana (Informan 4, 7). Dari sudut mekanisme bukti, sesetengah agen menyediakan video langsung sepanjang ibadah (Informan 2), sementara yang lain hanya memberikan sijil atau bukti bergambar (Informan 4, 5). Perbezaan ini menunjukkan tiadanya standard kawalan yang konsisten. Tambahan pula, kaedah pemantauan agen juga berbeza. Ada yang memantau melalui tracker dan komunikasi langsung (Informan 2, 7), ada yang hanya bergantung kepada laporan pelaksana (Informan 3, 5), malah ada juga yang terus tidak memantau selepas memperoleh komisyen (Informan 4). Kelemahan ini membenarkan wujudnya ruang eksploitasi pewakil dan penyelewengan ibadah, selaras dengan dapatan Rahmadanil (2021) dan Ikbal (2017) bahawa keuntungan sering menjadi motivasi utama pelaksanaan badal haji berbanding keikhlasan ibadah. Cadangan Pelaksanaan Perkhidmatan Badal Haji berdasarkan Maqasid al-Shariah Bagi memastikan perkhidmatan badal haji dijalankan secara sahih, telus, dan berlandaskan prinsip syarak, kajian ini mengemukakan cadangan kerangka pelaksanaan yang berpaksikan Maqasid al- Shariah, dengan penekanan kepada tiga dimensi utama: keabsahan, ketelusan, dan akauntabiliti. Kerangka ini dapat berfungsi sebagai asas pembentukan dasar dan garis panduan rasmi oleh pihak berautoriti agama. Garis Panduan dan Kriteria Pemilihan Pelaksana
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=