E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 436 membongkar modus operandi sindiket badal haji yang hanya mengeluarkan sijil atau gambar tanpa sebarang pengesahan sahih (Sinar Harian, 2025; Tabung Haji, 2025). Malah, laporan Berita Harian (2024) menunjukkan terdapat kes di mana seorang individu mendakwa melaksanakan haji bagi ratusan orang dalam satu musim dengan hanya menyebut nama peserta, suatu bentuk penyelewengan yang jelas bertentangan dengan hukum syarak. Selain isu bukti, bentuk urusan agen di Malaysia turut memperlihatkan variasi yang signifikan. Ada agen yang hanya dapat berhubung melalui rangkaian wakil perantara di Tanah Suci (Informan 2, 3, 4), manakala sebahagian lain menguruskan urusan secara langsung dengan pelaksana (Informan 5). Malah, terdapat juga agen yang lebih berhati-hati dengan hanya membenarkan petugas rasmi haji dari Malaysia menjadi pelaksana badal haji (Informan 7). Namun, dapatan turut memperlihatkan perbezaan dari segi masa makluman berhubung identiti pelaksana. Ada agen yang hanya dimaklumkan selepas ibadah selesai (Informan 3), manakala yang lain mengetahui lebih awal sebelum ibadah berlangsung (Informan 4, 5). Dalam sesetengah kes, identiti pelaksana langsung tidak dikongsikan oleh pihak ejen (Informan 2). Keadaan ini sekali lagi menunjukkan ketiadaan standard kawalan yang jelas, sekali gus membuka ruang kepada keraguan terhadap amanah pelaksana. Dalam konteks informan kajian ini, ketiadaan dokumentasi penuh bukanlah petunjuk kepada penyelewengan, sebaliknya mencerminkan tahap kepercayaan tinggi antara pewakil dan pelaksana. Walau bagaimanapun, jika diaplikasikan kepada pihak luar yang tidak mempunyai hubungan langsung, kelemahan dokumentasi membuka ruang besar kepada eksploitasi. Justeru, para agen menekankan keperluan pengesahan identiti pelaksana seperti dokumen passport, iqama, atau permit (Informan 2), selain memastikan pelanggan dapat berhubung terus dengan pelaksana (Informan 4, 7). Dapatan ini selari dengan peringatan Tabung Haji (2025) dan Persatuan Pelajar Malaysia Mekah Jeddah (PPMJ, 2025) bahawa kawalan ketat permit dan larangan petugas berihram semasa bertugas menjadikan bukti ringkas sukar dipastikan kesahihannya. Selain itu, isu pemantauan juga timbul dalam dapatan. Ada agen yang memantau pelaksanaan secara langsung melalui tracker (Informan 2, 7), namun sebahagian lain hanya bergantung pada laporan pelaksana tanpa pengawasan tambahan (Informan 3, 5). Malah, ada yang mengakui bahawa sebahagian agen tidak memantau setelah menerima komisyen (Informan 4), suatu keadaan yang membuka ruang kepada kecuaian dan ketidakamanahan. Oleh itu, isu amanah dalam badal haji perlu difahami secara kontekstual. Bagi pelaksana yang berhubung terus dengan keluarga pewakil, kepercayaan memainkan peranan utama dan mekanisme bukti mungkin lebih longgar. Namun, bagi akad melalui orang tengah, sistem dokumentasi menyeluruh termasuk rakaman penuh di titik kritikal ibadah, pengesahan permit, serta pemantauan pihak berautoriti merupakan keperluan mutlak. Hal ini selaras dengan tuntutan maqasid syariah, khususnya pemeliharaan agama ( ḥifẓ al - dīn ), harta ( ḥifẓ al - māl ), dan amanah ( ḥifẓ al - amānah ), bagi menjamin kesahihan ibadah, integriti pelaksana, serta perlindungan pewakil daripada penipuan dan eksploitasi. Isu Penyelewengan dan Eksploitasi dalam Badal Haji Hasil kajian menunjukkan wujudnya penyelewengan yang signifikan dalam pelaksanaan badal haji, sama ada daripada perspektif pelaksana di Tanah Suci mahupun agen pengurus di Malaysia. Antara isu utama yang dikemukakan ialah amalan seorang pelaksana menerima upah daripada ramai pewakil dalam satu musim haji (Informan 1, 4, 5, 6). Fenomena ini bercanggah dengan prinsip syarak kerana seorang pelaksana hanya boleh berniat bagi seorang pewakil dalam satu musim. Apabila digandakan kepada puluhan atau ratusan individu, pelaksana mustahil dapat menyempurnakan niat dan manasik dengan sempurna. Hal ini selari dengan laporan Berita Harian (2024) mengenai kes pelaksana didapati melaksanakan badal haji bagi 100 hingga 200 orang dengan hanya menyebut nama pewakil ketika tawaf atau wukuf merupakan suatu bentuk eksploitasi ibadah yang jelas tidak sah. Selain itu, wujud isu niat yang dilakukan di luar tempoh manasik haji (Informan 2), suatu pelanggaran
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=