E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 433 ustaz atau ustazah tidak mungkin menipu dalam urusan ibadah. Strategi ini berkesan mengeksploitasi kepercayaan masyarakat yang tinggi terhadap golongan agamawan. Dimensi lain yang tidak kurang penting ialah faktor psikologi dan emosi. Rasa kasih sayang dan ikatan keluarga yang kuat mendorong waris untuk melaksanakan ibadah haji bagi pihak ahli keluarga yang uzur atau telah meninggal dunia. Sentimen ini sering dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menawarkan pakej mampu bayar bagi “melunaskan kewajipan tertangguh” (Berita RTM, 2025). Walaupun niat pelanggan berasaskan penghormatan kepada orang tersayang, kelemahan dari segi penelitian terhadap kesahihan pakej menjadikan mereka mudah terdedah kepada penipuan. Kajian Empirik tentang Penyimpangan Pelaksanaan Badal Haji Kajian-kajian empirikal mutakhir turut memperlihatkan wujudnya penyimpangan serius dalam pelaksanaan badal haji, meskipun konsep asalnya diharuskan oleh syarak dengan syarat-syarat tertentu. Rahmadanil (2021), dalam kajiannya terhadap pelaksanaan badal haji oleh mahasiswa Universiti al- Azhar Mesir dan Universiti Islam Madinah, mendapati secara umum pelaksanaan tersebut menepati kehendak syarak. Namun, beliau mengesan wujudnya amalan oleh penduduk tetap ( muqimin ) di Mekah yang menyimpang daripada prinsip ibadah, antaranya tidak menyempurnakan tawaf (sekadar tiga atau empat pusingan) serta menerima upah bagi beberapa orang serentak. Fenomena ini jelas menunjukkan peralihan motivasi daripada mencari keredaan Allah SWT kepada mengejar keuntungan material, sekali gus menjejaskan kemabruran ibadah. Kajian Nasikhin et al. (2021) di Indonesia pula mendapati peningkatan permintaan badal haji tanpa adanya regulasi yang jelas mengundang risiko ketidakseimbangan antara jumlah pelaksana dan peserta. Hal ini bercanggah dengan garis panduan fiqh yang digariskan oleh Imam al- Nawawī (2000), yang menetapkan empat syarat asas bagi pelaksana badal haji: (i) beragama Islam, (ii) telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri, (iii) memiliki reputasi ketakwaan, dan (iv) jujur dalam melaksanakan janji. Walau bagaimanapun, realiti semasa menunjukkan kriteria ini sukar dipastikan kerana tiada mekanisme pemantauan yang berkesan, khususnya apabila pelaksanaan bergantung kepada jaringan perantara yang tidak telus. Dalam konteks Aceh, Ikbal (2017) menegaskan kelemahan ketara dalam pelaksanaan akad badal haji. Beliau mendapati akad sering kali dilakukan secara tertutup, tanpa sebarang pencatatan rasmi atau pengawasan berautoriti, dan hanya disertai piagam atau sijil sebagai bukti. Ketiadaan dokumentasi formal ini menimbulkan keraguan terhadap kesahihan ibadah serta membuka ruang kepada penyalahgunaan amanah. Keadaan ini sekaligus menyorot jurang ketara antara teori fiqh yang menekankan prinsip ketelusan ( ṣidq dan amānah ) dengan realiti praktis di lapangan. Sementara itu, Maad et al. (2024), dalam pembentangan di Muzakarah Fiqh & International Fiqh Conference, menggariskan keperluan masyarakat agar lebih berhati-hati dalam memilih agensi pelaksana badal haji. Mereka menekankan wujudnya pihak yang sekadar bertindak sebagai orang tengah demi mengaut keuntungan tanpa memastikan kesahihan ibadah dari sudut syarak. Antara bentuk pelanggaran serius yang dikenal pasti ialah pelaksanaan satu ibadah haji bagi ramai pewakil, yang jelas bercanggah dengan prinsip fiqh serta meruntuhkan nilai asas ibadah sebagai manifestasi ketaatan individu kepada Allah SWT. Kesemua kajian ini secara kolektif menggambarkan bahawa penyimpangan dalam pelaksanaan badal haji bukan lagi isu terpencil, tetapi telah menjadi fenomena global yang melibatkan pemain dari pelbagai lapisan samada pelajar, penduduk tempatan, agensi, dan orang tengah. Ia memperlihatkan wujudnya jurang besar antara norma syarak dan realiti semasa, di mana faktor keuntungan, ketiadaan regulasi, serta kelemahan pengawasan agama menjadi pendorong utama.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=