E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 432 Prinsip ḥifẓ al - māl (pemeliharaan harta) juga berkait rapat kerana badal haji sering dibiayai melalui wasiat atau harta pusaka si mati. Perlaksanaan yang telus memastikan harta digunakan untuk tujuan ibadah, bukan disalahguna. Al- Shāṭibī (1997) menekankan bahawa syariah menetapkan penggunaan harta hanya untuk maslahat yang hakiki, dan badal haji merupakan manifestasi penggunaan harta pada jalan ibadah. Selain itu, ḥifẓ al - ʿirḍ (pemeliharaan maruah) dipelihara melalui pelaksanaan badal haji yang sahih, yang mengangkat martabat pewakil kerana amanah terhadap si mati ditunaikan, serta menjaga kehormatan pelaksana yang melaksanakan ibadah dengan penuh integriti. Ibn Qayyim (1991) menegaskan bahawa menjaga maruah manusia dalam ibadah adalah sebahagian daripada maqasid syariah yang perlu dipelihara. Akhir sekali, dimensi ḥifẓ al -nasl (pemeliharaan keturunan) turut tercapai kerana pelaksanaan badal haji memberi ketenangan jiwa (sakīnah) kepada waris bahawa tanggungjawab ibadah si mati telah disempurnakan, sekali gus mewariskan nilai amanah ibadah dalam keluarga Muslim. Isu Penipuan dan Eksploitasi dalam Badal Haji Fenomena penipuan dan eksploitasi dalam pelaksanaan badal haji semakin membimbangkan dalam konteks kontemporari, terutamanya dengan wujudnya tawaran perkhidmatan secara meluas melalui media sosial, surau, dan masjid. Realitinya, sebahagian besar tawaran tersebut menampilkan harga yang tidak munasabah, amalan pelaksanaan yang meragukan, serta manipulasi kepercayaan masyarakat terhadap tokoh agama dan simbol keagamaan. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kesahihan ibadah dari sudut syarak, bahkan turut menggugat kepercayaan awam terhadap integriti pelaksanaan rukun Islam kelima. Antara modus operandi utama yang dikenal pasti ialah tawaran harga yang jauh lebih rendah daripada kos sebenar. Sinar Harian (2025) melaporkan wujudnya iklan badal haji serendah RM1,000 hingga RM3,000, sedangkan kos permit haji di Arab Saudi sahaja mencecah SR10,000 (RM11,300) tidak termasuk pengangkutan, penginapan, dan makanan (MalaysiaGazette, 2025; Tabung Haji, 2025). Tambahan pula, kos minimum bagi penduduk tempatan di Makkah juga dilaporkan sekitar SAR3,985 hingga SAR8,093, justeru tawaran di bawah RM2,000 yang tular di Malaysia jelas tidak munasabah (PPMJ, 2025). Tawaran sebegini memperlihatkan wujudnya eksploitasi terhadap ketidaktahuan masyarakat mengenai kos sebenar pelaksanaan ibadah haji. Selain itu, terdapat amalan pelaksanaan yang tidak seimbang antara jumlah pelaksana dan bilangan peserta. Berita Harian (2024) mendedahkan kes seorang individu yang mendakwa mampu melaksanakan badal haji bagi 100 hingga 200 orang serentak dengan hanya menyebut nama mereka ketika tawaf atau wukuf. MalaysiaGazette (2025) turut membongkar fenomena yang sama, iaitu seorang pelaksana menerima sehingga 200 upah badal haji dalam satu musim. Amalan sebegini bukan sahaja menyalahi syarat sah ibadah, bahkan mengurangkan haji kepada ritual simbolik yang tidak memenuhi tuntutan rukun dan wajibnya. Ketiadaan bukti kukuh pelaksanaan turut menjadi ciri utama penipuan. Mangsa lazimnya hanya menerima sijil atau gambar tanpa pengesahan rasmi, bahkan rakaman yang diberikan sekadar menunjukkan pelaksana memegang plakad nama di Padang Arafah tanpa bukti pelaksanaan setiap rukun haji (Sinar Harian, 2025; Berita RTM, 2025). Hal ini menimbulkan persoalan serius tentang integriti pelaksana dan keabsahan ibadah yang ditunaikan. Lebih membimbangkan, ada pihak yang mendakwa menggunakan khidmat petugas haji untuk melaksanakan badal haji, walhal peraturan Arab Saudi secara jelas melarang petugas berihram atau memasuki Masjidilharam ketika bertugas. Sekiranya melanggar peraturan tersebut, mereka boleh dikenakan denda atau dihantar pulang (PPMJ, 2025). Manipulasi identiti dan simbol agama turut menjadi strategi utama dalam eksploitasi ini. Nama tokoh agama, agamawan terkenal, atau institusi kerajaan sering digunakan sebagai pelaris bagi meyakinkan pelanggan (Sinar Harian, 2025). Berita RTM (2025) menambah bahawa pemasaran pakej badal haji sering melibatkan selebriti agama, dengan berasaskan tanggapan umum bahawa golongan berstatus

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=