E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 431 Badal Haji Sunat Para ulama berbeza pandangan mengenai pensyariatan badal haji dalam ibadah haji sunat. Perbezaan ini lahir daripada perbincangan sama ada keharusan mewakilkan ibadah yang pada asalnya bersifat taʿabbudī boleh diperluaskan kepada ibadah sunat atau hanya terhad kepada ibadah wajib. Sebahagian ulama berpendapat bahawa badal haji dalam haji sunat dibenarkan, tetapi hanya dalam keadaan tertentu iaitu bagi pihak individu yang telah meninggal dunia atau mereka yang masih hidup tetapi mengalami keuzuran fizikal kekal yang digelar sebagai al- maʿḍūb . Istilah ini merujuk kepada individu yang mengalami ketidakmampuan fizikal berpanjangan yang tidak ada harapan sembuh, seolah-olah terputus daripada kesempurnaan pergerakan dan fungsi tubuh. Istilah ini juga dikenali sebagai maʿṣūb , iaitu keadaan di mana saraf atau anggota tubuh rosak akibat kecederaan atau kelemahan kronik (al- Nawawī, 2000). Pandangan ini dianggap lebih sahih dalam mazhab al- Syāfiʿī, dengan syarat si mati mewasiatkan pelaksanaan haji sunat tersebut sebelum meninggal dunia (al- Nawawī, 2000; al - Ramlī, 2021). Ia turut menjadi pendapat mazhab Ḥanafī (al - Ḥumām, 2003) dan salah satu riwayat dalam mazhab Ḥanbalī (Ibn Qudāmah, 1997; al - Mardāwī, 1998). Namun, terdapat juga pandangan lain yang menolak secara mutlak keharusan badal haji dalam ibadah sunat. Pandangan ini dinisbahkan kepada sebahagian fuqaha mazhab Mālikī (al - Ḥaṭṭāb, 2000; al - Dardīr, 2000), salah satu riwayat dalam mazhab al- Syāfiʿī (al -Nawa wī, 2000), serta dipilih oleh ulama kontemporari seperti Ibn ʿUthaymīn (2002). Hujah utama mereka ialah bahawa keharusan mewakilkan haji hanya terpakai dalam ibadah fardu kerana terdapat keperluan mendesak ( ḍarūrah ) yang menjadikannya wajib sama ada dilakukan sendiri atau melalui wakil. Sebaliknya, ibadah haji sunat tidak mencapai tahap keperluan tersebut, justeru ia tidak boleh dilaksanakan melalui perwakilan. Ibn ʿUthaymīn (2002) menegaskan bahawa haji fardu mempu nyai hukum khusus yang membolehkan pelaksanaannya melalui wakil, manakala haji sunat tidak memiliki kedudukan yang sama, justeru tidak boleh diwakilkan. Berdasarkan perbezaan ini, dapat dirumuskan bahawa keharusan badal haji dalam ibadah sunat hanya terpakai menurut sebahagian ulama dengan syarat-syarat tertentu, manakala sebahagian lain menolaknya secara keseluruhan. Hal ini menunjukkan bahawa amalan yang wujud dalam sebahagian masyarakat masa kini yang mengambil mudah untuk mewakilkan ibadah haji sunat perlu diteliti semula, kerana ia tidak pernah menjadi kebiasaan dalam kalangan Salaf terdahulu dan berpotensi bercanggah dengan prinsip asal ibadah yang menuntut pelaksanaannya secara langsung. Prinsip Maqasid al-Shariah dan Matlamat Badal Haji Konsep Maqasid al-Shariah merupakan kerangka penting dalam memahami objektif syariat Islam, termasuk dalam pelaksanaan badal haji. Al- Ghazālī (2015) dan Rosidi et al. (2022) menjelaskan bahawa maqasid teras merangkumi lima perkara utama: pemeliharaan agama (ḥifẓ al - dīn), nyawa (ḥifẓ al -nafs), akal (ḥifẓ al - ‘aql), keturunan (ḥifẓ al - nasl), dan harta (ḥifẓ al - māl). Ibn ʿĀshūr (2006) dan Ismail et al. (2024) pula menegaskan bahawa maqasid bertujuan memastikan hukum-hakam Islam membawa maslahah dan menolak mafsadah kepada umat. Dalam konteks badal haji, prinsip-prinsip ini berfungsi sebagai penentu arah supaya ibadah wakalah ini mencapai tujuan syarak yang sebenar. Dari sudut ḥifẓ al - dīn (pemeliharaan agama), badal haji membolehkan kewajipan haji yang tidak dapat ditunaikan oleh individu disempurnakan oleh wakilnya. Badal haji bagi yang meninggal dunia bukan sahaja bersifat keharusan, bahkan mencapai tahap kewajipan apabila si mati meninggalkan harta yang mencukupi. Dalam keadaan tiada harta, amalan ini tetap dianjurkan sebagai manifestasi birr al- wālidayn (berbuat baik kepada ibu bapa) dan memenuhi Maqasid al- Syariah dalam aspek ḥifẓ al - dīn. Matlamat ini selaras dengan hadis sahih riwayat al- Bukhārī dan Muslim mengen ai wanita yang menunaikan haji bagi ibunya yang telah meninggal dunia. Dengan demikian, kewajipan haji tidak terabai dan maqasid agama dapat ditegakkan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=