E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 415 5. Isu Identiti dan Keyakinan Diri Informan 4 menegaskan bahawa mualaf ada perasaan rasa rendah diri ketika bersama jemaah lain. Ini kerana faktor impurity complex yang sering menghantui diri mualaf akibat daripada kelemahan diri. Informan 4 menyatakan sebagai berikut; “Saya rasa malu kerana ilmu agama saya cetek. Saya takut orang lain pandang saya pelik atau tanya perkara yang saya tidak tahu.” Walaupun begitu, pengalaman beribadah di tanah suci memberi keyakinan baru bahawa menjadi Muslim bukan diukur melalui berapa lama seseorang memeluk Islam tetapi melalui keikhlasan dan usaha berterusan dalam beribadah lebih-lebih dalam menambah pengalaman khususnya melalui ibadah umrah atau haji. 6. Kesihatan dan Faktor Fizikal Antara faktor yang perlu diberikan perhatian dalam menunaikan ibadah umrah dan haji adalah menjaga kesihatan sebelum berangkat. Ini kerana informan kajian menjelaskan bahawa fizikal memainkan peranan penting ketika melaksanakan ibadah umrah atau haji. Informan 3 menjelaskan; “Tawaf tujuh pusingan pun terasa berat, apatah lagi sa‘i yang jauh. Mujur saya dapat nasihat untuk menjaga kesihatan sebelum berangkat.” Mualaf perlu menjaga kesihatan di peringkat awal jika bercadang atau berniat untuk menunaikan umrah atau haji pada tahun tertentu. Selain daripada itu, dinasihatkan supaya mendapat panduan kesihatan awal termasuk pemeriksaan perubatan dan senaman mengikut kesesuaian. 7. Cabaran Psikologi dan Perasaan Terasing Dapatan kajian menunjukkan bahawa Informan 5 dan 6 mengalami cabaran psikologi seperti rasa sunyi, takut dan terasing semasa mengerjakan ibadah umrah. Informan menyatakan bahawa; “ ...duduk sendirian dalam bilik hotel, rasa sunyi dan takut. Kalau tidak ada seorang sahabat yang selalu menemani ..emm… mungkin akan berasa sangat terasing. ” Situasi ini menggambarkan keperluan sokongan emosi dan sosial bagi mualaf ketika menunaikan ibadah. Kehadiran mentor atau rakan pembimbing berperanan besar dalam mengurangkan rasa terasing, sekaligus membantu mualaf menumpukan perhatian kepada ibadah dengan lebih tenang dan yakin. 8. Kurangnya Rujukan Berkenaan Umrah/Haji untuk Mualaf Khususnya Pelbagai Bahasa Kesukaran mencari bahan rujukan umrah dan haji yang sesuai dan khususnya dalam bahasa yang pelbagai. Antara respon yang diberikan oleh Infroman 4, 5 dan 6, mereka menekankan perihal kekurangan bahan rujukan dalam ibadah umrah dan haji dari pelbagai bahasa seperti Tamil, Mandarin, Orang Asli dan sebagainya. Respon mereka adalah seperti berikut; “Buku panduan umrah yang saya baca banyak guna istilah yang saya tidak faham. Kalau ada panduan khas untuk mualaf dengan bahasa mudah dan ilustrasi, itu lebih membantu lebih-lebih lagi dalam bahasa ibunda seperti Cina, India dan lain- lainlah..” Hal ini mencerminkan keperluan mendesak untuk menghasilkan modul dan panduan umrah/haji yang mesra mualaf, menggunakan bahasa yang mudah, disertakan ilustrasi, serta tersedia dalam pelbagai bahasa agar lebih inklusif dan sesuai dengan keperluan komuniti mualaf berbilang etnik.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=