E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 412 seumur hidup bagi yang mampu, berdasarkan firman Allah: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya” (Ali ‘Imran 3:97). Para sarjana fiqh menegaskan bahawa pensyariatan haji adalah pada tahun ke -9 Hijrah, menjadikannya antara ibadah terakhir yang difardukan (al-Qaradawi 2013). Umrah pula meskipun tidak difardukan oleh semua mazhab, sebahagian besar ulama berpendapat ia adalah wajib sekali seumur hidup berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Baginda bersabda: “Umrah adalah wajib seperti haji” (Muslim, Sahih Muslim ). Perbincangan ini meletakkan umrah sebagai ibadah sunat muakkad atau wajib menurut mazhab Syafi‘i, bergantung kepada kemampuan seseorang (Ibn Kathir 2000). Pensyariatan haji dan umrah mengandungi dimensi kerohanian, sosial dan peradaban yang mendalam. Dari sudut kerohanian, ibadah ini menjadi medan tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) dan tarbiyah ruhani, melatih kesabaran, tawakkal serta merendahkan diri di hadapan Allah SWT (Ibn Qayyim 2004). Dari sudut sosial, perhimpunan umat Islam di Tanah Harammenyatukan pelbagai bangsa, bahasa dan budaya, melambangkan kesatuan umat ( wahdat al-ummah ) yang menghapuskan diskriminasi kelas, warna kulit dan kedudukan (Esposito 2018). Malah, haji dan umrah berfungsi sebagai simbol solidariti global umat Islam, sekaligus memperkukuh identiti Muslim yang bersifat universal. Ini selari dengan pandangan al- Ghazali (2011) bahawa haji bukan sekadar ibadah individu tetapi institusi yang mendidik masyarakat kepada nilai kesetaraan dan persaudaraan. Haji dan umrah juga memperlihatkan prinsip rahmah dan al- taysīr dalam syariat Islam. Walaupun ibadah ini menuntut usaha fizikal dan kemampuan kewangan, syariat memberi kelonggaran bagi mereka yang tidak mampu, seperti gugurnya kewajipan haji bagi yang tidak berkemampuan dan adanya rukhsah seperti haji badal, dam dan f idyah bagi yang mempunyai uzur syar‘i (Jusoh, Ahmad & Rahman 2021). Konsep ini memastikan ibadah tidak menjadi beban yang melampaui kemampuan manusia, sejajar dengan kaedah fiqhiyyah al-masyaqqah tajlib al- taysīr (kesukaran membawa kemudahan). Justeru, pensyariatan haji dan umrah mencerminkan keseimbangan antara tuntutan pengabdian kepada Allah dan rahmat-Nya kepada hamba, agar ibadah dapat dilaksanakan dengan penuh keinsafan tanpa mendatangkan mudarat yang berlebihan kepada pelaksana. Mualaf dan Kesedaran terhadap Umrah/Haji Perjalanan seorang mualaf dalam Islam bermula dengan syahadah. Namun, pemahaman mereka terhadap kewajipan ibadah seperti solat, zakat, puasa, apatah lagi haji dan umrah, memerlukan masa serta bimbingan secara berterusan. Kesedaran tentang haji dan umrah sering bergantung kepada tahap pendidikan agama yang diterima selepas memeluk Islam. Bagi sebahagian mualaf, ibadah haji dianggap satu kemuncak kehidupan Islam yang memberi mereka kekuatan untuk memutuskan ikatan lama dengan agama atau budaya asal. Namun, ada juga yang masih kabur mengenai syarat, rukun, dan hikmah di sebalik ibadah tersebut. Di sinilah pentingnya peranan guru agama, institusi dakwah, dan agensi pengurusan haji untuk mendidik serta memupuk kefahaman. Selain itu, kefahaman mualaf tentang haji dan umrah sering dipengaruhi oleh latar budaya asal mereka. Ada yang melihatnya sebagai perjalanan spiritual semata-mata, bukan sebagai kewajipan syarie. Justeru, kesedaran mualaf perlu dipupuk dengan menekankan konsep ibadah sebagai ketaatan, bukan sekadar pengalaman rohani. Kajian menunjukkan pendidikan Islam yang sistematik dan integratif sangat penting dalam membantu mualaf memahami ibadah asas termasuklah ilmu ibadah umran dan haji serta membentuk identiti Muslim yang mantap (Azarudin, Che Mat & Ghani 2023; Nur Shuhadah et al. 2022). Contohnya, kajian “The effects of Islamic education on religiosity among Muallaf students in Malaysia” mendapati bahawa pendidikan agama memperkukuh keimanan dan amalan agama dalam kalangan mualaf pelajar melalui kurikulum yang sesuai dan pembi mbingan langsung. Kajian “Pengurusan Pengajian Islam Terhadap Mualaf” pula menekankan bahawa bukan sahaja pengajaran akidah dan ibadah, malah aspek akhlak dan kehidupan harian perlu dibimbing agar mualaf dapat menunaikan ibadah seperti umrah dan haji dengan kefahaman dan kesiapan. Bagi mualaf, cabaran kewangan sering menjadi penghalang utama bagi menunaikan umrah atau haji.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=