E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 411 CABARAN DAN PENGALAMAN MUALAF MELAKSANAKAN IBADAH UMRAH/HAJI 1 Muhamad Rafee Rahman ( corresponding author ), 2 Hamidah Mat, 3 Muhammad Yusuf Marlon Abdullah 1 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), Malaysia; 2 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Malasyia; 3 Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor (UIS) Emel : rafee.rahman@zakatselangor.com.my ABSTRAK Ibadah haji dan umrah merupakan syiar Islam yang agung, lambang penyatuan umat Islam di seluruh dunia, serta kemuncak pengabdian seorang Muslim kepada Allah SWT. Namun, bagi mualaf, pelaksanaan ibadah ini sering berdepan cabaran berkaitan akidah, kefahaman, kewangan, logistik, bimbingan, dan sokongan sosial. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji cabaran yang dihadapi oleh mualaf ketika menunaikan ibadah umrah dan haji dan apakah peranan institusi Islam dalam membantu mereka. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen dan temu bual separah berstruktur mendalam dengan melibatkan enam (6) orang mualaf yang pernah menunaikan umrah dan haji. Dapatan kajian menunjukkan mualaf menghadapi beberapa isu utama iaitu kekurangan ilmu berkaitan umrah dan haji, masalah kewangan, kurang sokongan keluarga bukan Islam, kesukaran memahami bahasa Arab, isu keyakinan diri, masalah kesihatan, serta cabaran psikologi seperti rasa terasing. Mereka juga menekankan keperluan modul khas mesra mualaf dan mutawwif yang mampu menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan kefahaman dan keyakinan. Kajian mencadangkan penyediaan bimbingan berterusan, modul bergambar dan pelbagai bahasa, latihan mutawwif berbilang kaum, serta mekanisme sokongan psikososial. Pendekatan dakwah yang hikmah dan kerjasama institusi Islam penting untuk memastikan mualaf dapat menunaikan haji dan umrah dengan sempurna, yakin, dan penuh penghayatan. Katakunci: Cabaran, Mualaf, Ibadah, Umrah/Haji PENDAHULUAN Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima, manakala umrah pula merupakan ibadah yang sangat digalakkan (sunat muakkad) dan boleh menjadi wajib apabila dinazarkan. Pelaksanaan kedua-dua ibadah ini bukan sekadar perjalanan fizikal ke tanah suci, tetapi lebih merupakan manifestasi ketaatan, pengorbanan, serta penghayatan mendalam terhadap Islam. Bagi mualaf, kefarduan haji dan galakan umrah membuka ruang kesedaran bahawa mereka kini sebahagian daripada umat Islam sejagat yang menuju kepada satu matlamat utama iaitu keredhaan Allah SWT. Namun, realiti menunjukkan bahawa pelaksanaan ibadah haji dan umrah oleh mualaf tidak semudah seperti masyarakat Melayu atau kelahiran asal Islam. Mereka berhadapan dengan cabaran yang unik, merangkumi aspek pemahaman agama, keperluan kewangan, kurangnya pengalaman, serta tekanan sosial daripada keluarga dan persekitaran bukan Islam. Justeru, kajian dan perbincangan tentang isu ini penting bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi juga dari sudut praktikal, agar dapat ditawarkan jalan penyelesaian yang berkesan. SOROTAN LITERATUR Ibadah umrah dan haji merupakan ibadah wajib yang disyariatkan secara langsung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai manifestasi pengabdian seorang Muslim kepada Allah SWT. Haji diwajibkan sekali

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=