E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 408 Tawaf, dalam tafsir beliau, menggambarkan pengabdian dan ketundukan sepenuhnya kepada Allah. HAMKA menyamakan pergerakan mengelilingi Kaabah sebagai lambang bahawa Allah adalah pusat kehidupan seorang Muslim. Beliau menulis bahawa tawaf adalah simbol dari perjalanan hidup yang sentiasa berputar dalam orbit ketuhanan (HAMKA, 1984). Sa’ie pula disifatkan sebagai simbol perjuangan dan usaha seorang manusia dalam kehidupan. HAMKA menekankan bahawa kisah Siti Hajar yang berlari antara Safa dan Marwah adalah bukti bahawa usaha yang tulus pasti mendapat ganjaran dari Allah — nilai yang sangat penting dalam tasawuf dan kehidupan sosial Muslim. Dalam membincangkan wuquf di Arafah, HAMKA menyatakan bahawa ia adalah puncak kesedaran rohani. Di Arafah, setiap individu bersendirian dengan dirinya dan Tuhannya, melakukan muhasabah, mengakui kesalahan dan memohon keampunan. Ia merupakan medan latihan rohani untuk membersihkan hati dan memperbaharui tekad kehidupan (HAMKA, 1984). Melontar jamrah, menurut HAMKA, adalah simbol jihad melawan kejahatan batin seperti hawa nafsu, syirik, dan sifat mazmumah. Ia bukan sekadar ritual fizikal, tetapi pernyataan tegas bahawa seorang Muslim bersedia memerangi musuh dalamannya demi mencapai kesucian rohani. Akhirnya, tahallul ditafsirkan HAMKA sebagai simbolik pembebasan manusia daripada belenggu dosa dan nafsu setelah menjalani proses penyucian spiritual sepanjang ibadah haji. Secara keseluruhannya, HAMKA melihat ibadah haji sebagai proses tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) dan pendidikan rohani yang harus dihayati secara mendalam. Beliau menyeru agar umat Islam tidak hanya menjadikan haji sebagai ibadah rutin, tetapi sebagai pengalaman spiritual yang membawa perubahan dalam kehidupan peribadi dan sosial. Pandangan Malik Bennabi tentang Falsafah Ibadah Haji Malik Bennabi (1905 – 1973), seorang pemikir Muslim Algeria yang terkenal dengan gagasan tentang post-almohadian man, kolonialisme budaya dan civilizational renewal, melihat ibadah haji bukan sekadar ritual keagamaan tetapi sebagai satu proses pembinaan tamadun dan pengaktifan kembali potensi umat Islam. Falsafah haji menurut beliau mengandungi nilai-nilai yang bersifat strategik bagi transformasi jiwa dan pembinaan masyarakat yang progresif. Dalam kerangka pemikirannya, haji adalah medan latihan peradaban serta tempat umat Islam dari pelbagai bangsa dan latar belakang berkumpul dalam satu sistem nilai yang sama, menanggalkan semua identiti bangsa, darjat dan status sosial. Ini, menurut Bennabi, menunjukkan kemampuan Islammembina satu struktur sosial universal yang berpaksikan tauhid dan kesatuan umat (Bennabi, 1979). Ihram, dalam pandangan Bennabi, merupakan simbol pengosongan diri dari ikatan duniawi yang menjadi penghalang kepada kebangkitan rohani dan pemikiran. Ia adalah permulaan kepada “revolusi dalaman” yang membebaskan manusia dari pengaruh materialisme dan hed onisme yang ditinggalkan oleh kesan kolonialisme pemikiran. Tawaf, bagi Bennabi, menggambarkan satu sistem ketundukan spiritual yang teratur dan tersusun. Ia bukan sekadar bergerak secara fizikal mengelilingi Kaabah, tetapi simbol kepada kehidupan yang berpusatkan Tuhan, berputar dalam paksi tauhid, dan menolak segala bentuk kekuasaan selain Allah. Sa’ie, menurutnya, mengandungi nilai usaha kolektif dan pengorbanan berterusan sebagai sifat penting dalam pembinaan semula umat Islam. Kisah Siti Hajar adalah contoh wanita Muslim yang menjadi model kekuatan, strategi dan harapan yang menunjukkan bahawa dalam ketamadunan Islam, peranan wanita juga signifikan. Wuquf di Arafah dilihat Bennabi sebagai simbol kesedaran sejarah dan titik muhasabah ummah. Arafah mengumpulkan umat Islam di satu tempat, dalam satu waktu dan satu keadaan. Hal ini menandakan kesatuan sejarah, pemikiran dan matlamat umat, yang perlu diterjemahkan ke dalam tindakan kolektif
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=