E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 407 Syed Qutb juga melihat ibadah haji dalam konteks sosial-politik. Menurutnya, perhimpunan besar umat Islam di Tanah Suci adalah satu simbol kekuatan kolektif, penyatuan ummah dan potensi perubahan sosial Islam yang progresif dan adil (Qutb, 2000). Beliau menolak sekerasnya pandangan bahawa haji hanyalah ritual individu tanpa implikasi sosial. Sebaliknya, beliau menekankan bahawa haji adalah alat pembentukan masyarakat bertauhid yang menentang kezaliman, perpecahan dan penindasan. Pandangan Muhammad Asad tentang Falsafah Ibadah Haji Muhammad Asad, seorang cendekiawan Islam dan pemikir moden yang berasal dari Eropah, memberikan tafsiran yang mendalam dan kontemporari terhadap ibadah haji dalam konteks falsafah dan spiritual Islam. Pandangannya banyak diperoleh melalui karya agungnya The Road to Mecca (1954) dan tafsir The Message of the Qur’an (1980), di mana beliau menekankan bahawa haji bukan sekadar ritual fizikal, tetapi sebuah perjalanan spiritual dan simbolik yang menyatukan dimensi individu dan kolektif umat Islam. Menurut Asad (1954), haji adalah simbol kepada pengembaraan rohani manusia mencari Tuhan, iaitu kembali kepada asal penciptaannya yang suci dan bebas daripada segala bentuk perhambaan kepada dunia. Beliau menekankan bahawa ihram, yang menghapuskan simbol status dan identiti duniawi, menandakan kesamarataan dan kerendahan hati di hadapan Tuhan. Dalam ihram, semua manusia adalah sama, tanpa beza ras, pangkat, atau kekayaan ia merupakan satu pengajaran langsung kepada nilai kemanusiaan sejagat dan keadilan sosial. Tawaf, bagi Asad (1980), melambangkan tumpuan total kepada Allah, pusat kewujudan manusia, sebagaimana jasad mengelilingi Kaabah sebagai pusat spiritual dunia Islam. Ia menunjukkan bahawa kehidupan Muslim seharusnya berpusatkan Allah dalam segala aspek. Sa’ie pula mengingatkan kepada perjuangan dan usaha Hajar, yang menurut Asad adalah simbol penting peranan wanita dalam sejarah Islam. Ia juga mencerminkan prinsip usaha dalam kehidupan manusia yang tidak boleh hanya bergantung kepada doa semata-mata, tetapi perlu digerakkan oleh tindakan. Wuquf di Arafah, yang dianggap sebagai kemuncak haji, menurut Asad adalah momen introspeksi dan kesedaran eksistensial. Ia menyeru umat Islam untuk menilai kembali kehidupan, dosa, dan tujuan akhir mereka. Asad menggambarkan Arafah sebagai gambaran miniatur padang Mahsyar iaitu tempat manusia berhimpun untuk diadili, maka wuquf menjadi latihan spiritual terhadap hari pembalasan. Melontar jamrah pula bukan sekadar simbolik melempar syaitan, tetapi manifestasi perjuangan melawan kejahatan dalaman (nafsu), ketidakadilan dan tirani luaran. Ia mengingatkan Muslim agar berani berdepan cabaran moral dan sosial. Akhirnya, tahallul menandakan pembebasan daripada kekangan lama dan kelahiran rohani yang baharu serta satu simbol kepada pembaharuan diri secara menyeluruh. Pandangan Muhammad Asad ini memberikan dimensi falsafah dan kemanusiaan yang luas terhadap haji, dengan menekankan bahawa ia bukan hanya ritual, tetapi juga satu sistem pendidikan spiritual, moral dan sosial. Pandangan HAMKA tentang Falsafah Ibadah Haji Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), tokoh ulama dan pemikir Nusantara yang terkenal, menampilkan pandangan yang mendalam terhadap falsafah ibadah haji, sebagaimana dapat ditemukan dalam karya beliau Tasawuf Modern dan Tafsir Al-Azhar. Bagi HAMKA, haji bukan sekadar pelaksanaan rukun Islam kelima, tetapi merupakan sebuah perjalanan spiritual yang mampu mentransformasikan jiwa dan membina semangat kesatuan umat Islam. HAMKA menegaskan bahawa haji adalah latihan pengosongan diri daripada sifat takabbur dan duniawi, kerana segala bentuk status sosial dan kemewahan ditanggalkan ketika seseorang mengenakan pakaian ihram. Menurut HAMKA (1984), ihram merupakan simbol kematian ego manusia dan peringatan bahawa semua manusia akan kembali kepada Allah dalam keadaan yang sama iaitu tanpa pangkat, kuasa atau harta. Ia mengajar nilai keikhlasan, kerendahan hati dan kesamaan insan di sisi Tuhan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=