E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 370 Kajian Amran & Mohd Aderi (2021) menunjukkan bahawa modul bimbingan LTH berkesan meningkatkan kefahaman asas, khususnya berkaitan rukun dan wajib haji. Namun, skor pemahaman jemaah menurun pada topik yang lebih kompleks, seperti larangan ihram, jenis dam, dan urutan ibadah yang tepat. Hal ini disokong oleh laporan PIHTAS yang mendapati aduan tertinggi daripada jemaah berkisar kepada isu tawaf wada’, larangan ihram dan kes wanita. Situasi ini menandakan bahawa walaupun sistem bimbingan di Malaysia tersusun, masih terdapat keperluan mendesak untuk inovasi pedagogi dan penekanan pada latihan praktikal yang realistik. B-Sistem Bimbingan Haji di Indonesia Di Indonesia, proses pembelajaran ibadah haji dilaksanakan secara sistematik melalui bimbingan manasik haji yang diwajibkan kepada setiap bakal jemaah. Kursus ini dikendalikan oleh Kementerian Agama Republik Indonesia melalui Kantor Urusan Agama (KUA) dengan ketetapan sepuluh kali pertemuan, iaitu dua kali di peringkat kecamatan dan lapan kali di bawah seliaan Kelompok Bimbingan Ibadah Haji (KBIH) atau masjid. KBIH berperanan penting sebagai institusi masyarakat yang membantu jemaah memahami tata cara ibadah haji secara lebih mendalam melalui modul bertulis, bimbingan teori, serta latihan praktikal. Antara pendekatan yang diamalkan termasuk simulasi lapangan dengan miniatur Kaabah, latihan tawaf, sa’i, wukuf, melontar jamrah dan tahallul, yang memberi pended ahan langsung kepada bakal jemaah. Selain itu, perkembangan teknologi turut dimanfaatkan melalui aplikasi digital seperti Haji Pintar yang dibangunkan oleh Kementerian Agama, di samping penggunaan teknologi realiti maya (VR) dan teknologi Digitalisasi (AR) oleh beberapa institusi pendidikan Islam untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran. Di peringkat masyarakat, pendekatan berbentuk komuniti juga dijalankan melalui majlis taklim dan pengajian yang memberi ruang kepada perbincangan hukum fiqh haji serta pengukuhan rohani. Tradisi budaya seperti walimatus safar turut berperanan sebagai wadah sosial dan dakwah dalam memperkukuh pemahaman serta persiapan mental bakal jemaah sebelum berangkat menunaikan haji. C-Sistem Bimbingan Haji di Brunei Di Brunei Darussalam, kursus haji dikelola oleh Tabung Amanah Haji (TAH) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kursus dilaksanakan dalam bentuk teori, praktikal, dan simulasi ibadah di lapangan. Kajian mendapati TAH menekankan pendekatan interaktif dan hands-on, selain mengintegrasikan aspek kerohanian seperti tazkirah dan kaunseling (Mohd Shahid, 2023). Penggunaan teknologi masih sederhana, tetapi ada usaha ke arah digitalisasi modul bimbingan. D-Sistem Bimbingan Haji di Turki Sementara itu, di Turki, pendidikan haji dikendalikan sepenuhnya oleh Presidency of Religious Affairs (Diyanet İşleri Başkanlığı). Modul rasmi seperti Hac Yolcusu Rehberi memberi panduan menyeluruh merangkumi ritual, kesihatan, dan logistik (Diyanet, 2022) . Kajian Kılınç (2019) menekankan fungsi haji sebagai pendidikan agama massa, manakala Demirci (2020) mendapati kursus Diyanet berkesan walaupun terdapat cabaran dari segi keseragaman modul. Aydın (2021) pula menekankan keberkesanan kursus berasaskan pengalaman interaktif. Turki juga mula memanfaatkan platform digital dan video interaktif dalam kursus prahaji. E-Analisis Perbandingan Perbandingan antara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Turki menunjukkan bahawa setiap negara mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Malaysia unggul dengan sistem yang tersusun, berpusat, dan dikawal oleh LTH. Indonesia pula menonjol dari segi keterlibatan masyarakat secara meluas, manakala Brunei menekankan pendekatan personal dan Turki lebih ke hadapan dengan inovasi teknologi. Oleh itu, Malaysia berpotensi memperkukuh lagi sistem bimbingan hajinya dengan menggabungkan kelebihan ketiga-tiga negara lain: keluasan capaian (Indonesia), pendekatan personal (Brunei), dan integrasi teknologi (Turki).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=