E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 356 Cadangan tersebut seperti berikut: 1. Jumlah peserta KAH dalam satu-satu pusat kursus boleh difikirkan kembali untuk diminimumkan kepadatannya. Kebiasaannya di satu-satu pusat KAH di negeri Kelantan, khususnya di daerah Kota Bharu, kapasiti peserta kursus antara 200 hingga 600 orang peserta. Di pusat KAH tempat pengkaji sendiri, peserta yang hadir adalah antara 500-600 orang. Maka dicadangkan pusat-pusat yang terlalu padat dipecahkan kepada beberapa pusat baharu yang lain. Prosedur jemputan peserta KAH sama ada yang terpilih ataupun awam, dan prosedur kehadiran peserta perlu dilaksanakan dengan lebih bersistematik. 2. Modul KAH boleh diperincikan lagi untuk merangkumi aspek-aspek yang ada kaitan rapat dengan ibadat haji dan umrah seperti bersuci, wuduk dan solat. Walaupun telah didapati beberapa elemen yang berkaitan dengan item ini dalammodul terkini, tetapi agak terhad. Modul juga perlu mengenengahkan item-item yang berkaitan dengan penggunaan bahasa dan budaya Arab. 3. Tempoh masa yang diperuntukkan untuk KAH selama 2 jam setengah hingga 3 jam setiap kali pertemuan dianggap sesuai, namun sekiranya diperlukan pertambahan masa terutama jika diambil kira dari aspek pertambahan tajuk-tajuk tertentu (seperti yang dicadangkan), maka tempoh 11 minggu (termasuk amali) itu boleh dilanjutkan 1-3 minggu lagi. Jika dilihat kepada modul KAH yang telah berjalan sekian lama sebelum ini pun, tajuk-tajuk untuk ibadat disediakan sebanyak 15 minggu (Rujuk Nota KAH yang telah diluluskan oleh Jawatan Kuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM) dalam mesyuarat bil. 3/1436H pada 14 Mei 2015, namun modul ibadat ini telah diperkecilkan kepada 10 minggu dan diluluskan dalam bengkel semakan buku nota Kursus Asas Haji pada 4 September 2023). Jika tidak ingin berlaku pertambahan minggu, maka masa bagi setiap kali pertemuan boleh dijadikan 4 jam setiap kali pertemuan. Namun tempoh kursus selama 4 jam ini mungkin perlu difikirkan secara lebih praktikal, kerana peserta yang rata-rata warga emas yang memerlukan kaedah pembelajaran andragogi, faktor tahap penguasaan peserta yang berbeza, ditambah pula dengan suasana keberadaan dalam kursus yang diadakan dalam kedudukan bersila, bukan berkerusi dan bermeja. 4. Tempat kursus KAH yang dilakukan di masjid (khususnya di dewan solat), walaupun ada kemanfaatan lain (seperti disebut oleh informan), tetapi dikira sudah tidak sesuai. Antara beberapa faktor ketidaksesuaian ialah status keberadaan wanita uzur, tiada kemudahan kerusi dan meja, dan kesukaran dan halangan untuk menggunakan audio visual yang terbaik. Banyak respons yang inginkan agar kursus dijalankan dalam sebuah dewan atau bilik seminar dan seumpamanya agar kursus dapat berlangsung secara lebih formal atas rasional keselesaan, pemokusan dan kefahaman terhadap kursus. 5. Penggunaan bahan bantu dan teknologi dalam KAH perlu diperkasakan lagi selari dengan era kecerdasan buatan masa kini. Penyediaan buku nota untuk peserta perlu disediakan dalam format yang lebih efisien, standard, smart , dan menjimatkan untuk kegunaan mereka sepanjang kursus dan selepasnya. Walaupun slaid secara digital telah disediakan dalam web dan dapat dimuat turunkan, namun tidak dapat dinafikan keperluan kepada bahan bercetak masih relevan terutama faktor peserta yang telah terbiasa dengan bahan tersebut. 6. Penyampaian dan penerangan perlu disusuli dengan elemen demonstrasi, simulasi, dan ilustrasi sama ada ditayangkan dalam bentuk kejadian sebenar atau lakonan atau melalui gambaran sebenar (atau karikatur) yang boleh menarik perhatian peserta kursus dan meningkatkan kefahaman mereka. Sebagai makluman, semua item tersebut dengan mudah dapat disediakan pada era kecerdasan buatan masa kini seperti menggunakan bantuan ChatGPT dan sebagainya. Satu kumpulan teknikal yang mempunyai kepakaran tinggi dalam teknologi kecerdasan buatan perlu dibentuk untuk penyediaan dan kawal selia bahan bantu yang akan digunakan dalam kursus. Tambahan pula, jemaah haji kini perlu terlatih dengan penggunaan pelbagai aplikasi terkini dan boleh dianggap sebagai satu keperluan yang mendesak dalam urusan haji sama ada di tanah air atau di Arab Saudi seperti penggunaan MyBorderPass, Saudi Visa Bio, Nusuk, Thhujjaj dan lain-lain yang perlu dimaklumkan kepada jemaah haji.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=