E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 351 2) Modul / Isi Kandungan KAH Rata-rata informan peserta (A1-7) dan pengkursus (B1-7) bersetuju dengan kandungan modul yang dibentangkan dalam KAH. Ada yang mengatakannya amat sesuai kerana merangkumi keseluruhan perkara yang berkaitan ibadat haji dan umrah, malah turut merangkumi elemen falsafah dan sejarah. Namun tidak kurang ada yang mencadangkan agar beberapa elemen ibadat asas perlu didedahkan secara maksimum disebabkan ia mempunyai kaitan rapat dengan ibadat haji dan umrah. Antara yang disyorkan adalah tajuk-tajuk berkaitan bersuci, wuduk, dan solat yang patut diperjelaskan lagi kerana banyak jemaah yang masih belum jelas berkaitan perkara tersebut walaupun telah dilakukan secara harian. Mereka merasakan keperluan terhadap item-item tersebut sebab ia mempunyai kaitan rapat dengan ibadat haji yang akan mereka lakukan di Tanah Suci nanti. Jadi untuk memastikan ibadat haji mereka sempurna, mereka ingin pastikan ibadat-ibadat harian mereka dapat dilakukan dengan baik. Begitu juga ada yang mengesyorkan tentang elemen di luar persoalan ibadat seperti mendedahkan tentang penggunaan bahasa dan budaya Arab bersifat secara minimum palin tidak untuk kegunaan semasa berada di Tanah Suci. Selain itu ada pandangan daripada pengkursus yang berpandangan terdapat tajuk yang tidak dapat dihurai secara lanjut atas kesuntukan masa seperti tajuk berkaitan larangan ihram dan dam. Rata-rata mengatakan sedemikian, antaranya seperti mana yang disebut informan (A7): “Isi kursus sesuai doh, tak perlu kurangkan lagi, tapi kalu tambah lagi comel. Kena ada sedikit dalam kursus benda-benda yang melibatkan kemasyarakatan kerana jemaah haji banyak berdepan dengan macam-macam bangsa dan budaya yang beza sangat. Bahasa Arab hok asas jugak boleh, solat jenazah kalu boleh wat praktikal molek jugak”. Sebahagian fakta ini dapat dilihat juga daripada hasil kajian Mohd Sollah & Mohammad Seman (2016), yang menunjukkan bahawa modul bahasa Arab untuk tujuan haji dan umrah amat diperlukan. Melalui maklumbalas positif yang diberikan oleh responden melalui kajian tinjauan keberkesanan modul bahasa Arab untuk tujuan ini menunjukkan kesesuaian modul untuk digunakan ketika jemaah menunaikan ibadah haji dan umrah. Pandangan ini boleh disokong dengan pandangan informan (B5): “Sudah bersesuaian, cuma perlu dijelaskan satu persatu walaupun tajuk yang agak mudah. kerana ada peserta kadang-kadang perkara yang asas pun belum tahu. Sebagai contoh bab wuduk yang sempurna”. Cadangan daripada pengkursus juga menarik, contohnya informan (B1) mencadangkan: “Tajuk yang disediakan sudah sesuai cuma pendedahan asas fardhu ain, hal berkaitan perbezaan mazhab dan amalan di Tanah Suci juga perlu dedahkan. cadang tambah satu slot lain untuk tuh”. Pengkaji sendiri pun dapat merasakan ada item-item asas berkenaan ibadat asas seperti bersuci, wuduk dan solat yang masih menjadi kesamaran dari aspek pelaksanaannya dalam kalangan peserta. Semasa bersoal jawab dalam kursus, pengkaji dapat rasakan terdapat sebahagian besar peserta masih keliru tentang beberapa persoalan berkaitan bersuci, wuduk dan solat. Jadi pengkursus mesti menerangkan terlebih dahulu item tersebut sebelum mengaitkannya dengan ibadat haji dan umrah kerana ia saling kait mengait antara satu sama lain. 3) Tempoh Masa KAH Kebanyakan bersetuju tempoh masa yang diperuntukkan sangat sesuai, tidak terlalu panjang dinisbahkan peserta yang kebanyakannya telah berusia. Nisbah kepada peruntukan tajuk pula, item rukun dan wajib haji sesuai, tetapi tajuk berkenaan taharah, wuduk, solat masih perlu diperuntukkan masa yang lebih panjang. Masa kursus diadakan pada hari minggu juga amat sesuai untuk semua peringkat jemaah terutama yang masih bekerja. Begitu juga dengan masa dilangsungkan KAH di waktu pagi (sebelum waktu zohor) yang terbaik. Begitu juga dengan pandangan yang dikemukakan oleh informan PEKTA. Informan (A2) berpandangan: “Masa 3 jam sangat sesuai kerana bakal haji rata - ratanya doh berumur, tak leh lama sangat. Hari minggu juga sangat sesuai untuk yang bekerja”.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=