E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 347 menjawab beberapa persoalan temu bual bersama mereka. Sebanyak 6 item soalan temu bual diajukan kepada informan merangkumi tentang modul, jumlah peserta, masa yang diperuntukkan, tempat kursus, penyampaian pengkursus, dan penggunaan bahan bantu dalam KAH. Sebagai makluman, informan merupakan peserta-peserta kursus dari pelbagai daerah/pusat KAH negeri Kelantan yang telah menghadiri KAH di tahun-tahun sebelum ini dan yang telah selesai menunaikan ibadat haji bagi musim haji 1446H/2025M atau sebelumnya. Informan pengkursus pula terdiri dalam kalangan PEKTA negeri Kelantan yang mempunyai tahap pengalaman yang berbeza, semua informan ini berpengalaman sebagai pengkursus KAH selama antara 5 hingga 15 tahun. Kajian juga menggunakan pengalaman luas pengkaji sendiri sebagai pengkursus KAH yang terlibat dengan KAH hampir 15 tahun lamanya. Dapatan awal daripada kajian ini akan dijadikan asas kepada kajian lanjutan yang lebih bersifat komprehensif merangkumi seluruh tempat kursus dan peserta daripada seluruh negara. SOROTAN LITERATUR DAN KAJIAN LEPAS Pengurusan pelaksanaan ibadat haji di Malaysia telah diuruskan secara terancang melalui Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1969 yang dikenali dengan Lembaga Tabung Haji ( TH ) pada tahun 1995. TH telah menguruskan segala hal ehwal yang berkaitan dengan pengurusan haji termasuk penyediaan bimbingan kepada bakal-bakal haji bagi menjamin kesempurnaan ibadat haji mereka. Pelbagai bentuk bimbingan diadakan oleh TH dari semasa ke semasa seperti kursus-kursus haji dan umrah serta lain-lain hingga kini. Kursus-kursus tersebut telah menjadi satu kemestian yang akan dilalui oleh bakal jemaah haji sebagai satu bentuk bimbingan dan persediaan melakukan ibadat ini hingga mereka merasa yakin untuk mengerjakan haji dengan sempurna. Hasil kajian Aiza & Norazlan (2018) mendapati sehingga tahun 1985, permasalahan berkaitan dengan bimbingan haji tidak menjadi isu dan cabaran yang besar pada waktu itu. Sebelum berangkat ke Tanah Suci jemaah haji telah mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan ibadat haji secukupnya. Dalam catatan Sejarah dinyatakan pada tahun 1952 dan sebelumnya, belum terdapat kursus haji yang terancang seperti sekarang ini, tetapi pada masa itu orang yang menjadi ketua rombongan akan memberi kursus kepada jemaah masing-masing. Setelah LUTH ditubuhkan, badan ini telah mengurus bimbingan haji di tanah air dan Tanah Suci (Shukor, 2012). Menurut Zahari & Ahmad Faisal (2019), TH telah menawarkan pelbagai kursus haji yang bertujuan untuk mempertingkatkan kefahaman bakal haji berkenaan dengan manasik haji. Kursus haji ini mendedahkan bakal haji dengan maklumat yang lebih tepat berkaitan dengan ibadah dan pengurusan haji. Pengetahuan yang diperolehi sepanjang kursus dapat membantu mereka mengerjakan ibadah haji dengan sempurna. Bakal jemaah haji juga didedahkan dengan keadaan sebenar di Tanah Suci supaya mereka lebih bersedia dan berlapang dada sepanjang mengerjakan haji. Begitu juga dengan kajian Amran et. al (2018) yang mendapati bahawa pengajaran ibadat haji dalam kursus haji dijalankan oleh pengkursus bertauliah dan mempunyai kemahiran dalam manasik haji. Kajian juga mendapati pengkursus menggunakan kaedah pengajaran bersesuaian dengan orang awam yang mempunyai pelbagai latar belakang iaitu kaedah syarahan, kuliah, penerangan, bercerita, dialog, perbincangan, soal jawab, tunjuk cara, demonstrasi dan simulasi. Namun ada juga kajian yang dibuat mendapati terdapat ketidakfahaman jemaah haji berkaitan isu ibadat apabila mereka berada di Tanah Suci. Kajian terhadap “Penilaian Kefahaman Peserta Kursus Asas Haji Berpandukan Modul Kursus Asas Haji oleh Amran Mat Arriffen & Mohd Aderi Che Noh (2021) merumuskan bahawa peserta KAH memahami topik rukun haji, wajib haji, larangan ihram dan dam dengan baik, namun topik cara mengerjakan haji memerlukan penerangan yang lebih terperinci supaya tidak berlaku kekeliruan semasa jemaah haji berniat ihram di miqat asal. Persoalan berkaitan dam perlu diterangkan secara jelas dan hikmah bagi mengelak salah faham yang menganggap dam itu denda. Pelaksanaan ibadat haji ini mempunyai maksud yang tersirat di sebalik rukun, wajib haji,
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=