E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 334 (1 = sangat tidak setuju hingga 5 = sangat setuju). Item yang bersifat negatif melalui proses reverse coding sebelum dianalisis. Pengumpulan data dilaksanakan secara dalam talian melalui edaran borang Google Form. Bagi menjamin pematuhan etika kajian, responden diberikan borang persetujuan maklumat ( informed consent ) sebelum menjawab soal selidik, dengan jaminan bahawa semua maklumat dirahsiakan dan hanya digunakan bagi tujuan akademik. Proses pengumpulan data berlangsung selama dua minggu. Data dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 28. Analisis deskriptif yang merangkumi min, sisihan piawai, kekerapan, dan peratusan digunakan untuk menilai tahap kefahaman, persepsi, amalan, gangguan ibadah, serta keperluan pendidikan responden. Nilai purata skor ditafsirkan berdasarkan tiga kategori tahap (rendah, sederhana, tinggi) mengikut kaedah interpretasi skor min yang lazim digunakan dalam kajian sosial. Ujian kebolehpercayaan terhadap instrumen menunjukkan nilai pekali Alpha Cronbach keseluruhan α = 0.89, menandakan tahap kebolehpercayaan yang tinggi serta konsistensi dalaman instrumen yang memuaskan. ANALISA DAN DAPATAN KAJIAN Analisis terhadap demografi Kajian ini melibatkan seramai 435 orang responden wanita Muslim di Malaysia. Taburan profil responden merangkumi faktor umur, tahap pendidikan umum, tahap pendidikan agama, serta kekerapan menghadiri kuliah atau ceramah fiqh wanita. Majoriti responden terdiri daripada golongan berumur 26 – 35 tahun (32.4%) dan 36 – 45 tahun (31.0%). Sementara itu, kumpulan berumur 18 – 25 tahun mewakili 18.9% daripada keseluruhan sampel, manakala mereka yang berumur melebihi 45 tahun merangkumi 17.5%. Responden berumur bawah 18 tahun hanyalah 0.2%. Dapatan ini menunjukkan bahawa kajian lebih tertumpu kepada kelompok dewasa muda dan pertengahan, iaitu golongan yang lazimnya stabil dari segi kerjaya, keluarga, dan tanggungjawab sosial. Dari aspek tahap pendidikan umum, keputusan menunjukkan bahawa majoriti responden adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (65.3%), diikuti oleh pemegang Ijazah Sarjana/PhD (15.9%) dan Diploma/STPM/STAM (12.6%). Hanya sebilangan kecil responden mempunyai pendidikan setakat Sekolah Menengah (6.2%). Keadaan ini menggambarkan bahawa sebahagian besar responden memiliki latar pendidikan tinggi, sekali gus meningkatkan kredibiliti dan kualiti data yang diperoleh. Sementara itu, dari sudut pendidikan agama, hampir satu pertiga responden (34.0%) mempunyai pendidikan formal di universiti Islam atau mengikuti pengajian agama mendalam. Sebanyak 27.1% pula berasal daripada sekolah menengah agama atau institusi tahfiz, diikuti oleh 20.0% yang tidak mempunyai pendidikan agama formal, dan 18.2% daripada sekolah rendah agama. Hanya 0.7% responden pernah mengikuti pendidikan pondok. Taburan ini menunjukkan adanya kepelbagaian latar pendidikan agama, yang membolehkan analisis perbandingan dibuat antara kelompok berpendidikan agama formal dan tidak formal. Bagi aspek kekerapan menghadiri kuliah atau ceramah fiqh wanita, majoriti responden hadir ke kuliah atau ceramah fiqh wanita hanya sekali-sekala (54.7%), diikuti oleh mereka yang hadir setahun sekali atau kurang (23.7%). Sebilangan kecil hadir secara mingguan atau lebih kerap (6.4%), manakala 5.7% hadir sebulan sekali. Hanya 9.4% responden tidak pernah menghadiri sebarang kuliah. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun sebahagian besar responden mempunyai tahap pendidikan tinggi serta pendedahan kepada

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=