E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 332 pendekatan rawatan yang bersifat umum atau simptomatik semata-mata. Pendekatan berasaskan bukti ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan rawatan, malah turut berperanan dalam mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang terhadap kesihatan reproduktif wanita. Pada masa yang sama, ia dapat memperbaiki kualiti hidup pesakit dengan memberikan keyakinan bahawa masalah keputihan boleh ditangani secara saintifik, berkesan, dan berkesinambungan (Marhaeni, 2016; Dorjey, 2022). Keputihan dalam Perspektif Fiqh Dalam tradisi fiqh Islam, pandangan mazhab al- Syāfi‘ī yang merupakan pegangan rasmi di Malaysia menetapkan bahawa semua jenis cecair yang keluar daripada kemaluan wanita selain air mani dihukumkan sebagai najis dan membatalkan wudhu’. Al - Nawawī dalam al- Majmū‘ Syarḥ al -Muhadhdhab (2000) menegaskan bahawa keluarnya cecair tersebut termasuk dalam kategori al- aḥdāth al - aṣghar yang mewajibkan proses istinja’ serta pembaharuan wudhu’. Justeru, wanita yang mengalami keputihan sebelum atau semasa solat diwajibkan membersihkan diri dan memperbaharui wudhu’ bagi memastikan kesahan ibadah. Walau bagaimanapun, fuqaha’ memberikan rukhsah dalam keadaan di mana keputihan berlaku secara berterusan ( dā’im al - ḥadath ). Keadaan ini diqiyaskan kepada hukum istihāḍah (darah yang keluar di luar tempoh haid). Menurut al- Syīrāzī dalam al-Muhadhdhab (1995), wanita yang mengalami istihāḍah tetap wajib melaksanakan solat, namun memadai baginya untuk berwudhu’ sekali sahaja bagi setiap waktu solat, setelah melakukan istinja’ serta berusaha menjaga kebersihan daripada najis. Ketetapan ini memberikan kemudahan praktikal kepada wanita yang mengalami keadaan fisiologi yang berpanjangan, tanpa menjejaskan tuntutan syarak terhadap kesucian dan kesahan ibadah. Aplikasi Fiqh dalam pengurusan Ibadah Amalan praktikal wanita Muslim dalam menguruskan keputihan menuntut integrasi antara disiplin fiqh dan kaedah kebersihan moden. Dalam konteks Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Resolusi Muzakarah Haji ke-39 (2022) menegaskan prinsip taysīr (kemudahan) dengan mengiktiraf pandangan mazhab Mālikī. Berdasarkan pendekatan ini, jemaah yang mengalami dā’im al - ḥadath dibenarkan mengambil wudhu’ sebelum masuk waktu solat, meneruskan solat dengan wudhu’ tersebut selagi tidak terbatal oleh sebab lain, manakala memperbaharui wudhu’ selepas itu dianggap sebagai amalan sunat. Pendekatan ini memperlihatkan fleksibiliti fiqh dalam menyesuaikan hukum dengan realiti kesihatan wanita serta tuntutan praktikal ibadah di lapangan. Kajian empirikal turut mengukuhkan dimensi ini apabila Habibah et al. (2023) mendapati bahawa sebahagian besar responden kurang menyedari peranan penggunaan pelapik seluar ( pantyliner ) dalam menjaga kebersihan organ intim dan memastikan kesempurnaan syarat sah solat. Kajian tersebut menyarankan supaya kesedaran pendidikan reproduktif Islam ditingkatkan, khususnya mengenai kaitan langsung antara kebersihan fizikal dan kesahan ibadah. Sementara itu, Ramadhan, Widiyanti dan Arsyad (2022) pula menegaskan bahawa kekerapan penggantian pantyliner mempunyai hubungan signifikan dengan jumlah dan jenis keputihan ( leukorrhea ) dalam kalangan pelajar wanita. Penemuan ini menunjukkan bahawa pengurusan kebersihan intim secara moden dapat menyokong keperluan fiqh dalam memastikan kesucian dan kelancaran ibadah solat. Waswas dan Keyakinan Ibadah Gangguan ibadah dalam kalangan wanita Muslim lazimnya berpunca daripada keraguan berulang terhadap kesucian diri dan kesahan solat, khususnya apabila berhadapan dengan masalah fisiologi seperti keputihan, istihadah dan inkontinens kencing (kencing tidak terkawal). Situasi ini mewujudkan dilema antara tuntutan kesihatan tubuh dan kewajipan syarak, sekali gus mencetuskan fenomena waswas . Mohd Yusoff (2017)

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=