E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 331 kesahan ibadah. Salah satu fenomena fisiologi yang paling lazim dialami ialah keputihan ( vaginal discharge ), iaitu mekanisme semula jadi yang mengekalkan kelembapan faraj serta melindungi keseimbangan ekosistem mikrobiota (Düzçeker et al., 2019; Afriani, 2023). Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, keputihan boleh menjadi indikator kepada jangkitan atau penyakit yang memerlukan rawatan perubatan (Dorjey, 2022; Junair et al., 2023). Meskipun lazimnya ditangani sebagai isu klinikal, bagi wanita Muslim keputihan mempunyai implikasi yang lebih kompleks. Hal ini kerana setiap cecair yang keluar daripada faraj sering dikaitkan dengan hukum kenajisan, status wuduk, serta kesahan ibadah seperti solat dan puasa. Dalam kerangka mazhab Syafie yang dominan di Malaysia, keputihan secara umum ditakrifkan sebagai najis (al- Nawawī, 2000). Justeru, wanita Muslim kerap berdepan dengan dilema berulang dalam menguruskan kebersihan diri, memperbaharui wuduk, dan menunaikan ibadah. Situasi ini bukan sahaja menimbulkan keraguan ( waswas ), malah boleh memberi tekanan psikologi serta menjejaskan kelancaran ibadah (Mohd Yusoff, 2017; Satra et al., 2025). Walaupun isu ini memberi kesan yang signifikan, penyelidikan berhubung keputihan dalam kalangan wanita Muslim di Malaysia masih terbatas, khususnya kajian yang menggabungkan dimensi fiqh dan sains kesihatan dalam satu kerangka integratif. Penilaian komprehensif yang meneliti tahap kefahaman saintifik dan fiqh, persepsi hukum, amalan praktikal, gangguan ibadah, serta keperluan pendidikan bersepadu masih jarang dilaksanakan. Jurang pengetahuan ini penting untuk ditangani kerana pengurusan keputihan tidak hanya bergantung pada rawatan klinikal, tetapi turut berkait rapat dengan keyakinan beribadah, kesejahteraan psikologi, dan sokongan pendidikan moden yang sesuai dengan keperluan semasa. Sehubungan itu, kajian ini dilaksanakan untuk menilai secara menyeluruh kefahaman saintifik dan fiqh, amalan pengurusan fiqh terhadap keputihan, bentuk gangguan ibadah yang dialami, serta keperluan pendidikan dan sokongan bersepadu dalam kalangan wanita Muslim di Malaysia. Menggunakan reka bentuk kuantitatif berbentuk tinjauan, kajian ini memberikan gambaran empirikal tentang bagaimana wanita Muslim memahami, mengamalkan, dan menanggapi isu keputihan. Dapatan yang diperoleh diharap dapat menyumbang kepada pembangunan kerangka pendidikan bersepadu yang mengintegrasikan sains kesihatan, fiqh, psikologi, dan teknologi pendidikan, sekali gus memperkukuh keyakinan wanita Muslim dalam melaksanakan ibadah serta menjaga kesihatan reproduktif mereka. SOROTAN LITERATUR Keputihan sebagai Isu Kesihatan Reproduktif Keputihan ( vaginal discharge ) merupakan fenomena fisiologi semula jadi yang berperanan penting dalam melindungi faraj serta mengekalkan keseimbangan ekosistem mikrobiota yang sihat (Marhaeni, 2016). Secara umum, ia dianggap sebagai satu keadaan normal yang membantu mengekalkan kelembapan dan kebersihan organ reproduktif wanita. Namun demikian, dalam situasi tertentu, keputihan boleh menjadi petanda awal kepada jangkitan bakteria, kulat atau penyakit kelamin, terutamanya apabila berlaku perubahan warna, peningkatan bau yang tidak menyenangkan, serta kegatalan pada bahagian genital (Afriani, 2023; Marhaeni, 2016). Keputihan yang berlebihan juga berpotensi menunjukkan berlakunya jangkitan yang lebih serius dan memerlukan perhatian serta rawatan klinikal segera (Junair et al., 2023). Antara jangkitan yang paling kerap dilaporkan ialah trikomoniasis, diikuti oleh vaginosis bakteria dan kandidiasis vulvovaginal (Dorjey, 2022). Bagi memastikan rawatan yang diberikan adalah tepat dan berkesan, setiap kes keputihan perlu melalui proses diagnostik yang teliti, menyeluruh, dan berasaskan kaedah saintifik. Proses penilaian ini penting bagi mengenal pasti punca sebenar jangkitan sebelum rawatan diberikan, sekali gus mengelakkan

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=