E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 330 INTEGRASI SAINS & FIQH DALAM PENGURUSAN KEPUTIHAN: IMPLIKASI TERHADAP KEYAKINAN IBADAH MUSLIMAH Mohd Harifadilah Rosidi, Yasmin Hanani Mohd Safian, Nur Aina Abdulah, Nur Al-Farhain Kamaruzaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains IslamMalaysia, Malaysia Emel : harifadilahrosidi@usim.edu.my ABSTRAK Keputihan merupakan fenomena fisiologi yang lazim dialami wanita, namun bagi Muslimah, ia sering menimbulkan persoalan fiqh berkaitan kenajisan, kesucian, dan kesahan ibadah. Kekeliruan ini bukan sahaja memberi implikasi terhadap kesihatan reproduktif wanita, tetapi juga membawa kesan kepada kesejahteraan psikospiritual, khususnya dalam bentuk keraguan ( waswas ) yang berpotensi menjejaskan keyakinan ketika beribadah. Walaupun wujud kepelbagaian pandangan fiqh, khususnya dalam mazhab Syafie yang dominan di Malaysia, tahap kefahaman dan pengamalan wanita Muslim berhubung isu ini masih belum diterokai secara menyeluruh dalam kerangka integratif yang menggabungkan sains dan fiqh. Bertolak daripada jurang tersebut, kajian ini dijalankan dengan tujuan menilai tahap kefahaman saintifik, kefahaman fiqh, persepsi hukum kenajisan, amalan praktikal, gangguan ibadah, serta keperluan pendidikan bersepadu dalam kalangan wanita Muslim di Malaysia. Kajian menggunakan reka bentuk kuantitatif berbentuk tinjauan melibatkan 435 orang responden wanita Muslim. Instrumen kajian ialah soal selidik berstruktur yang merangkumi enam dimensi utama. Data dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 28 melalui statistik deskriptif, meliputi min, sisihan piawai, kekerapan, dan peratusan. Beberapa item negatif turut diproses melalui kaedah reverse coding sebelum dianalisis. Dapatan kajian menunjukkan tahap kefahaman saintifik berada pada aras sangat tinggi (Min = 4.50), manakala kefahaman fiqh sederhana- tinggi (Min = 3.68). Persepsi hukum pula memperlihatkan kecenderungan responden untuk menganggap semua keputihan sebagai najis, dengan kefahaman sederhana terhadap konsep uzur syar‘i . Dari segi amalan, responden konsisten menjaga kebersihan diri dan memperbaharui wuduk (Min = 4.23), namun gangguan ibadah masih wujud pada tahap sederhana (Min = 3.04), khususnya dalam bentuk waswas ketika menunaikan solat. Keperluan pendidikan bersepadu didapati sangat tinggi (Min = 4.46), dengan penekanan terhadap kepentingan bimbingan integratif melibatkan pakar perubatan, sarjana fiqh, autoriti agama, serta medium pendidikan digital. Kajian ini menyimpulkan bahawa isu keputihan dalam kalangan wanita Muslim perlu ditangani melalui pendekatan multidisiplin yang menggabungkan sains kesihatan, fiqh, psikologi, dan teknologi pendidikan. Pendekatan ini diyakini dapat memperkukuh keyakinan beribadah, mengurangkan waswas , serta memastikan keseimbangan antara tuntutan kesihatan moden dengan syariat Islam. Katakunci: Keputihan, Fiqh Wanita, Kefahaman Saintifik , Ibadah PENDAHULUAN Kesihatan reproduktif wanita merupakan komponen asas yang menentukan kesejahteraan fizikal, emosi, dan spiritual. Dalam konteks wanita Muslim, isu ini memiliki dimensi khusus kerana ia berinteraksi secara langsung dengan tuntutan syariah, khususnya yang berkaitan dengan aspek kesucian, kenajisan, dan
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=