E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 309 “Dan Allah SWT telah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu kepada sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada- Nya” (Ali- ‘Imran, 3:97). Amalan haji ini dilaksanakan saban tahun oleh jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Haji yang mabrur merupakan matlamat utama dalam mendirikan ibadat haji dapat dicapai melalui pelaksanaan ibadat haji yang sempurna dan bertepatan dengan amalan Rasullulah SAW. Bagi memperoleh kesempurnaan dalam ibadat haji, antara aspek yang perlu diambil berat adalah pengurusan ibadah haji yang bersistematik dan tersusun oleh institusi yang menguruskan jemaah haji kepada para tetamu Allah SWT yang mengerjakan ibadah haji termasuklah fasa sebelum menunaikan ibadah haji seperti penganjuran Kursus Asas Haji (KAH) kepada mereka yang akan menunaikan ibadat haji di negara ini. (Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki & Jasni Sulong, 2018). Pengaplikasian pembelajaran berpandukan teknologi maklumat (ICT) dan elemen digital merupakan antara nilai tambah dan usaha bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu pembelajaran sama ada di dalam atau luar bilik darjah (Nasohah et.al, 2015). Selain itu juga, pembelajaran yang menerapkan penggunaan ICT juga akan berupaya meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan perkembangan teknologi semasa pada masa kini (Logarajah Thambyrajah, 2020). Tidak terkecuali, Kursus Asas Haji (KAH) yang dijalankan setiap tahun di setiap masjid yang terpilih di seluruh Malaysia anjuran Tabung Haji merupakan antara program yang diwujudkan bagi meningkatkan kefahaman bakal jemaah haji terutamanya aspek hukum hakam manasik ibadah haji seharusnya juga menerapkan aspek digitalisasi agar seiring dengan perkembangan semasa (Muhammad Asyraf Anuer, 2025). Oleh itu, seharusnya KAH menjadi program yang terbaik dan memberi manfaat yang besar kepada bakal Jemaah haji di negara ini (Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki & Jasni Sulong, 2018). Oleh itu, kajian sebegini akan mengupas berkaitan cabaran yang dihadapi dalam Pendigitalan dalam Pengajaran dan Pembelajaran KAH serta keperluan semasa dalam aspek pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran KAH. LATAR BELAKANG TABUNG HAJI DAN KURSUS ASAS HAJI TABUNG HAJI (KAH) Pengurusan ibadah haji di Tanah Melayu dikatakan bermula sejak zaman Hang Tuah menggunakan khidmat para syeikh haji. Laksamana Hang Tuah dan rombongan misalnya, telah diberi tempat oleh Malek di Mekah ketika menunaikan ibadah haji dalam perjalanan menuju ke Turki. Begitu juga sewaktu mereka berada di Madinah, Laksamana Hang Tuah dan rombongan juga tinggal selama dua belas hari di tempat Syeikh Jamaluddin. Malek dan Syeikh Jamaluddin ini berperanan sebagai Syeikh Haji ketika itu (Jabatan Perdana Menteri, 1993) Seterusnya, dalam Hikayat Hang Tuah yang dimuat dalam Tuhfah al-Nafîs karya Raja Ali Haji dijelaskan bahawa Raja Ahmad (Ayah Raja Ali), Raja Ali Haji sendiri dan rombongan telah memilih Syeikh Ahmad Mushaffa sebagai Syeikh Haji. Ketika Raja Ahmad, Raja Ali Haji dan rombongan sampai di Jedah pada tanggal 18 Sya’ban 1243 H (1827 M), mereka telah diraikan sebagai tetamu Syeikh Haji oleh Syekh Ismail, Syekh Daud, dan Syekh Ahmad Mushaffa. (Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, 1982). Seterusnya, sejak tahun 1950 kegiatan pengurusan ibadah haji yang lebih tersusun telah diketuai oleh Syekh Ibrahim al Sagoff berpusat di Singapura serta dibantu oleh Syekh Ahmad al-Mansyor yang berpusat di Pulau Pinang. Mereka juga bertindak sebagai perwakilan Syekh Haji di Tanah Arab. Secara umum, sistem Syekh Haji berfungsi sebagai institusi yang menyelenggarakan urusan pemberangkatan calon haji ke tanah suci. Tugas syeikh haji pada ketika itu selain memberikan pelayanan kepada bakal jemaah haji di tanah air, mereka juga memberikan layanan kepada semua tetamu Allah SWT di Tanah Suci. (Haisam Raid Al-

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=