E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 295 pengetahuan bakal haji serta membantu mereka menguasai kemahiran dengan mudah dan sistematik. Pendekatan praktikal ini juga memudahkan peserta membayangkan pelaksanaan ibadah haji berbanding kaedah ceramah atau soal jawab semata-mata. Tambahan pula, Amran dan Mohd Aderi (2021) menegaskan bahawa PEKTA perlu kreatif dan inovatif dalam menggambarkan suasana sebenar di Mekah, termasuk tawaf, sa’ie dan larangan ihram. Pendekatan ini menjadikan peserta lebih fokus, tidak berasa jemu serta mudah memahami kandungan modul sekali gus meningkatkan kualiti ibadah haji. Pengetahuan dan keupayaan penceramah dalam menyampaikan pengisian ibadat haji juga merupakan faktor penting yang mendorong keberkesanan bimbingan haji. PEKTA yang dilantik perlu mempunyai tauliah mengajar haji dan umrah serta mempunyai latarbelakang pendidikan agama dengan kelulusan Diploma Pengajian Islam atau Pendidikan Islam (Nurhanim Abu Bakar, 2020). Malah, PEKTA juga perlu menguasai kandungan modul ibadat haji dengan baik. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu dan maklumat, tetapi juga bertanggungjawab membentuk peserta dengan akhlak Islamiah dan sifat mahmudah (Amran, Mohd Isa & Mohd Aderi, 2018). Sehubungan dengan itu, ilmu yang disampaikan lebih diyakini dan memberi kesan positif kepada pemahaman serta persediaan peserta. Penggunaan teknologi sebagai alat bantu mengajar memberi kesan terhadap kefahaman peserta kursus haji. Kajian oleh Abdul Aziz, Tamar Jaya dan Farahwahida (2014) menunjukkan tahap persetujuan responden yang sangat tinggi terhadap penggunaan teknologi seperti perisian 3D, studio haji maya ( Virtual Hajj ) dan simulasi haji dalam memberikan gambaran yang lebih jelas tentang manasik haji. Jemaah juga dilihat bersedia menggunakan kemudahan elektronik seperti CD dan internet kerana ia membantu menyelesaikan permasalahan berkaitan ibadat haji. Penemuan ini disokong oleh Ismail dan Rahman (2022) yang mendapati teknologi interaktif dapat meningkatkan kefahaman jemaah dengan menyediakan visualisasi ibadah yang mudah difahami. Malah, negara seperti Indonesia telah mula menggunakan platform digital untuk membimbing jemaah, termasuk latihan simulasi dalam talian dan panduan interaktif (Sulaiman & Hassan, 2021). Dapat dirumuskan bahawa keberkesanan program bimbingan haji dipengaruhi oleh 10 faktor iaitu latar belakang aliran pendidikan, jantina, tahap pendidikan, ilmu pengetahuan sedia ada, pengalaman menunaikan haji, pengalaman serta kekerapan menghadiri kursus haji, kaedah penyampaian, pengetahuan dan keupayaan penceramah, modul bimbingan haji dan penggunaan teknologi instrumen sokongan pengajaran. Walau bagaimanapun, aspek lain yang tidak kurang penting seperti faktor usia dan keupayaan fizikal peserta, kemudahan fasiliti program, lokasi penganjuran kursus serta kandungan modul bimbingan itu sendiri masih kurang diberikan penekanan yang sewajarnya dalam perbincangan kajian lepas. Secara lebih terperinci, faktor-faktor ini dapat dikategorikan kepada dua dimensi utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman merujuk kepada elemen yang melibatkan latar belakang peserta kursus haji, manakala faktor luaran merangkumi modul bimbingan, pengkursus haji, penggunaan pedagogi dan instrumen sokongan pengajaran. Kedua-dua faktor ini saling melengkapi dan berperanan penting dalam memastikan tahap kefahaman serta persediaan jemaah dapat ditingkatkan ke arah pelaksanaan ibadah haji yang sempurna.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=