E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 292 DAPATAN KAJIAN Tahap Kefahaman Jemaah Haji Terhadap Program Bimbingan Haji Pelaksanaan ibadah haji tidak hanya tertumpu pada aspek teori atau hukum hakam semata-mata, sebaliknya menuntut pemahaman yang mendalam semasa ia dilaksanakan (Salbiah et al., 2021). Tahap kefahaman jemaah haji perlu diberikan penekanan agar objektif pelaksanaan Kursus Asas Haji dalam membantu jemaah memperoleh haji yang mabrur dapat dicapai. Pelaksanaan ibadat haji tanpa berasaskan pengetahuan dan kefahaman yang sahih daripada al-Quran, al-Sunnah serta pandangan ulama muktabar boleh menimbulkan penyesalan setelah mereka kembali ke tanah air (Amran & Mohd Aderi, 2021). Kajian oleh Abdul Aziz, Tamar Jaya dan Farahwahida (2014) menyatakan bahawa pemahaman secara teori di tanah air masih belum dapat memberi gambaran sebenar terhadap realiti pelaksanaan ibadat haji di tanah suci. Berdasarkan statistik Bahagian Bimbingan Tabung Haji musim 2012/1433H, seramai 17,283 orang calon jemaah tahun tersebut merekodkan keputusan ujian bertulis dengan kadar kelulusan yang tinggi, iaitu sebanyak 91%. Manakala 4% gagal dan baki 5% terdiri daripada mereka yang lanjut usia serta tidak tahu membaca dan menulis. Semasa pelaksanaan ibadat haji pada tahun tersebut, sebanyak 4,318 soalan berkaitan ibadat haji telah diajukan kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) dan 1,226 soalan dikemukakan melalui Talian Khidmat Ibadat Haji (TAIB). Jumlah keseluruhan soalan yang diajukan adalah sebanyak 5,544 soalan. Permasalahan larangan ihram merupakan isu yang paling tinggi diajukan kemudian diikuti oleh persoalan mengenai haid, tawaf dan dam. Selain itu, satu kajian berskala kecil telah dijalankan oleh Abdul Aziz, Tamar Jaya dan Farahwahida (2014) melibatkan 52 orang responden dalam kalangan jemaah haji Tabung Haji Travel & Services dari pakej haji Nilam bagi musim haji 2012M/1433H. Kajian tersebut mendapati sebanyak 21.2% daripada keseluruhan responden menyatakan persetujuan (sangat setuju dan setuju) bahawa mereka tidak dapat melaksanakan rukun dan wajib haji dengan sempurna. Manakala, sebanyak 30.7% daripada responden mengakui masih berasa ragu-ragu dan keliru terhadap pelaksanaan ibadat yang telah dilakukan. Kajian yang dijalankan oleh Amran dan Mohd Aderi (2021) terhadap 106 orang responden yang merupakan peserta musim haji 2018/1439H pula mendapati tahap kefahaman peserta Kursus Asas Haji terhadap beberapa topik utama seperti rukun haji, wajib haji, tatacara mengerjakan haji, larangan ihram dan dam berada dalam julat min antara 2.50 hingga 3.52. Topik wajib haji mencatatkan nilai min tertinggi (min = 3.52), diikuti oleh rukun haji (min = 3.22) serta larangan ihram dan dam (min = 3.20). Namun begitu, topik kaedah mengerjakan haji mencatatkan nilai min paling rendah (min = 2.50). Dapatan menunjukkan 93.4% peserta menjawab dengan tepat soalan berkaitan haji qiran dan 74.5% bagi haji ifrad, tetapi hanya 17.9% dapat menjawab dengan betul soalan tentang haji tamattuk. Kajian ini menunjukkan bahawa walaupun peserta memahami dengan baik topik-topik seperti wajib dan rukun haji serta larangan ihram, namun mereka masih keliru dalam membezakan cara pelaksanaan ketiga-tiga jenis haji, khususnya haji tamattuk kerana penggunaan fiqh kurang diberi perhatian. Kajian Amran dan Mohd Aderi (2021) turut mendapati peserta KAH musim haji 2018/1439H gagal memahami pengertian dam dan masih keliru mengenai tarikh bermulanya wuquf. Buktinya, hanya enam orang responden (5.7%) yang dapat menjawab dengan tepat pengertian dam, manakala hanya 18 orang (17%) yang memberikan jawapan betul berkenaan pengertian wuquf. Kedua-dua soalan ini mencatatkan peratusan jawapan betul yang paling rendah dalam keseluruhan penilaian. Laporan PIHTAS dan TAIB musim haji 1439H/2018M pula merekodkan bahawa permasalahan paling tinggi adalah berkaitan dengan tawaf, sa’ie, larangan ihram, tawaf wada’ dan haid.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=