E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 290 sehingga Jamadil Akhir pada setiap tahun. Setiap siri dijalankan selama 2 jam 30 minit pada setiap hujung minggu. Pengisian kursus pula disampaikan oleh Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) yang telah ditugaskan untuk memberi tunjuk ajar kepada bakal haji semasa kursus-kursus haji berlangsung (Tabung Haji, 2025). Lazimnya, Kursus Asas Haji diadakan di masjid-masjid pilihan di seluruh negara dengan kerjasama jawatankuasa masjid berkenaan. Penyertaan bagi kursus ini adalah percuma dan terbuka kepada orang awam serta tidak terhad kepada jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa sahaja. Malah menurut Syed Jeffri, agensi luar Tabung Haji yang menawarkan pakej haji juga perlu merujuk modul bimbingan Tabung Haji dan pengisiannya hanya boleh disampaikan oleh penceramah bertauliah. Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan atau pengubahsuaian kecil terhadap bahan bimbingan haji masih dibenarkan selagimana tidak menyimpang jauh daripada modul rasmi yang disediakan oleh Tabung Haji. Sukatan modul bagi setiap siri adalah seperti jadual 1 di bawah (Tabung Haji, 2025): Jadual 1. Sukatan Modul Kursus Asas Haji Bil Siri/Minggu Topik 1 1 Sejarah & Pengenalan Tanah Suci Makkah dan Madinah 2 2 Falsafah dan Penyucian Jiwa 3 3 Rukun Haji: Niat Ihram, Wuquf dan Tawaf 4 4 Rukun Haji: Sa’ie, Bercukur/Bergunting dan Tertib Pada Kebanyakkan Rukun 5 5 Wajib Haji: Niat Di Miqat, Larangan dalam Ihram, Dam dan Mabit di Muzdalifah 6 6 Wajib Haji: Melontar Jamrah Kubra 10 Zulhijjah, Mabit di Mina dan Melontar pada Hari- Hari Tasyriq dan Nafar 7 7 Jenis Haji dan Cara-Cara Mengerjakan Haji 8 8 Aurat dan Izin Suami 9 9 Fiqh Wanita dalam Ibadat Haji 10 10 Ibadat Umrah, Niat Bersyarat, Tawaf Wada’ dan Ziarah Madinah 11 11 Kesihatan 12 12 Pengurusan 13 13 Amali Ibadat Haji (Kursus Haji Perdana) Berdasarkan jadual 1 di atas, peserta kursus diberi peluang untuk mempraktikkan amali ibadat haji semasa Kursus Haji Perdana dijalankan iaitu pada siri ke-13. Peserta akan menjalani amali haji bermula daripada memakai kain ihram, bertalbiah, bergerak ke miqat, melakukan simulasi tawaf, saie, bergunting atau bercukur, bergerak ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan simulasi melontar di jamrah sughra, wusta dan kubra. Bagi melancarkan simulasi ini, bahagian bimbingan menyediakan peralatan seperti model ka’abah, jamr ah dan banting yang menunjukkan lokasi penting semasa mengerjakan haji (Amran & Mohd Aderi 2021). Dari sudut capaian maklumat, Modul KAH yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji boleh diakses dengan mudah dari pelbagai platform. Modul ini tersedia dalam bentuk bercetak seperti buku serta boleh dimuat turun secara dalam talian menerusi portal rasmi Tabung Haji. Selain itu, modul ini turut disediakan dalam bentuk video melalui saluran YouTube rasmi Tabung Haji yang memaparkan siri lengkap KAH dari Siri 1 hingga Siri 13, dengan durasi setiap video antara 20 minit hingga 29 minit (Tabung Haji, 2025). Selain itu, Tabung Haji dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah membangunkan portal e-bimbingan haji. Portal ini merupakan satu sistem pengurusan pembelajaran digital dalam bentuk augmented reality (AR) dan virtual reality (VR) yang dibina bertujuan untuk menyediakan platform khusus kepada Bakal Haji (BH) tahun semasa, Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), petugas haji dan pengguna umum yang bakal menunaikan Haji atau umrah (Tabung Haji, 2025). Namun demikian, sejauh mana keberkesanan e-bimbingan haji ini masih belum diketahui kerana portal ini baru sahaja dilancarkan pada tahun 2023.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=