E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 289 PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang difardukan ke atas setiap Muslim mukallaf yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup serta menjadi kemuncak ibadah umat Islam (Mohd Sabri, Khairul Azhar & S.Salahudin, 2022). Pada tahun 2025/1446H sahaja, statistik The General Authority for Statistics (GASTAT) merekodkan seramai 1,673,230 jemaah haji dari 171 buah negara, iaitu 1,506,576 orang jemaah dari luar Arab Saudi dan 166,654 orang jemaah terdiri daripada warganegara serta penduduk tetap Arab Saudi. Peluang menjadi duyufurrahman mendorong bakal jemaah haji membuat persiapan rapi demi meraih haji mabrur, iaitu haji yang diterima Allah SWT dan ganjarannya adalah syurga (JAWHAR 2010; Jabatan Mufti Sarawak, 2025). Sehubungan dengan itu, program bimbingan haji merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan jemaah haji mendapat persiapan secukupnya dari aspek ilmu agama sebelum menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Di Malaysia, program bimbingan haji telah dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji. Terdapat empat kursus haji telah disediakan iaitu Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji (KPH) (Tabung Haji, 2025). Kursus Asas Haji (KAH) merupakan kursus haji peringkat pertama yang dilaksanakan sebanyak 13 siri berpandukan modul yang disediakan. KAH diadakan pada setiap hujung minggu selama 2 jam 30 minit bagi setiap siri, bermula dari bulan Rabi'ul Akhir sehingga Jamadil Akhir setiap tahun. Penyertaan bagi kursus ini adalah terbuka kepada semua orang awam yang berminat untuk mengetahui tentang hal ehwal ibadat haji dan umrah. Bimbingan haji pada peringkat awal disampaikan oleh guru-guru agama melalui pengajaran berasaskan kitab-kitab yang muktabar. Pendekatan ini berterusan sehinggalah tertubuhnya Bahagian Bimbingan Tabung Haji yang bertanggungjawab mengurus pembelajaran ibadah haji di Malaysia (Abdul Aziz, Tamar & Farahwahida 2014; Rizalman Muhammad 2016). Kajian oleh Wan Zahari & Ahmad Faisal (2019) berpendapat bahawa program bimbingan haji dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman bakal jemaah haji mengenai manasik haji serta melengkapkan diri mereka dengan maklumat yang lebih tepat berkaitan pelaksanaan ibadat haji dan pengurusan Lembaga Tabung Haji. Manakala, Nurhanim (2020) pula menjelaskan tujuan bimbingan haji adalah untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada bakal haji mengenai proses dan cara pelaksanaan ibadah haji dengan betul berlandaskan syariat Islam serta membantu mereka untuk mendapatkan haji yang mabrur. Menurut Amran dan Mohd Aderi (2021) pula, penyediaan kursus bimbingan haji bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan panduan ibadat haji dan umrah kepada bakal haji, pengurusan haji serta penjagaan kesihatan. Di samping itu, kajian oleh Nurhanim (2020) telah menyenaraikan tiga fungsi kursus haji. Pertama, ia berperanan dalam memastikan semua bakal jemaah memahami sepenuhnya maklumat berkaitan pelaksanaan ibadah haji, termasuk tuntutan perjalanan, panduan kesihatan serta keupayaan untuk mengamalkannya semasa berada di Tanah Suci. Kedua, ia berfungsi untuk melahirkan jemaah yang berdikari dalam melaksanakan ibadah haji sama ada secara individu atau berkumpulan. Ketiga, kursus ini juga berperanan mempersiapkan jemaah dari segi mental, fizikal, kesihatan dan aspek lain yang berkaitan dengan ibadah haji. Pelbagai kursus bimbingan haji telah ditawarkan kepada bakal haji, antaranya kursus asas, kursus intensif, kursus khas, kursus perdana serta bimbingan di Makkah dan Madinah (Tabung Haji, 2025). Menurut Nurhanim (2020), Kursus Asas Haji dilaksanakan secara massal kepada masyarakat umum dengan menggunakan metode bimbingan seperti ceramah, perbincangan, soal jawab dan simulasi. Sukatan modul bagi kursus ini pula merangkumi tiga perkara iaitu ibadat haji dan umrah, kesihatan dan pengurusan haji di tanah air dan tanah suci (Amran & Mohd Aderi, 2021). Modul KAH merupakan bahan bimbingan haji yang digunakan dalam pelaksanaan Kursus Asas Haji. Kursus ini terdiri daripada 12 siri dan dilaksanakan selama empat bulan bermula dari bulan Rabi'ul Akhir

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=