E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 273 Kajian lain mengenai pembangunan simulasi tawaf di Malaysia selepas era COVID-19 turut membuktikan bahawa teknologi simulasi mampu meningkatkan latihan fizikal jemaah dengan lebih realistik (Abdul Rani & Ramli, 2022). Kesemua ini menunjukkan perlunya modul Pekta dan latihan haji di Malaysia dipertingkat dengan pendekatan berteknologi tinggi di bawah naungan RAJIH. Integrasi Teknologi Digital & Fizikal dalam Pengurusan Haji Penggunaan teknologi moden dalam pengurusan haji semakin penting seiring peningkatan jumlah jemaah. Kajian Abalkhail (2022) menunjukkan bahawa Arab Saudi telah menggunakan kecerdasan buatan untuk mengurus kerumunan jutaan jemaah, meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan. Kajian Owaidah (2019) pula menekankan bahawa model simulasi tingkah laku kerumunan dapat meramal pola pergerakan jemaah di kawasan tumpuan. Tambahan pula, kajian terkini oleh El-Said et al. (2025) memperlihatkan aplikasi machine learning dalam pemantauan kerumunan haji yang dapat mengesan tingkah laku abnormal dan membantu pihak berkuasa membuat intervensi awal. Selain itu, terdapat inisiatif tempatan seperti e-Little Hajj iaitu aplikasi mudah alih menggunakan Augmented Reality untuk pembelajaran ibadat haji di peringkat prasekolah (Mokhtar et al., 2022). Walaupun fokus kepada kanak-kanak, metodologi ini boleh diaplikasikan secara lebih luas dalam latihan Pekta dan kursus jemaah dewasa. Kajian oleh Fauzi Othman & Balwi (2023) mengenai pembelajaran transformatif wanita dewasa selepas menunaikan haji pula menegaskan bahawa ibadat haji memberi kesan mendalam terhadap perubahan sikap dan nilai spiritual. Ini membuktikan bahawa RAJIH perlu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat operasi teknikal, tetapi juga sebagai pusat pembelajaran transformasi yang menggabungkan aspek kerohanian, teknologi dan inovasi. Sorotan literatur menunjukkan wujud pelbagai kajian berasingan mengenai pengurusan kewangan haji, modul latihan Pekta, simulasi kerumunan, serta teknologi digital. Walau bagaimanapun, masih belum terdapat satu model integratif yang menggabungkan semua dimensi ini secara holistik dalam sebuah pusat rujukan formal. Malaysia masih kekurangan satu institusi berstatus pusat kecemerlangan antarabangsa yang mampu menjadi hab penyelidikan, latihan, inovasi dan pengurusan ibadat haji. Oleh itu, pembangunan Model Pusat Rujukan dan Kecemerlangan Ibadat Haji (RAJIH) adalah penting untuk mengisi jurang ini, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat rujukan global dalam bidang ibadat haji. METODOLOGI Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif kerana objektif utama adalah membangunkan satu model konseptual Pusat Rujukan dan Kecemerlangan Ibadat Haji (RAJIH) yang menyeluruh, melibatkan aspek operasi, latihan, penyelidikan, kewangan dan integrasi teknologi. Pendekatan ini dipilih kerana ia membolehkan penyelidik memahami isu-isu pengurusan ibadat haji secara mendalam melalui analisis dokumen, temu bual pakar dan penandaarasan dengan pusat kecemerlangan lain. Dalam konteks ini, RAJIH masih merupakan konsep baharu, justeru reka bentuk kajian bersifat eksploratori diambil bagi meneroka jurang, keperluan dan potensi pembangunan pusat kecemerlangan haji yang bersepadu. Kajian ini menggabungkan beberapa kaedah pengumpulan data yang saling melengkapi. Pertama, kajian literatur dan analisis dokumen akan dilaksanakan terhadap bahan rasmi Tabung Haji seperti laporan tahunan, garis panduan ibadat haji, modul latihan sedia ada, serta polisi operasi yang diterbitkan di laman rasmi Tabung Haji. Di samping itu, artikel jurnal, buku dan laporan akademik yang membincangkan pengurusan ibadat haji, pengurusan kerumunan, serta aplikasi teknologi dalam konteks haji turut dianalisis. Selain itu, kaedah ini juga digunakan untuk mendapatkan maklumat berkaitan pusat kecemerlangan sedia ada sebagai rujukan terhadap pembinaan model ini.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=