E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 272 Di Arab Saudi, pengurusan ibadat haji banyak bergantung kepada Custodian of the Two Holy Mosques Institute for Hajj and Umrah Research yang berperanan sebagai pusat penyelidikan khusus dalam aspek perancangan, teknologi, logistik dan pengurusan kerumunan (Umm Al-Qura University, 2024). Walaupun Malaysia telah berjaya mengurus operasi haji secara efisien melalui TH, namun belum wujud pusat rujukan akademik dan kecemerlangan khusus yang menyepadukan latihan, penyelidikan dan teknologi secara holistik. Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) sebagai Model Rujukan Konsep Pusat Kecemerlangan (COE) telah lama diiktiraf dalam pelbagai bidang sebagai hab ilmu, inovasi dan latihan. Penubuhan Pusat Kecemerlangan (CoE) biasanya berlaku kerana beberapa faktor seperti keperluan kepada infrastruktur pelaksanaan, adanya hubungan tertentu, dan ketersediaan pembiayaan. Penubuhan pusat ini boleh menyokong infrastruktur penyelidikan yang penting, menggalakkan kerjasama, melatih pakar, serta berkongsi kemudahan utama. Walaupun setiap CoE mempunyai matlamat tersendiri, semuanya berkongsi unsur utama iaitu kecemerlangan. Ini termasuklah kualiti dan hasil penyelidikan yang tinggi, keupayaan menarik dan mengumpul sumber, keterlihatan di peringkat antarabangsa, serta kekuatan dari segi organisasi. CoE juga boleh ditubuhkan untuk membuat keputusan kawal selia dalam bidang tertentu, termasuk membangunkan dan mengawal selia sesuatu produk, serta mengisi kekosongan pengetahuan dalam bidang tertentu (Manyazewal et al., 2022). Pusat Kecemerlangan (CoE) berfungsi sebagai entiti strategik yang menggabungkan kepakaran, sumber dan jaringan untuk memperkukuh kecemerlangan dalam penyelidikan, inovasi dan penyelesaian isu masyarakat. Ia bukan sahaja memacu penyelidikan bertaraf antarabangsa dan menarik bakat berkualiti tinggi, tetapi turut menyediakan infrastruktur teknikal, menjamin keselamatan data, dan merangsang kolaborasi merentas sektor. Pendekatan CoE yang pelbagai dan fleksibel ini membolehkannya menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dalam bidang sains, teknologi dan pembangunan masyarakat (Edward et al.,2021). Yahya, Rahman & Karim (2019) menegaskan bahawa COE berfungsi menghubungkan akademik, industri dan masyarakat untuk menghasilkan pengetahuan baharu serta mengukuhkan reputasi global sesebuah institusi. Kajian oleh Ahmed et al. (2020) juga menekankan bahawa COE berjaya apabila ia mengintegrasikan penyelidikan, latihan profesional dan inovasi teknologi dalam satu ekosistem yang saling melengkapi. Justeru, pembangunan RAJIH boleh dianggap sebagai adaptasi konsep COE dalam konteks ibadat haji, iaitu sebagai pusat penyelidikan, latihan Pekta, pengurusan data besar (big data), serta inovasi teknologi pengurusan jemaah. Latihan & Modul Pembimbing Haji (Pekta) Latihan kepada pembimbing ibadat haji (Pekta) merupakan tunjang utama keberkesanan bimbingan jemaah. Salleh (2023) menekankan bahawa modul latihan sedia ada masih memerlukan transformasi agar lebih komprehensif, empirikal dan sesuai dengan cabaran semasa. Kajian tempatan seperti projek Interactive Multimedia CD-ROM for Learning Hajj di UiTMmembuktikan bahawa pendekatan multimedia interaktif dapat meningkatkan kefahaman dan pengalaman pembelajaran jemaah (UiTM, 2006). Selain itu, kajian Model of Persuasive Hajj Learning Environment oleh Universiti Teknologi Malaysia menunjukkan keberkesanan penggunaan persekitaran digital persuasif dalam mengajar ibadat haji secara lebih menarik dan berkesan (Yusof & Ahmad, 2014). Dalam konteks global, Arab Saudi telah memperkenalkan modul latihan berbentuk simulasi maya dan kursus e-learning untuk para petugas haji. Abalkhail (2022) menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam latihan dan operasi membolehkan pemantauan lebih cekap terhadap pergerakan jemaah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=