E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 251 Data dianalisis menggunakan gabungan analisis kandungan bagi meneliti teks perundangan dan dokumen rasmi, serta analisis komparatif untuk mengenal pasti persamaan dan perbezaan dalam peranan JAWHAR, TH dan MoTAC. Pendekatan ini membolehkan penilaian yang lebih objektif dan sistematik terhadap isu tadbir urus haji dalam konteks pelbagai agensi. ANALISIS DAN PERBINCANGAN Peranan dan Bidang Kuasa Tabung Haji (TH), MOTAC dan JAWHAR Pengurusan haji Malaysia merupakan model tadbir urus yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan. Setiap agensi memiliki bidang kuasa tersendiri yang saling melengkapi, namun terdapat juga pertindihan, khususnya dalam isu pengawalseliaan pakej haji dan umrah swasta. Analisis berikut membincangkan peranan tiga agensi utama iaitu Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Lembaga Tabung Haji (TH), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). A. Tabung Haji (TH) Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan pada tahun 1963 sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) untuk menggabungkan fungsi simpanan patuh syariah dengan pengurusan haji. Peranan utama TH meliputi pendaftaran jemaah haji, penyediaan kursus bimbingan, pengurusan kewangan, penyediaan logistik, serta menjaga kebajikan jemaah di Tanah Suci (Lembaga Tabung Haji, 2021). TH melalui akta 535 (Akta Tabung Haji 1995) telah diberi kuasa untuk bertanggungjawab terhadap pengurusan jemaah haji Malaysia. Melalui akta ini, TH juga telah diberi mandat untuk mengurus pelantikan Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi membolehkan agensi swasta mengurus bahagian tertentu perjalanan haji di bawah seliaan TH (Lembaga Tabung Haji, n.d.). Justeru menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan pakej haji tanpa mempunyai permit yang sah. Justeru dapat difahami melalui akta ini urusan pengurusan haji di Malaysia mesti mendapatkan restu pengurusan daripada pihak Tabung Haji. Bagi mewujudkan koordinasi yang sempurna bersama pihak MOTAC, Tabung Haji telah meletakkan syarat bagi mendapatkan lesen Pengelola Jemaah Haji, syarikat atau individu tersebut perlu mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam bidang pengendalian pelancongan ke luar negeri bagi umrah dan ziarah yang masih sah tempoh. Pihak TH juga turut meletakkan syarat tiada kes pelanggaran peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 atau yang terkini (jika ada) oleh syarikat mahupun individu dalam pengurusan syarikat yang memohon. Selain bertindak sebagai pengawal selia terhadap PJH, tabung haji turut bertanggungjawab terhadap bimbingan, penyelarasan hukum hakam, kebajikan serta operasi haji tanah air dan tanah suci. Sebagai entiti yang mempunyai tanggungjawab penuh terhadap pengurusan haji, pihak TH turut mempunyai kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti pihak wakil pengurusan kerajaan Arab Saudi, Polis Diraja Malaysia PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia KKM, MOTAC, JAKIM, JAWHAR, syarikat penerbangan dan lain-lain. Namun akta tabung haji 1995 yang diperuntukkan hanya terbatas kepada pengurusan haji. Terdapat beberapa kekosongan yang mungkin boleh ditambah baik, khususnya berhubung pengurusan haji melalui visa mujamalah dan furada serta penyeliaan pakej umrah. Sehingga kini belum ada satu akta yang khusus berhubung penyeliaan umrah melainkan pihak MOTAC melalui Akta Industri Pelancongan 1992 yang telah mewujudkan Majlis Kawal Selia Umrah MKSU bagi memantau industri umrah.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=