E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 244 Dari sudut rasm ʿUthmānī , mushaf mencatat lafaz ini dengan bentuk berbeza mengikut surah. Khusus di Surah al- Baqarah, lafaz ditulis tanpa huruf yāʾ, selaras dengan bacaan Ibrāhām . Fenomena ini menyerupai penulisan perkataan darāhim yang digugurkan alifnya dalam tulisan tetapi tetap dibaca dalam sebutan. Ulama seperti Abū Dāwud al - Andalusī dan al - Sakhāwī menegaskan bahawa penulisan khusus ini merupakan isyarat kepada bacaan Ibrāhām , sekaligus menzahirkan keluwesan bahasa al- Qurʾān dalam mengiktiraf variasi fonetik yang sahih (Quranpedia, n.d.). Dengan itu, rasm ʿUthmānī berfungsi bukan sahaja menjaga keaslian mushaf, tetapi juga menjadi bukti material terhadap kepelbagaian qirāʾāt mutawātirah. Kajian sejarah linguistik menunjukkan bahawa Nabi Ibrāhīm pada asalnya bertutur dalam bahasa Suryani sebelum berubah kepada bahasa Ibrani. Ibn ʿAsākir (1995) meriwayatkan daripada Hishām ibn al- Kalbī bahawa ketika Nabi Ibrāhīm berhijrah dari Harrān menuju Kanʿān dan menyeberangi Sungai Furat ke Syam, bahasanya berubah daripada Suryani kepada Ibrani; dinamakan demikian kerana mula dituturkan ketika “menyeberangi” ( ʿabara ) sungai tersebut. Riwayat ini turut disebut al- Ṭabarī (1967) daripada Ibn ʿAbbās melalui Ibn al - Kalbī, bahawa setelah diselamatkan dari api Namrūd, Nabi Ibrāhīm masih berbahasa Suryani, tetapi apabila menyeberangi Furat, Allah menukar bahasanya kepada Ibr ani. Yāqūt al - Ḥamawī (1977) pula menambah bahawa gelaran ʿIbrānī terbit daripada makna “menyeberang” kepada ketaatan kepada Allah. Sebaliknya, ada riwayat lain yang menyebut Nabi Mūsā dan Bani Israel sebagai golongan pertama yang menggunakan bahasa Ibrani ketika menyeberangi laut bersamanya (al- Ḥamawī, 1977). Dalam kalangan ulama tafsir dan sejarah, terdapat kesepakatan bahawa Nabi Ismāʿīl berbeza daripada bapanya kerana bertutur dalam bahasa Arab setelah membesar bersama kabilah Jurhum. Hal ini menjadikan beliau digelar sebagai ʿArab mustaʿribah (al- ʿAynī, 2000). Perkahwinannya dengan wanita Jurhum memperkukuh proses peng-Arabanan, sehingga keturunannya menjadi Quraysh, termasuk Nabi Muḥammad SAW. Kesimpulannya, perbezaan qirāʾāt antara bentuk Ibrāhīm dan Ibrāhām bukan sekadar variasi fonetik, tetapi mencerminkan kesinambungan sejarah serta akar linguistik nama Nabi Ibrāhīm. Kedua -duanya tergolong dalam qirāʾāt mutawātirah yang sahih. Bacaan Ibrāhām lebih dekat dengan bentuk asal Ibrani ( Avraham ), manakala bacaan Ibrāhīm menzahirkan proses taʿrīb (pengarabaan) yang sesuai dengan kerangka bahasa al- Qurʾān. Dari sudut rasm ʿUthmānī, pengekalan kedua -dua bentuk ini berfungsi sebagai jambatan linguistik yang memperlihatkan keluasan qirāʾāt mutawātirah. Dalam konteks ibadah haji dan umrah, variasi qirāʾāt ini menegaskan bahawa maqām Ibrāhīm dan syiar Kaabah merupakan lambang risalah tauhid yang melampaui batas bahasa, etnik, dan zaman, serta berperanan menyatukan warisan Nabi Ibrāhīm dengan risalah penutup Nabi Muḥammad SAW.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=